• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Mahasiswa pewaris jiwa merdeka

Gerakan mahasiswa  adalah pencetus sebuah gerakan perubahan, terutama perubahan minda masyarakat yang akan menjadi titik sejarah penting kepada negara.Gerakan mahasiswa adalah pencetus sebuah gerakan perubahan, terutama perubahan minda masyarakat yang akan menjadi titik sejarah penting kepada negara.

Saya masih lagi teringat kata-kata novelis Pramoedya Ananta Toer, bahawa ‘Manusia itu dibekalkan dengan sifat berani. Kalau tidak ada sifat berani, apalah ertinya hidup ini’.

Kata-kata ini terlintas dalam ingatan saya ketika lebih 2,000 peserta yang kebanyakannya para mahasiswa dan anak muda yang baru berada di pasaran kerja.

Ini adalah isyarat kepada kebangkitan semula pelajar Malaysia dan golongan muda. Mereka turun sendiri di jalan raya setelah menyaksikan dengan amat rawan kebobrokan ekonomi negara, perlakuan dan sengketa politik yang tidak habis-habisnya, rasuah yang berkembang subur, jurang miskin kaya yang semakin luas dan negara kehilangan keberkatan.

“Ini berlaku ketika rakyat, terutama generasi baru, sudah bosan dengan kerenah pemimpin yang korup dan memperbodohkan rakyat,” kata seorang siswa, Shamsul Ashraf.

Sementara itu, bekas pemimpin pelajar Universiti Malaya yang kini Ketua Komunikasi Pemuda Amanah Nasional, Khairul Najib Hashim berkata,
"Himpunan ini adalah permulaan kepada kebangkitan semula mahasiswa."
Bagi beliau, ada dua cara mengubah pimpinan korup dan zalim. Yang pertama pilihan raya dan kedua jalan raya.

Maka pada 27 Ogos lalu mahasiswa dan anak muda memilih jalan raya sebagai medan untuk mengubah kepimpinan negara. Gerakan ini dilihat juga sebagai bayangan kekecewaan mereka terhadap parti politik – kerajaan dan pembangkang – yang tidak habis-habisnya bercakaran hingga melupakan tugas mereka untuk membela rakyat, khususnya mahasiswa dan golongan muda.

Dalam hal ini, saya kira, di sinilah Amanah, parti yang berumur setahun September ini, sangat perlu memikiran hal ini secara serius dan mestilah ia dilihat berlainan dari parti politk yang ada di negara ini sekarang.

Perjuangannya, pendekatannya, keterampilannya mestilah berbeza dengan parti politk yang lain, ketika parti politik yang ada bergelut dengan rasisme tidak habis-habisnya.

Golongan mahasiswa dan anak muda yang pemberani dengan semangat waja berada di jalan raya, simbol dari sebuah kebangkitan yang mahu melihat perubahan, ketika parti-arti politik yang ada bergelut sesama sendiri.

Jurucakap Gabungan Pelajar #Tangkap MO1, yang berdemostrasi itu Anis Syafiqah Md Yusof, muncul dengan beraninya hari itu memimpin mahasiswa dan golongan anak muda berdemonstrasi di tengah Ibu Kota.

Jam Besar di depan Dataran Merdeka - yang pernah berdenting pada jam 12 tengah malam 31 Ogos 1957 dulu dengan segala sejarahnya – telah menyaksikan kebangkitan mereka, putera puteri selepas merdeka, menuntut perubahan, mengembalikan semula kemakmuran negara secara adil.

Anis Syafiqah Md Yusof dengan tegas menyatakan dalam satu forum anjuran akhbar mingguan Amanah bahawa, anak muda Malaysia kini menghadapi sindrom fatiq.

"Kami sudah tidak ada lagi biasiswa untuk menampung pelajaran kami. Kami kena buat pinjaman melalui PTPTN. Tamat saja belajar, kami kena bayar balik. Peluang pekerjaan pula tidak ada," keluh Anis, pemimpin pelajar Universiti Malaya dalam forum itu.

Menurutnya, ketika perkara itu berlaku, parti politik pula bercakaran antara satu sama lain baik di kalangan pembangkang bahkan juga dalam kerajaan.

"Ini menyebabkan anak muda letih dan tidak mahu cakna politik. Fatiq sindrom, mereka tidak mahu terlibat atau ambil tahu hal politik. Inilah realitinya, anak muda yang letih dengan krisis yang ada," kata Anis.

Untuk memecahkan kebuntuan inilah, kata Anis, beliau dan rakan-rakannya bangkit untuk berbuat sesuatu. Lalu berdemo di tengah panas terik, berbekalkan keberanian dan kebenaran yang mereka perjuangkan.
Hampir semua kepimpinan Pemuda Amanah nasional turun menyatakan solidariti bersama mahasiswa dalam himpunan itu.

Ikut serta pimpinan nasional Amanah, Ir. Khalid Samad dan beberapa tokoh yang lain.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil berkata, perhimpunan ini boleh dianggap berjaya kerana ia satu permulaan perhimpunan yang digembeling oleh mahasiswa sendiri.

"Alhamdulillah, himpunan berlangsung aman seperti yang dijanjikan," katanya ketika ditemui diperkarangan Dataran Merdeka.

Pemimpin mahasiswa itu, antaranya, Anis Syafiqah, Luqman Hakim, Aqilah Zainuzi, Ashraf Nazrin dan rakan-rakannya adalah anak muda mahasiswa yang kental, menjadi pelopor kepada sebuah angkatan anak muda pemberani.

Dalam mana-mana lakaran sejarah, kita dapat melihat betapa mahasiswa memainkan peranan penting sebagai pencetus perubahan. Maka itu anak-anak muda ini adalah pencetus sebuah gerakan perubahan.

Pelajar Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi (SBPI) Rawang yang kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Darul Quran Jakim dan kini belajar di Universiti Malaya (UM) menjadi perhatian umum.
Sehari menjelang perhimpunan ini, Anis Syafiqah berkata, cita-cita beliau bukan menempa nama menjadi seorang aktivis.

"Cita-cita saya ialah ingin melihat masa depan Malaysia yang lebih baik.

"Perjuangan ini bukan kerana nama. Ini perjuangan kita bersama!" kata Anis Syafiqah dalam facebooknya.

Dalam gerakan ini, Anis Syafiqah sentiasa ditemani rakan rapatnya, Aqilah Zainuri yang membantu beliau.

Jangan ada siapa yang boleh memandang remeh gerakan mahasiswa ini dan jangan sesekali memperlekeh gerakan mereka dengan membina persepsi bahawa kononnya gerakan mereka ini tidak sampai ke mana-mana.

Mereka adalah pencetus sebuah gerakan perubahan, terutama perubahan minda masyarakat yang akan menjadi titik sejarah penting kepada negara.

Mereka adalah pewaris jiwa merdeka yang sepatutnya dimiliki oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: