Telekung Siti Khadijah rancang tembusi pasaran Arab Saudi, Dubai

Pasaran jenama Telekung Siti Khadijah (SK), yang menembusi pasaran Indonesia dua tahun lepas, akan diperluaskan lagi, kali ini ke Arab Saudi serta Dubai di Emiriah Arab Bersatu, tahun depan.

Pengasasnya Padzilah Enda Sulaiman berkata identiti SK telah mula dikenali masyarakat luar apabila produk itu mula menyertai pertunjukan fesyen antarabangsa sejak beberapa tahun lalu.

"Walaupun telekung merupakan pakaian solat yang lazim bagi masyarakat Melayu dan jubah oleh orang Arab, namun pemakaian telekung lebih praktikal dan mudah terutama ketika berada di rumah, dan SK telah memikat masyarakat di sana," katanya kepada Bernama.

Menurutnya SK yang membuka laman sesawangnya sendiri di United Kingdom tahun ini, menerima kunjungan pelanggan yang terdiri daripada masyarakat Pakistan dan India yang mula menerima telekung sebagai pakaian untuk ibadat.

Beliau berkata selain 20 cawangan di seluruh Malaysia, jenama SK juga telah berkembang di Indonesia, dengan pembukaan cawangan di Jakarta berjaya menjual lebih 10,000 pasang telekung di negara berkenaan sejak dua tahun lalu.

Walaupun pasaran Indonesia terkenal sebagai negara pengeluar telekung, namun SK berani menembusi negara jiran itu kerana produk yang kami dikeluarkan berkualiti premium, selain telekung yang dihasilkan mengikut citarasa penduduk di sana.

"Kita merancang menambah cawangan baharu di Jogyakarta, Makasar dan Medan tahun hadapan ,dengan pasaran pelanggan tertumpu kepada golongan menengah ke atas," katanya.

"Tahun ini, kita mempunyai perancangan lebih agresif bagi pasaran Indonesia dengan cadangan melantik beberapa selebriti di sana sebagai duta produk kami,"katanya.

Mengenai segmen di Malaysia, Padzilah berkata SK berjaya mencatat prestasi jualan yang membanggakan dengan jualan meningkat lebih sekali ganda setiap tahun.

"Walaupun SK menghadapi isu cetak rompak, terutama dari pasaran negara-negara jiran, selain produk tempatan yang cuba meniru produk kami, namun kami bersyukur produk kami tetap menjadi pilihan para pelanggan yang tahu mengenai kualiti dan keselesaan produk yang ditawarkan," katanya.

Beliau berkata tahun ini SK yakin mampu menjual 380,000 pasang telekung berbanding 180,000 telekung pada tahun sebelumnya.

"Sasaran ini sejajar dengan permintaan yang kian meningkat," katanya sambil menambah SK juga telah melaburkan lebih RM150,000 untuk membeli mesin pembuatan telekung.

"Selain mesin, kami juga menambah bilangan pekerja bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran sedia ada iaitu daripada 1,700 pasang telekung sehari kepada sehingga 3,000 pasang telekung sehari,"katanya.

Mengenai isu cetak rompak, beliau berkata SK kini dalam perancangan untuk memperkenal "QR Code" pada pembungkusan dan telekungnya bagi membezakan antara telekung asli dan cetak rompak, tahun depan.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: