Terengganu sasar jadi pengeluar produk lebah terbesar negara

madu kelulut

Kerajaan negeri sedang berusaha menjadikan Terengganu sebagai hab lebah madu dan kelulut sekali gus tampil sebagai pengeluar produk lebah terbesar di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perusahaan Perladangan negeri Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 bagi membekalkan peralatan berkaitan untuk meningkatkan keupayaan dan produktiviti pengusaha lebah madu dan lebah kelulut pada tahun ini.

"Untuk mencapai matlamat ini, kerajaan negeri juga amat menitikberatkan penglibatan sama jabatan-jabatan, koperasi-koperasi, persatuan-persatuan dan usahawan-usahawan industri pertanian di sepanjang rantaian bekalan makanan.

"Antara strategi kita ialah mengenal pasti kawasan-kawasan yang sesuai, memberi latihan dan kemahiran, memberikan sokongan dana dan menyelaraskan aktiviti industri ini pada sepanjang rantaian nilainya agar hasrat menjadikan Terengganu sebagai pengeluar produk lebah terbesar akan tercapai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan makan malam sempena Persidangan & Pameran Antarabangsa Lebah Kelulut 2017 di Kuala Terengganu malam tadi.

Turut hadir Setiausaha Agung, Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Getah Antarabangsa (IRRDB) merangkap Pengerusi, Persidangan dan Bengkel Antarabangsa Lebah Kelulut 2017 Datuk Dr Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir.

Muhammad Pehimi berkata sokongan padu daripada IRRDB yang mahu pekebun kecil menternak lebah kelulut di kebun getah mereka, juga membuktikan keprihatinan agensi kerajaan itu dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi pekebun kecil di negara ini.

"Ia adalah usaha yang baik kerana pekebun kecil yang melakukan ternakan integrasi ini telah pun memperolehi hasil yang positif iaitu sekitar RM1,500 sebulan daripada 40 log kelulut. Itu tidak termasuk hasil jualan getah dari kebun mereka.

"Justeru, persidangan ini diharap dapat melonjakkan lagi industri ternakan lebah kelulut di Terengganu dan Malaysia amnya, sekali gus membantu usahawan meningkatkan ilmu mereka untuk terus cemerlang dan berdaya saing dalam industri ini," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel