• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Kongres Gunung Semanggol cantumkan kepelbagaian ideologi

Mungkin ada dikalangan kita yang terbaca tulisan sesetengah pihak yang menyebut jika mereka mahu bersama Pas lalu mereka perlu menghormati prinsip perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas. Persoalannya awal yang akan timbul adalah:

Apakah ketika mereka bersama DAP dulu mereka telah menggugurkan ataupun mengadaikan prinsip perjuangan Islam mereka?

Seharusnya Islam itu perlu dilihat menerusi kacamata yang luas bukan melalui kanta kejumudan yang terbina atau lahir dari perut sesebuah wadah perjuangan seperti parti.

Apabila membicarakan berkaitan Islam apakah umum hanya melihat kepada hukuman sedangkan yang hak masih belum lagi tertegak. Atau semuanya harus disusun atur dengan hikmah agar semua mampu melihat Islam itu sebagai agama yang mendamaikan.

Bayangkan jika masyarakat umum melihat Islam itu agama yang tidak universal dan eksklusif kepada penganutnya sahaja?

Implikasinya nanti terus akan memukul imej Islam yang hari ini semua maklum telah cedera teruk kerana "pejuang Islam" mengambil seni taksub sebagai jalan.

Dakwah serta Islah itu sudah tentu perjalanannya jauh dan penuh ujian. Maka sabar itu perlu dalam setiap kata-kata dan tindakan kerana tiada jalan pintas untuk sesuatu itu beroleh kejayaan.

Kerajaan yang bersih, adil, menolak rasuah, mengharmonikan masyarakat dan tidak menyekat kebebasan berfikir itu adalah apa yang juga disebut Islam. Bukan bererti istilahnya telah diarabkan lalu itulah lambang perlaksanaan Islam itu sedang berjalan.

Perlu kita ingat bahawa negara kita unik dari bermacam segi. Dari sebelum merdeka lagi pejuang Islam yang berjuang membebaskan Malaya(Negeri-Negeri Selat, Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu Tidak Bersekutu) dari cengkaman penjajah atau fasis.

Tetapi mereka bijak kerana tidak melihat wadah malah meletakkan matlamat kemerdekaan sebagai keutamaan yang paling penting ketika itu. Sudah tentu jika kita mahu berhujah bahawa parti atau platform perjuangan kita punya matlamat sendiri, bagaimana pula dengan yang lain?

Lihat apa yang dilakukan oleh bekas pimpinan utama Hizbul Muslimin, Almarhum Ustaz Abu Bakar Al-Baqir bukan sekadar seorang ulama dan guru agama tetapi beliau juga seorang nasionalis. Malah pusat pengajian Islam yang dibangunkannya di Gunung Semanggol menjadi pusat Islam yang progresif atau bermanhaj baru.

Maka tidak mustahil untuk Abu Bakar Al-Baqir bersama-sama teman sebaris dengannya tanpa mengira apapun ideologi mereka baik sosialis atau nasionalis hatta komunis, mereka berganding bahu untuk mendapatkan kemerdekaan.

Melalui gerakan Abu Bakar Al-Baqir ini juga menjadi perintis kepada penubuhan Parti Islam Se-malaya yang hari ini dikenali dengan nama Parti Islam Se-Malaysia(Pas). Ia juga menjadi bukti seluruh ideologi yang pelbagai mampu untuk bersama apabila memikirkan perjuangan rakyat terbanyak.

Begitulah ironinya perjuangan sesetengah dari agamawan hari ini. Sikap prejudis mula subur disebalik kata _"ianya pendekatan berhati-hati dengan musuh Islam"_. Mereka terkepung dengan istilah dan kuasa.

Bayangkan jika Kongres Gunung Semanggol yang pernah menggusarkan Umno atau Pekembar sekali lagi bergema, pasti kerajaan yang angkuh hari ini dapat ditumbangkan. Iqra'.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: