Anak syarikat PKNS fokus pembangunan tanah rizab Melayu

Tanah rizab Melayu perlu dimajukan bagi manfaat negara.

Pembangunan strategik di tanah rizab Melayu di negeri Selangor menjadi antara tumpuan utama kumpulan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mulai tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Noraida Mohd Yusof berkata terdapat lebih 161,874 hektar tanah rizab Melayu di Selangor yang sebahagiannya boleh dimajukan dan ia dilihat mempunyai potensi perniagaan yang berterusan.

Katanya penyatuan tiga anak syarikat PKNS berkaitan perkhidmatan sebagai kluster hospitaliti juga bakal mewujudkan sinergi dan kecekapan dalam bidang itu memandangkan sektor tersebut kini mempunyai banyak persaingan.

"Langkah ini untuk memastikan kumpulan anak syarikat PKNS sentiasa bersedia menghadapi landskap ekonomi yang dijangka lebih mencabar bagi tempoh tiga tahun akan datang.

"Kita juga akan mengintegrasikan aktiviti pemasaran dan jualan bagi projek-projek pembangunan yang kita ada untuk mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan anak syarikat PKNS pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Persidangan Perdana Anak Syarikat PKNS 2017 di Kuala Selangor, semalam.

Selain itu katanya, pembentukan strategi yang lebih berkesan untuk mencapai sasaran pembinaan rumah mampu milik sebanyak 9,056 unit menjelang tahun 2020 turut diberi perhatian.

"Setakat ini, 1,853 unit rumah mampu milik telah siap manakala 2,423 unit sedang dibina dan ia berjalan mengikut jadual sehingga siap sepenuhnya dalam masa tiga tahun," katanya.

Noraida berkata kumpulan anak syarikat PKNS turut disaran supaya berusaha bagi mendepani tahun mendatang melalui kerjasama erat dari setiap anak syarikat untuk mengukuhkan kedudukan dalam pelbagai sektor perniagaan.

Ia juga digalakkan mencari peluang perniagaan baharu termasuk di luar Selangor dan menggunakan sinergi yang ada antara anak syarikat untuk meningkatkan kepakaran masing-masing, katanya.

Beliau juga yakin kumpulan anak syarikat PKNS mampu mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus daripada sasaran pendapatan pada tahun ini sebanyak RM906 juta.

Katanya ini berdasarkan pelbagai inisiatif dan perancangan yang disusun rapi dalam Pelan Perniagaan 2017 dan Dokumen Hala Tuju Anak Syarikat PKNS 2017-2019.

Kumpulan anak syarikat PKNS terdiri daripada PKNS Engineering and Construction Berhad; De Palma Management Services Snd Bhd; Selgate Corporation Sdn Bhd; Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd; Worldwide Holdings Berhad; DatumCorp International Sdn Bhd; Selaman Sdn Bhd; SACC Convec Sdn Bhd; PKNS Real Estate Sdn Bhd; PKNS Infra Berhad; dan Akademi PKNS Sdn Bhd.

Pada persidangan itu, Worldwide Holdings Berhad dinobatkan sebagai Anak Syarikat Terbaik 2016 manakala PKNS Infra Bhd meraih Anugerah Kewangan Syarikat Terbaik 2016.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: