Kasihan Melayu rosak kerana Melayu

Muhammad Syafiq AzmiMuhammad Syafiq Azmi

Orang Malaysia (baca melayu) adalah spesis masyarakat yang suka dan mudah untuk ditipu. Sikap malas berubah dan takut kepada dosa jika merungkai persoalan menyebabkan mereka mudah dijinakkan.

Inilah yang pernah berlaku terhadap melayu pada zaman sebelum merdeka lagi. Kelembutan dan kesopanan tidak dijadikan asas penghubung dengan bangsa yang lain. Tapi apabila tersampuk jin pentaksub atau ekstrimis, kitalah yang terkinja dan tunjuk hero.

Hilang selera bangsa dan agama lain mendekati kita.

Melayu dan perniagaan

Jika kita kaitkan kepada perniagaan, mereka akan sering dan mudah menyerah diri fasa awal. Lalu sikap itu akan dibebankan kepada bangsa lain sedangkan peluang dan ruang itu dimiliki pemerintah yang saban waktu melaungkan hidup melayu dan hidup Islam.

Puncanya mereka sendiri gagal mencongak apa yang perlu mereka hadapi. Kemudian nanti akan bergemalah slogan yang mengundang serangan berunsur kaum dan agama.

Pada sudut yang lain kita sedar memang itu juga matlamat pemerintah. Keinginan melihat melayu tidak segara berjaya adalah kerana mereka(pemerintah) akan kekal menjadi tempat berpaut kepada orang melayu yang selari fikrah kehidupan harian.

Mahukan projek kena undi dan pengaruh ketua kampung. Perlukan bantuan untuk mulakan perniagaan yang kecil, wajib dapatkan tandatangan ketua cawangan. Kalau nak mudah semua laluan, jadi ahli dan tunjukkan kad, pasti lulus.

Melayu dan kesihatan

Dari sudut kesihatan juga begitu, melayu antara kaum yang punya ribuan produk kesihatan yang dikeluarkan dengan pelbagai ragam pengasas. Ada yang semata-mata mahu melariskan produk terpaksa menjadi bahan ketawa masyarakat.

Andai ditanya apa indikator kekayaan mereka, lihat sama ada mereka sudah dikira jutawan atau tidak. Jutawan itulah perimeter orang melayu mudah dipengaruhi akal dan selera mereka.

Itu belum ditambah dengan segala macam produk yang dijual setelah dibaca ayat Al-Quran. Orang melayu pantang jika dipamer produk seperti itu. Kalau dipertikai nanti dibimbangi jatuh dosa. Akhirnya dogma inilah yang memangjangkan jangka hayat perniagaan mereka.

Ada sahabat yang mengusik, dia ada menjual air yang apabila diminum maka si peminum tadi akan menjadi bijak dalam beberapa mata pelajaran seperti matematik, fizik dan kimia. Lalu bila ditanya apa ramuannya?

Rahsianya ialah air tersebut perlu direndam didalamnya bersama kalkulator saintifik. Apa lagi yang mampu dibalaskan, hanya gempita dengan tawa yang besar menyambut humor tersebut.

Melayu dan akademik

Orang melayu hari ini ramai yang memiliki tahap akademik yang tinggi sama seperti bangsa lain. Tetapi semuanya bergantung pada peluang dan ruang yang tersedia kelak. Jika mereka bersikap oportunis maka cukup mudah mereka berjaya.

Tapi ada pula yang mahu berjaya dan kaya dengan cara yang salah. Membeli gelaran atau sijil pengajian hanya semata-mata untuk memenangi jiwa audien yang kerap terpesona dengan pangkat dan gelaran.

Itulah nilai air mulut(liur). Seorang yang bergelar doktor falsafah(contoh) jika mahu dibandingkan dengan rakyat biasa yang juga punya falsafah tapi tiada anugerah pasti semua dari kita ada jawapannya.

Ada juga kalangan cendiakawan yang melakukan pelbagai cara hanya mahu matlamat disanjung tercapai. Ada yang sengaja mengunakan taktik plagiat thesis sebagai jalan pintas untuk menambah bilangan ijazah yang diperolehi.

Cuma jangan sampai ianya terbongkar. Nanti kita akan lebih atau membazir masa untuk menjawab soalan yang jawapannya kita sudah ketahuinya.

Melayu dan politik

Politik adalah topik yang sering didiskusikan hingga terpecah belah masyarakat melayu. Satira jika parti melayu kalah lalu bangsa melayu akan pupus terus kekal berakar diminda orang melayu. Mereka lupa telah semua perihal melayu termaktub didalam Perlembagaan Persekutuan.

Tidak kurang juga yang merasakan hanya negeri "mereka" sahaja sebagai negeri Islam. Apakah negeri Islam itu akhirnya hanya boleh digambarkan apabila sosok yang bakal menjawat posisi menteri besar dan ketua menteri adalah terdiri dari mereka yang mempunyai kartu syurga sahaja.

Harusnya sesebuah negara atau negeri Islam itu dinilai dengan perlaksanaan roh atau zat Islam dan bukan pakaian atau gelaran yang dipikul oleh pemerintah atasan kerajaan yang mentadbir. Sebelum ini jelas mereka terkesan dengan indoktrinasi yang dilancar kerajaan memerintah.

Kasihan Melayu

Hari demi hari pekung pemain bangsa melayu dan agama Islam terbuka. Sama ada perlahan atau cepat, ia bergantung kepada kadar dan daya fikir bangsa melayu.

Tidak cukup kita mudah ditipu, kita mudah juga menggadai prinsip dan ketelusan apabila diberi baju dan duit minyak untuk menjadi ejen provakator milik pemerintah.

Laungan hidup melayu dan Islam dilihat jelas ironis apabila dibandingkan dengan tindakan kita hari ini. Kita meragut hak dan kebebasan masyarakat melayu untuk bebas berfikir, kegagalan mereka mencerna isu sebaiknya adalah nyawa bagi rejim yang ada.

Itu belum lagi dihampar sikap hasad dengki, prejudis, dan sindrom penafian. Jika dirempuh, pasti maksud melayu itu sendiri pasti parah lukanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel