Pelabur Malaysia rakan kongsi berpotensi Bank Islam Thailand

Islamic Bank of Thailand

Sebuah bank komersial dan dana Islamik Malaysia dikatakan menjadi antara pelabur yang berpotensi Islamic Bank of Thailand.

The Nation hari ini melaporkan, pelabur Malaysia yang tidak dinamakan itu merupakan antara empat pihak yang sedang dalam perbincangan dengan bank yang dimiliki negara itu.

Sebuah lagi akhbar harian yang lain, Bangkok Post, berkata kerajaan telah menggesa bank Islam itu mempercepatkan usaha mencari rakan kongsi yang sesuai, turut menarik minat tiga pelabur lain.

Eksekutif bank melaporkan (kepada Suruhanjaya Polisi Perusahaan Negeri) bahawa ia sedang berbincang dengan tiga pelabur yang berpotensi, tetapi tidak boleh mendedahkan sebarang nama memandangkan ia ada melibatkan syarikat-syarikat tersenarai.

"Apa yang kita boleh beritahu ialah mereka ini terdiri daripada pelabur tempatan dan asing," kata Pengarah Pejabat Polisi Perusahaan Negeri, Ekniti Nitithanprapas.

Perdana Menteri Jeneral Prayut Chan-o-cha, mengarahkan Islamic Bank of Thailand yang sedang merekodkan kerugian, menyelesaikan usahanya yang sudah lama tertangguh bagi mencari rakan kongsi yang sesuai menjelang akhir tahun ini.

Beliau mahu eksekutif di bank itu untuk mempercepatkan perbincangan dan memeterai perjanjian sebelum tarikh akhir yang telah ditetapkan.

Mencari rakan kongsi baharu bagi bank yang bermasalah itu adalah amat penting dalam pelan pemulihan yang telah dirancang oleh Suruhanjaya Polisi Perusahaan Negeri, memandangkan bank itu sedang dibebani dengan kerugian terkumpul serta pembiayaan tidak berbayar yang tinggi, lapor sebuah media tempatan.

Usaha bagi mencari rakan kongsi kepada bank itu tertangguh sebelum ini, selepas bakal pelabur menuntut bank berkenaan menyelesaikan permodalan semulanya serta meningkatkan nisbah kecukupan modal sejajar dengan keperluan minimum sebanyak 8.5 peratus Bank of Thailand.

Kementerian Kewangan memiliki kepentingan berjumlah 48.5 peratus dalam bank itu, dengan Government Savings Bank memegang sebanyak 39.8 peratus dan Krungthai Bank pada 9.83 peratus.

Pemegang saham yang lain memegang kurang daripada dua peratus kepentingan dalam bank.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel