Pemimpin bermewah-mewah, rakyat termengah-mengah

Muhamad Syafik Azmi

RM38.5 bilion adalah jangkaan kutipan GST bagi tahun 2016. Seluruh rakyat terkesan dengan sistem cukai ini bermula dari bayi didalam kandungan hinggalah jenazah yang akan dikebumikan.

Namun jika dibahagikan kepada 31.7 juta rakyat Malaysia pada jumlah kutipan GST 2016, setiap individu yang bergelar warganegara layak menerima RM1200 seorang. Maknanya ia setara dengan pemberian BR1M yang diumumkan pada pembentangan bajet 2017 baru-baru ini.

Namun persoalan yang harus difikir rakyat untuk ditanyakan kepada kerajaan memerintah hari ini, apakah setiap dari kita menerima wang tersebut? Atau yang berkeluarga hanya menerima RM1200 untuk setiap keluarga dan bukannya secara individu?

Kerajaan juga perlu sedar bilangan ahli keluarga bukanlah semuanya seragam. Mungkin ada keluarga yang jika dijumlah dari ibu bapa sehingga anak kecil mempunyai bilangan lebih dari 6 orang. Sudah tentu ia menjadi beban kerana semakin besar bilangan ahli keluarga bermakna jumlah GST yang dikeluarkan juga akan membesar.

Bayangkan jika 6 orang sekeluarga mengeluarkan RM1200 seorang untuk GST, bermakna ada keluarga yang terpaksa membayar RM7200 setahun untuk GST, tetapi ianya hanya diberi "bantuan" sebanyak RM1200 dengan BR1M. Lalu rakyat diseru oleh sesetengah pihak untuk bersyukur secara membuta tuli.

Dengan segala macam kos yang mengalami kenaikan serta pengurangan subsidi atau penghapusan subsidi(walhal niatnya hanya untuk menaikkan harga), itu semua perlu ditanggung rakyat terbanyak. Apakah ini kerajaan yang harus kita pertahankan hari?

Rakyat punya pilihan setiap 5 tahun sekali untuk bertindak menukar kerajaan yang hanya menyajikan retorik kerajaan "rakyat didahulukan pencapaian diutamakan". Mungkin yang dimaksudkan itu sebenarnya rakyat didahulukan untuk membayar setiap beban dan salah tadbir urus yang dibina oleh kerajaan hari ini.

Slogan yang paling tepat untuk kerajaan laungkan pada rakyat selepas ini adalah "penimpin bermewah-mewah, tetapi rakyat bermengah-mengah".

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel