• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Beraksilah sebagai sang visioner dan revolusiner, bukan sebagai sang bencana

Muhammad Syafiq AzmiMuhammad Syafiq AzmiBukan Rudy Habibie sahaja layak digelar sang visioner. Malah terdapat lagi sosok sang visioner dan revolusiner. Namanya bukanlah asing bagi yang membaca politik besar dunia. Kepakarannya memang melayakkannya menjadi pemimpin yang sering dijadikan mentor kepada mereka yang terpengaruh dengan modenisasi.

Necmetin Najmullah Erbakan merupakan Perdana Menteri Turki pada tahun 1996 hingga 1997. Beliau dilahirkan pada tanggal 29 Oktober 1926 di Sinop, Utara Turki.

Cuma yang uniknya, beliau pernah sama-sama menuntut di universiti yang sama dengan Rudy Habibie di Jerman. Rhein Westfalen Aachen Techinische Hocschule(RWTH) menjadi tempat pertemuan antara kedua-duanya.

Mereka saling berkongsi perjuangan agar suara muslim itu didengari di dalam kampus RWTH. Ketika itu mereka merangka untuk mendapatkan ruang solat yang sebelum itu tiada. Asalnya berlaku negosiasi oleh Erbakan untuk turut dilibatkan negaranya kerana idea asalnya adalah milik Rudy Habibie. Lalu mereka saling mengisi keperluan sesama mereka asalkan apa yang mereka hajati terlaksana.

Dari segi latar bidang dan pengkhususan Erbakan, beliau bermusafir ke Jerman bagi menyambung pengajiannya di RWTH untuk PhD keduanya dalam Kejuruteraan Termo-dinamik. Kemudian beliau dilantik sebagai ketua jurutera bagi membina kereta kebal German Leapord 1A.

Itulah hebatnya guru kepada Recep Tayyip Erdogan yang hari memimpin Turki sebagai sambungan kepada perjuangan yang diwariskan Erbakan. Parti politik yang diasaskan Erbakan satu demi satu diharamkan sehinggalah Parti Refah diasaskan.

Namun selepas memenangi sebahagian besar kerusi, Erbakan dilantik sebagai Perdana Menteri kerajaan campuran pada 1996. Seperti biasa, kali ini bukan sekadar parti diharamkan malah kerajaan campuran pimpinan Erbakan digulingkan pada 1997.

Beliau pulang(meninggal dunia) ke kampung halamannya pada usia 85 tahun untuk bertemu sang pencipta dengan Hospital Ankara Guven menjadi saksi hembusan nafas perjuangan Erbakan.

Bacharuddin Jusuf Habibie (BJ Habibie) atau Rudy Habibie juga adalah penuntut lepasan RWTH di Aaechen, Jerman. Juga tidak kurang hebatnya sama seperti Erbakan.

Rudy Habibie telah dilahirkan pada 25 Jun 1936 di Pare-Pare, Selatan Sulawesi. Jika Erbakan telah membuktikan kemampuannya membina kereta kebal, Rudy Habibie pula membuktikan beliau mampu membina pesawat.

Rudy Habibie melanjutkan pengajiannya dalam bidang Teknologi Ruang Angkasa. Itu bukanlah minat yang sedikit malah ia adalah cita-cita yang ditanam sejak beliau kanak-kanak lagi. Tetapi dia hanya boleh membuktikan kepakarannya itu ketika diminta pulang ke Indonesia.

Lalu pada tanggal 10 Ogos 1995, N-250 telah siap melakukan penerbangan pertamanya. Dibina di bawah penyelenggaraan Industri Pesawat Terbang Nusantara(IPTN) yang hari ini dikenali dengan Indonesia Aerospace, pesawat ini mampu menerbangkan 50 penumpang dalam satu-satu masa.

Beliau terjun ke dalam politik ketika era Presiden Suharto dan pada Mei 1998 beliau telah dipilih menjawat posisi Presiden Republik Indonesia yang ke-3. Namun ia tidak bertahan lama atas desakan beberapa kasus yang dipertanggungjawabkan ke atasnya. Oktober 1999, Rudy Habibie menyatakan hasratnya untuk tidak bertanding lagi kerusi Presiden.

Maka berbanggalah kedua-dua buah negara ini. Turki dengan Erbakannya dan Indonesia dengan Rudy Habiebienya. Seorangnya pakar kereta kebal dan seorang pula pakar pesawat. Bukan sahaja anak, cucu dan cicit mereka tidak segan dan malu berkongsikan kisah mereka pada masa hadapan, malah rakyat sendiri akan berkelana ke mana-mana negara dengan penuh bangga dan teruja.

Itulah hebatnya pemimpin sang visioner dan revolusiner. Mereka tidak perlu korupsi untuk mencipta nama. Juga tidak perlu kleptokrasi untuk membuatkan rakyat bangga. Apa yang perlu adalah belajar dan beraksi bagaimana untuk diingati sebagai sang visioner dan revolusiner dan bukan sang bencana.

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: