NCER nadi hala tuju ekonomi Perlis

Pelan Tindakan Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) 2016-2025 (Blueprint 2.0) penting sebagai penggerak dan penentu kepada hala tuju kejayaan landskap ekonomi  Perlis yang kian pesat.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata pelan tindakan tersebut merupakan perancangan yang bersifat inklusif yang akan menentukan hala tuju pelbagai sektor industri yang telah direncana di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (KPLC).

"Pelan tindakan ini merangkumi pelbagai aspek serta mengambil kira kepentingan menyeluruh iaitu melibatkan sama ada golongan profesional, akademik, industri, pentadbir mahupun rakyat.

"Ia dibuat bersesuaian dengan latar sosiobudaya, ekonomi dan potensi industri di setiap kawasan berkenaan. Pelan ini juga memastikan sesebuah pembangunan yang dibuat menepati kehendak dan keperluan rakyat khususnya di Perlis iaitu di KPLC," katanya.

Azlan bercakap kepada pemberita selepas pelancaran Pelan Tindakan NCER 2016-2025 (Blueprint 2.0) di Dewan Warisan di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

Azlan berkata KPLC dengan kerjasama NCIA yang dijadual bermula Jun ini adalah antara rancangan pembangunan yang bakal memakmurkan Perlis serta menjadi permulaan kepada masa hadapan yang lebih cerah.

"Saya berharap rakyat negeri ini turut berkongsi aspirasi yang sama dengan kerajaan negeri dan menjadi sebahagian daripada penggerak kepada kemakmuran negeri.

"Kita mahu melihat Perlis terus maju seiring dengan negeri-negeri lain dan rakyatnya mampu keluar daripada kepompong kemiskinan dan kebergantungan kepada pihak lain dengan peluang pekerjaan yang luas," katanya.

Azlan berkata Perlis mempunyai kelebihannya  tersendiri kerana memiliki cuaca yang panas yang bakal menjadikan negeri ini sebagai sebuah kawasan terbesar dalam industri tenaga boleh diperbaharui.

Selain itu, katanya seperti yang terkandung di dalam pelan NCER, Perlis juga bakal melihat pembangunan KPLC yang bakal berubah wajah menjadi hab teknologi dan inovasi hijau, logistik dan automatif.

"Keseluruhannya pelan ini tepat dalam mendefinisikan hala tuju Perlis ke arah mencapai status Negeri Bandaraya menjelang 2030 dengan peluang pekerjaan berkualiti selaras pembangunan ekonomi dan industri hari ini," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: