25 usahawan belia Orang Asli lahir dari program latihan

Usahawan Orang Asli

Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah melahirkan 25 usahawan dalam kalangan belia Orang Asli sejak 2011.

Ketua Pengarah Jakoa Mohd Jamalludin Kasbi berkata ada di antara usahawan itu berjaya menamatkan kursus PLKK dalam bidang pengurusan perniagaan, kecantikan dan elekrik, kini berjaya meraih pendapatan sehingga RM5,000 sebulan.

"Sejak dilancarkan pada 2011, RM60 juta dibelanjakan untuk melatih lebih 4,400 belia Orang Asli menerusi PLKK yang menjadi satu dimensi baharu mengubah mata pencarian golongan itu yang selama ini bertumpu kepada hasil perhutanan, kepada bidang lain.

"Kerajaan persekutuan melalui Jakoa berusaha memastikan belia Orang Asli mendapat kemahiran teknikal bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan lumayan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Roadshow PLKK Fasa 2 Masyarakat Orang Asli Selangor dan Wilayah Persekutuan Tahun 2017 di sini, hari ini.

PLKK diwujudkan bagi memberi peluang kepada anak-anak muda Orang Asli berumur 18 hingga 40 tahun untuk meningkatkan kemahiran mereka agar mampu mendapat pekerjaan atau mengusahakan perniagaan sendiri.

Untuk tahun ini, belia Orang Asli berpeluang mempelajari sebanyak 51 jenis kursus kemahiran yang ditawarkan dalam PLKK menerusi dua fasa berbeza yang bermula bulan lepas dan bulan ini.

Antara kursus yang ditawarkan bagi Roadshow PLKK Fasa 2 adalah pengurusan peruncitan, servis motosikal, minyak dan gas, pembaikan komputer dan kimpalan.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel