Pemimpin di awangan, rakyat di pinggiran

Merenung langkah memasuki tahun 2017 membawa banyak reaksi dari berbagai pihak. Rakyat menyedari 2017 akan membawa banyak lagi cabaran dan dugaan tetapi Kerajaan terus di awangan tidak menghadapi realiti sebenarnya.

Sementara rakyat muram dan berjimat cermat dengan naiknya lagi harga petrol di ambang tahun baru, Perdana Menteri di beritakan terbang dengan keluarga bercuti menaiki jet mewah Kerajaan menjelajah Australia. Tanpa menghayati sensitiviti rakyat gambar bermain golf dan beriadah mewah sekeluarga di sebarkan di facebook ahli keluarganya. Ini semasa rakyat perit menanggung derita kos hidup yang tinggi.

Dimana keperhatinan mereka untuk bersama sama rakyat kalau tidak bersama susah pun sekurang kurangnya kurangkanlah perbelanjaan dan tunjuk sikap jimat cermat saperti Jokowi yang menaiki pesawat komersial semasa bercuti. Itulah pemimpin berjiwa rakyat yang telah dipilh pemimpin terbaik Asia bagi 2016. Jauh perbezaannya jika dibanding Perdana Menteri Malaysia hari ini.

Di Terengganu Darul Iman yang juga dikenali sebagai 'Kuwait Malaysia' yang bergantung hampir 90 peratus pendapatan atas ehsan Kerajaan pusat, acara pelancaran tahun Melawat Terengganu dan Tahun Baru di sambut penuh meriah serta mewah dengan pertunjukkan bunga api yang mahal.

Sambil berjalan di pasar pada hari Jumaat pula saya mendengar aduan rintihan beberapa pegawai kuatkuasa Kerajaan yang "over time" mereka sudah 3 bulan tidak di bayar. Mereka mesti membeli baju serta peralatan sekolah anak dan mereka tiada sumber yang cukup memandangkan kos sara hidup dan alaun kerja tiga bulan tertangguh.

Di sebuah pusat pepindahan banjir pula pada 1 Januari, ketua kampung mengeluh sambil mengadu sikap Kerajaan bermewah mewah bermain bunga api berdentum sama kuat dengan guruh hujan monsoon sambil rakyat mengalami banjir.

Katanya Kerajaan tidak sensitif dan terpisah dari denyutan nadi rakyat yang susah kos sara hidup dan tempat tinggal sementara beratus ribu dibelanja untuk bunga api di Negeri dan peringkat pusat. Dalam masa yg sama kerajaan kata tidak ada duit untuk bantuan murid miskin dan biasiswa sementara pihak atasan terus bermewah lagi. Kata mereka kerajaan terpisah dari realiti sebenar kesusahan rakyat.

Ada Menteri mengatakan Perdana Menteri berhak menggunakan jet Kerajaan untuk bercuti dengan keluarga. Presiden Indonesia Jokowi dan Perdana Menteri Singapura Lee pun berhak menggunakan jet Kerajaan untuk bercuti tetapi mereka lazimnya tidak berbuat demikian walau pada masa ekonomi baik dan dalam suasana biasa.

Sekarang Malaysia dan dunia mengalami situasi ekonomi yang tidak baik bertambah dengan musim banjir yang sedang melanda. Pada tahun 2014 juga Datuk SeriNajib bermain golf di Amerika semasa musim tengkujuh dan banjir buruk dan tidak juga segera pulang masa bencana banjir. .

Kalau bercakap tentang hak, rakyat pun berhak mengharapkan sedikit keperhatinan dan peduli dari Perdana Menteri mereka dalam masa susah dan bencana alam. Kenapa Datuk Najib begitu terpisah dari realiti yang wujud di bumi Malaysia hari ini ?
Masih di awangan langit biru dalam jet mewah lagi kah Datuk Najib sementara rakyat di bawah di banjiri hujan dari angkasa?

Datuk Najib perlu sedar zaman feudal telah lama berlalu dan dunia telah berubah.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: