Malaysia bakal lancar dana modal teroka Islam pertama dunia

Irwan Serigar AbdullahIrwan Serigar Abdullah

Rancangan untuk menubuhkan dana modal teroka Islam pertama dunia kini berada di peringkat akhir dan akan dilancarkan pada masa yang sesuai, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata pasukan daripada kementerian dan Bank Pembangunan Islam (IDB) yang berpangkalan di Jeddah telah dua kali bertemu untuk memuktamadkan struktur dana tersebut, diterajui oleh Malaysia dengan kerjasama IDB.

"Kini cuma menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkan, melancarkannya dan ditawarkan dalam pasaran," katanya kepada pemberita selepas taklimat tentang Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam Ke-11 (ICIEF Ke-11) di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah IDB Prof Datuk Dr Mohd Azmi Omar.

Irwan Serigar berkata Malaysia juga sedang berbincang dengan Indonesia untuk menarik negara itu menyertai dana modal teroka tersebut yang akan mempunyai saiz dana awal US$100 juta (US$1=RM4.12).

Beliau berkata walaupun tanpa penyertaan Indonesia, Malaysia akan tetap meneruskan cadangan dana tersebut dengan IDB dan syarikat modal teroka terbesar negara, Malaysia Venture Capital Management Bhd.

Menurutnya, dana tersebut akan digunakan untuk membiayai syarikat permulaan bukan hanya di Malaysia tetapi juga di rantau ini dan negara-negara Islam lain.

Mengenai ICIEF Ke-11, Irwan Siregar berkata, persidangan itu akan disertai ahli akademik dan pengamal kewangan Islam dari 35 negara.

"Kita memiliki banyak tanah wakaf dan ladang tetapi ia tidak digunakan sepenuhnya. Saya berharap persidangan ini boleh menjadi platform untuk membincangkan bagaimana mahu membawakan program dan inisiatif wakaf kita ke tahap seterusnya," katanya.

Persidangan itu yang bertemakan 'Rethinking Islamic Economic and Finance: Paving the Way Forward for Inclusive and Sustainable Developement', akan diadakan pada 11-13 Okt di Kuala Lumpur.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: