• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Kontraktor bumiputera diingat jangan 'alibabakan' lesen

 Kontraktor bumiputera dinasihat tidak alibabakan lesen yang diperolehi untuk raih keuntungan jangka pendek. Gambar hiasanKontraktor bumiputera dinasihat tidak alibabakan lesen yang diperolehi untuk raih keuntungan jangka pendek. Gambar hiasan

Kontraktor bumiputera yang memperoleh lesen menerusi kursus yang dianjurkan kerajaan diingatkan agar tidak menyalahgunakan atau 'mengalibabakan' lesen masing-masing.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Hamisa Samat berkata selepas mengikuti kursus seharusnya kontraktor bumiputera memanfaatkan ilmu yang dipelajari dan tidak menyalahgunakan lesen dengan memikir aspek keuntungan semata-mata.

"Terdapat sesetengah kontraktor bumiputera yang mengalibabakan lesen yang diterima dengan menyerahkannya kepada subkontraktor atau orang ketiga.

"Ini mungkin didorong faktor kurang pengetahuan dan memohon lesen semata-mata untuk mendapatkan projek sekali gus hanya memandang keuntungan," katanya.

Hamisa berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan kursus asas kewangan perniagaan kontraktor di Tawau, hari ini.

Menurut Hamisa pengambilan lesen kontraktor bukan mudah dan sepatutnya menjadi pemangkin kepada kontraktor untuk memajukan industri pembinaan negara yang merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi serta pembangunan negara.

"Lesen yang dialibabakan mengakibatkan pelbagai projek terjejas ekoran kontraktor segera ini yang tidak mempunyai pengalaman," katanya.

Dalam pada itu, katanya kontraktor bumiputera dinasihatkan agar memberi penekanan terhadap kualiti kerja termasuk menyiapkan projek mengikut jadual, kos efisien dan menepati syarat-syarat kontrak.

"Rakyat sebagai pelanggan mempunyai penilaian tinggi terhadap kualiti projek dan sebab itu, kerajaan berharap kontraktor yang memperoleh projek kerajaan dapat menyediakan perkhidmatan terbaik," katanya lagi.

Sementara itu, Hamisa menyarankan golongan usahawan Sabah agar merebut peluang mendapatkan sijil pengiktirafan status bumiputera bagi membolehkan menyertai tawaran atau tender kerajaan khusus kepada usahawan bumiputera.

"Sijil itu penting kerana ia menjadi prasyarat kepada golongan usahawan terbabit bagi merebut projek kerajaan negeri yang dibuka khusus untuk bumiputera," katanya lagi.

Beliau berkata setakat tahun lalu seramai 1,700 memohon sijil berkenaan di kementeriaan namun seramai 1,671 sahaja yang lulus manakala 29 lagi gagal.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: