• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

PNB umum agihan pendapatan 6.75 sen ASB, 5 sen ASN

ASN ASBASN ASB

Amanah Saham Nasional Bhd hari ini mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.75 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2016.

Tahun lepas, syarikat mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 7.25 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit.

Anak syarikat Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu turut mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional (ASN) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2016, berbanding 6.10 sen seunit tahun lepas.

Pengerusi PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata prestasi ASB melebihi prestasi pasaran ekuiti negara yang mencatatkan jumlah pulangan negatif sebanyak -1.7 peratus.

"Tahun ini menandakan penurunan pasaran saham kali ketiga berturut-turut. FBM KLCI susut sebanyak 73 mata berbanding 1,692.5 mata pada 31 Dis, 2015 kepada 1,619.1 mata pada 30 Nov, 2016," katanya pada taklimat media di sini hari ini.

"Prestasi pasaran keseluruhan dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk aliran keluar modal ke ekonomi maju, harga komoditi yang rendah, ketidaktentuan tukaran asing dan perkembangan dan geopolitik," katanya.

Meskipun cabaran berkenaan, Abdul Wahid berkata ASB dapat mencapai pendapatan kasar sebanyak RM9.59 bilion setakat 30 Nov, 2016.

Pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan berjumlah RM4.16 bilion, keuntungan daripada penjualan saham menyumbang RM3.82 bilion dan baki RM1.60 bilion diperoleh daripada pelaburan dalam pelaburan jangka pendek dan pendapatan lain.

Sembilan juta pemegang unit ASB, memiliki lebih 143 bilion unit, akan menerima pengagihan pendapatan sebanyak RM9.78 bilion.

Pengagihan pendapatan keseluruhan bagi ASN berjumlah RM82.72 juta.

Mengenai masa hadapan, PNB, menjangka 2017 akan menjadi satu lagi tahun yang tidak menentu.

Abdul Wahid bagaimanapun berkata pelaksanaan pelan strategik enam tahun akan terus memacu syarikat untuk memberikan pulangan yang mampan dan berdaya saing bagi pemegang unitnya.

Pelan berkenaan merangkumi usaha memperkasakan Bumiputera sebagai sebahagian daripada agenda membina negara yang saksama dan inklusif.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: