Hipokrasi halal dan haram kerajaan

Raja Bahrin Shah Raja Bahrin Shah

Wabak 1MDB makin merebak dan bertambah parah sejak beberapa minggu ini.

Pada mulanya kita tahu negara-negara Amerika, Switzerland, Hong Kong, Singapura dan Abu Dhabi telah mula mengambil tindakan undang undang.

Baru baru ini DOJ- Department of Justice, Amerika, telah mengeluarkan kenyataan terperinci tindakan undang undang mereka ke atas harta 1MDB di Amerika.

MAS- Monetary Authority Singapore, telah menutup beberapa Bank Asing dan menangkap beberapa pegawai bank berkenaan yang terlibat dengan urusan berkaitan dengan IMDB.

Beberapa hari lepas Bank tempatan Singapura pula ia itu DBS serta UBS Bank dan syarikat Kewangan terkenal Goldman Sachs di siasat oleh MAS.

Selepas International Petroleum Investment Company- IPIC dari Abu Dhabi telah menyaman IMDB dan Kerajaan Malaysia kerana hutang yang tidak dibayar, beberapa hari lalu Kerajaan Abu Dhabi telah menangkap Khadem al Qubaisi kerana kaitannya dengan kontroversi penggunaan wang 1MDB.

Al Qubaisi disiasat atas tuduhan pelaburann wang 1MDB termasuk dua Kelab Malam Las Vegas bernilai US 100 juta dibawah Syarikat bernama Hakkasan.

Sejak 2014 lagi saya telah menyoal di Parlimen kenapa Kerajaan melabur wang 1MDB di Pusat Kewangan Caymen Islands yang merupakan pusat utama Penggubahan wang haram, wang judi dan wang dadah sedunia!

Semasa itu Parlimen Malaysia sedang bedebat pindaan Akta Rang Undang undang Penggubahan wang haram!

Tiada jawapan yang memuaskan diberi selain dari kenyataan ia adalah pelaburan jangka masa pendek.

Yang haram tetap haram tidak kira pelaburan jangka masa pendek atau panjang.
Dalam masa yang sama kerajaan melaungkan konsep Syariah Index dan Kaunter Syariah untuk menutup mata rakyat apa yang sebenar mereka lakukan.

Ini adalah sikap hipokrit yg jelas dan memalukan.

Sekarang terdedah pula penglibatan wang 1MDB dengan Kelab Malam Las Vegas, Pesta Arak Hollywood bersama Jho Low dan pembelian pangsapuri mewah serta hotel mewah.

Dalam masa yang sama pihak kerajaan cuba meraih sokongan rakyat melalui aktiviti 1MDB dengan menyatakan 1MDB mengeluarkan perbelanjaan besar menaja rakyat menunaikan Haji di Mekah!

Kita juga telah diberi tahu 1MDB telah membawa pulang pelaburan dari Caymen Island dan pelaburan luar lain ke Malaysia.

Adakah jumaah haji yg ditaja diberi tahu sumber sebenarnya wang tersebut serta implikasinya?

Walau apa sekali pun, 1MDB dan kerajaan tidak sepatutnya terlibat dengan sumber kewangan dari pusat wang haram, judi dan dadah sedunia saperti di Caymen Island.

Kalau di Malaysia kononya semuanya patuh syariah, diluar Negara halal haram tidak menjadi pertimbangan. Rakyat di tipu dengan sikap hipokrit ini.

Kenapa tiada ahli parlimen atau menteri kerajaan menimbulkan isu ini selama ini?

Berbuih mulut mereka bercakap tentang patuh syariah di dalam Negara sementara di luar negara lain pula amalan nya.

Ketua Menteri Melaka bercakap tentang negara asing bukan Islam- Amerika hendak membunuh orang Melayu kerana mereka mengambil tindakan undang undang keatas 1MDB.

Adakah Abu Dhabi sebuah negara Islam Arab juga akan dituduh yang sama kerana tindakan undang- undang mereka?

Seorang ahli Parlimen Umno menyatakan Malaysian Officer 1 yang disebut oleh DOJ adalah Yang Dipertuan Agong.

Kalaulah kenyataan ini datang dari pembangkang, secepat kilat dia akan di soal siasat dan ditangkap.

Tindakan melanggar hukum halal dan haram Islam serta unsur rasuah dan salah guna kuasa lah yang membawa Malaysia ketahap serendah ini dimata seluruh dunia hari ini.

Yang Dipertuan Agong difitnah dan dilibatkan dalam pengurusan 1MDB.

Rakyat biasa ditaja menunaikan Haji ke Mekah menggunakan wang 1MDB yang telah bercampur aduk dengan sumber haram dari pusat wang haram, judi dan dadah.

Tidakkah kita rakyat Malaysia merasa marah dan malu tindak dengan tanduk pemimpin kita hari ini ?

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel