• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Tiada kebijaksanaan dan sikap hormat kerajaan Datuk Seri Najib Razak

Raja Bahrin Shah Raja Bahrin Shah

Semasa perbahasan di Dewan Rakyat semalam, soalan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) tentang kenapa DYMM Yang di-Pertuan Agong tidak menandatangani akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) Tan Sri Shahidan Kassim menyatakan, "...ia dilakukan mengikut undang-undang dan keadaan suasana hari ini dan semasa krisis Perlembagaan Raja-raja pada 1993 adalah berbeza...".

Saya berpendapat kenyataan tersebut tidak memberi jawapan yang tepat dan munasabah. Rakyat perlu diberi penjelasan yang tepat dan sebenarnya.

Krisis Perlembagaan 1993 telah melihat proses perundingan serta tolak ansur antara Majlis Raja-Raja dan Kerajaan sebelum ia menjadi undang-undang. Rundingan yang berlaku menunjukkan ada sikap saling menghormati satu sama lain.

Dalam isu MKN, Majlis Raja-Raja pada Februari 2016 telah meminta Kerajaan "menghalusi" semula cadangan tersebut untuk dipertimbangkan semula, tetapi Kerajaan Datuk Seri Najib Razak tidak mengendahkan pandangan tersebut. Ia diluluskan tanpa pindaan. Tiada sikap menghormati pandangan Majlis Raja-Raja ditunjukkan.

Sebelum pada itu, pada bulan Oktober 2015, Majlis Raja-Raja juga telah meminta kerajaan menyelesaikan dengan baik kontroversi 1MDB. Sekali lagi kerajaan telah mengambil sikap tidak bertindak sewajarnya dalam isu 1MDB.

Dalam krisis Perlembagaan 1993, kerajaan telah menunjukkan sikap lebih bijaksana, sanggup berbincang dan bertolak ansur, sementara dalam isu MKN:

1) Kerajaan mengambil sikap tidak mengendahkan langsung pandangan Majlis Raja Raja (termasuk dalam isu 1MDB beberapa bulan sebelum itu). Sikap menghormati pandangan Majlis Raja-Raja langsung tidak ditunjukkan.

2) DYMM Yang di-Pertuan Agong menandatangani Pindaan Perlembagaan 1993 setelah ada perbincangan dalam isu tersebut, sementara Akta MKN tidak ditandatangani setelah Kerajaan tidak menimbang cadangan untuk menghalusi cadangan MKN. Sikap menghormati Majlis Raja-Raja tidak ditunjukkan oleh kerajaan.

3) Sikap kerajaan yang tidak ingin bertolak ansur dan tidak menghormati Majlis Raja-Raja merugikan negara dalam isu MKN (dan juga isu 1MDB.)

4) Sikap Kerajaan Datuk Najib hari ini yang tidak menunjukkan kebijaksanaan dan sikap bertolak ansur terhadap Majlis Raja-Raja amatlah tidak menepati cara dan budi bicara Islam dan Melayu tempatan. Menteri menekankan mereka "mengikuti undang undang" seolah-olah budi bicara dan adat tidak penting langsung.

MKN tidak ditandatangani oleh DYMM Tuanku Agong kerana tiada sikap bijaksana dan angkuh ditunjukkan oleh Datuk Najib dalam menangani isu tersebut. Majlis Raja-Raja juga sedar betapa bahayanya MKN yang memberi kuasa "mutlak" kepada Perdana Menteri untuk mengistihar kawasan darurat tanpa merujuk kepada Agong dan ini akan meletakkan Negara dibawah risiko pemerintahan "kuku besi".

Itulah sikap angkuh Datuk Najib terhadap Raja-Raja Melayu, kepada pembangkang dan juga Rakyat.

* Raja Bahrin Shah ialah ahli parlimen Kuala Terengganu

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel