Suruhanjaya Persaingan denda syarikat terlibat kartel harga

Suruhanjaya Persaingan MalaysiaSuruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memutuskan lima syarikat yang terdiri daripada sebuah syarikat pembekal perkhidmatan teknologi maklumat (IT) untuk perkapalan dan industri logistik kawasan Pulau Pinang, serta empat pengendali depoh kontena, terlibat dalam aktiviti kartel harga.

 Dalam satu kenyataan hari ini, MyCC berkata penalti kewangan berjumlah RM 645,774.00 telah dikenakan ke atas kelima-lima syarikat itu yang melakukan pelanggaran berkenaan di bawah Akta Persaingan 2010.

 Penalti tambahan sebanyak RM7,000 dikenakan bagi setiap hari sekiranya gagal mematuhi tindakan pembetulan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan.

 Pembekal perkhidmatan IT berkenaan ialah Containerchain (M) Sdn Bhd, manakala pengendali depoh kontena ialah Ayza Industries Sdn Bhd/Ayza Logistics Sdn Bhd, ICS Depot Services Sdn Bhd, EAE Depot & Freight Forwarding Sdn Bhd dan Prompt Dynamics Sdn Bhd.

 Menurut MyCC, keputusan itu dicapai selepas mendengar serta mempertimbangkan representasi bertulis dan/atau lisan kelima-lima syarikat itu.

 "MyCC mendapati Containerchain dan pengendali-pengendali depoh kontena telah melanggar seksyen 4(1) Akta dengan perjanjian menegak melalui amalan bersepadu yang menyebabkan pengendali depoh kontena meningkatkan caj pagar depoh yang dikenakan ke atas pelanggan mereka dari RM5 ke RM25 dan menetapkan rebat sebanyak RM5 untuk syarikat pengangkutan dalam hal caj pagar depoh," kata MyCC.

 Ia berkata penetapan harga itu disifatkan mempunyai matlamat atau kesan menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan secara signifikan dalam pasaran perkhidmatan simpanan, penyelenggaraan dan pengendalian kontena kosong dalam lingkungan lima ke 15 kilometer dari Pelabuhan Pulau Pinang.

 Menurut MyCC, tindakan pembetulan pertama yang perlu dilakukan pengendali depoh kontena ialah memberhentikan dan berhenti daripada melaksanakan kadar caj pagar depoh dan rebat yang telah dipersetujui yang kedua-duanya timbul daripada perlakuan anti-persaingan mereka.

 Sejajar dengan arahan di atas, klausa 7 Aturcara Akses Pengangkut yang menetapkan caj pagar depoh dan rebat berkenaan atau mana-mana klausa yang seumpama itu hendaklah dimansuhkan kerana bersifat anti-persaingan, katanya.

 Tindakan ketiga ialah Aturcara Akses Pengangkut yang diterbitkan pada sistem Containerchain itu tidak boleh mengandungi apa-apa klausa yang boleh membenarkan perkongsian maklumat sulit berkaitan dengan mana-mana pengendali-pengendali depoh kontena yang telah melanggan sistem Containerchain.

 Containerchain dikehendaki memberi suatu aku janji dalam bentuk dan cara yang boleh diterima oleh Suruhanjaya untuk menyusun semula sistem Containerchain untuk memastikan bahawa ia tidak digunakan untuk apa-apa perlakuan anti-persaingan termasuk yang disebut dalam langkah pembetulan pertama.

 Semua harga masa depan dan syarat perdagangan yang lain hendaklah ditentukan secara bebas oleh kesemua pengendali depoh kontena yang telah melanggan sistem Containerchain, katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: