Perdagangan Malaysia - Turki kekal, kata Matrade

Malaysia mempunyai hubungan dagang yang baik dengan Turki

Angka perdagangan Malaysia dengan Turki dijangka akan terus kekal untuk tahun ini, walaupun republik itu sedang berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi global serta isu geopolitik yang memuncak baru-baru ini, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

 Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Datuk Dzulkifli Mahmud berkata dalam tahun lepas, jumlah perdagangan Malaysia dengan Turki adalah sebanyak RM5.65 bilion manakala eksport ke negara itu telah dinilai pada RM3.80 bilion dengan import pada RM1.85 bilion.

 "Eksport meningkat sebanyak 54.5 peratus daripada 2014 selepas dipacu oleh Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turki (MTFTA) yang berkuatkuasa pada 1 Ogos 2015.

 "Untuk tahun ini, kami berharap momentum positif ini akan berterusan atau sekurang-kurangnya mengekalkan keputusan yang sama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Perniagaan Malaysia-Turki di sini hari ini.

 Seminar itu bertajuk "Meneroka Peluang-peluang Perniagaan di Turki", ia diadakan bersempena dengan penglibatan pertama kali, bahagian promosi perbadanan itu ke dalam Pameran Izmir Antarabangsa ke-85 di Izmir, Turki pada 26-31 Ogos tahun ini.

 Bagi tempoh empat bulan pertama tahun 2016, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara adalah bernilai RM2.28 bilion berbanding RM1.42 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 Nilai perdagangan yang kukuh ini telah didorong oleh eksport yang lebih tinggi dalam minyak sawit, produk-produk berasaskan kelapa sawit, tekstil, pakaian dan makanan.

 Menurut Dzulkifli, Turki menyediakan banyak peluang yang belum diterokai khususnya untuk produk-produk makanan halal yang diproses, Matrade berharap angka eksport dalam sektor ini akan meningkat sebanyak 10 peratus.

 "Dengan sokongan Matrade, syarikat-syarikat tempatan boleh mempunyai akses kepada maklumat di Turki dan pada masa yang sama, mereka boleh merancang pendekatan yang strategik bagi menggunakan Turki sebagai pintu masuk ke Eropah dan Afrika Utara.

 "Selain itu, ahli perniagaan Turki juga boleh menggunakan Malaysia sebagai pintu bagi ASEAN," katanya.

 Turut hadir ke seminar tersebut ialah Timbalan Ketua Misi dari Kedutaan Turki, Ahmet Dogan.

 Ketika ditanya mengenai usaha kerajaan Turki untuk mengukuhkan semula keyakinan para pelabur susulan serangan keganasan berterusan, Ahmet berkata dunia sedang berdepan tempoh mencabar dan tidak ada negara yang kebal daripada ancaman pengganas.

 "Ia (usaha menangani ancaman keganasan) memerlukan tindakan global. Turki mengambil serius serangan (keganasan) ini dan kami menangani isu kegasanan ini secara aktif.

 "Bagaimanapun, asas-asas ekonomi kami adalah kukuh dan kami menerima pelaburan langsung asing yang besar," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: