Kisah pemilihan ketua kampung akai kemetot

Jamzuri Ardani

Pertikaian di Kampung Akal Kemetot - gambar hiasan.


Malam kian larut. Pok Jib masih termanggu di beranda. Fikirannya betul-betul kusut. Hidangan yang disediakan oleh Mak Mah untuk makan malam pun tidak dijamah. Dia hilang selera. Hatinya resah.

“Ini semua gara-gara Wan Emdibi. Tak guna punya kawan!” hatinya membentak melepaskan geram kepada kawan barunya itu.

Khabar mula tersebar, Wan Emdibi ditangkap ketika sedang berjudi di Kampung Besar. Orang mula bertanya, macam mana tiba-tiba sahaja Wan Emdibi jadi kaya. Walaupun selalu kalah berjudi, Wan Emdibi sentiasa ada banyak duit sejak berkawan dengan Pok Jib. Dia beli kereta baru di Kampung Atas Bukit. Dia beli tanah dan buat banglo besar di Kampung Besar. Dia juga beli macam-macam barang mewah di kampung Pulau Selatan dan Kampung Jauh Seberang. Banyak betul duit Wan Emdibi sejak berkawan dengan Pok Jib. Hartanya ada di merata kampung.

Ada yang kata duit itu adalah duit yang hilang dicuri dari Tabung Masjid. Duit Koperasi Kampung dan Duit Khairat pun hilang juga. Entah-entah Wan Emdibi guna duit itu untuk berjudi dan bermewah.

Hanya Pok Jib tahu dari mana Wan Emdibi dapat duit. Dia yang beri duit itu. Dia suruh kawannya itu tolong simpankan dulu. Dia nak pakai nanti. Mesyuarat Pemilihan Ketua Kampung tak lama lagi. Bila teringat pasal pemilihan Ketua Kampung, hati Pok Jib semakin berdebar.

“Silap-silap boleh kalah aku kali ni,” detik hati Pok Jib risau.

Dalam pemilihan sebelum ni, dia hampir kalah. Mujur dia ada banyak duit masa tu. Dan mujur juga Pengerusi Mesyuarat pandai main silap mata untuk pastikan Pok Jib menang dalam pemilihan dulu. Dapatlah Pok Jib terus jadi Ketua Kampung. Bukan main seronok dan bangga Mak Mah masa tu bila diumumkan Pok Jib terpilih jadi Ketua Kampung. Tapi kali ini dia betul-betul bimbang.

Pok Jib, ketua kampung Akal Kemetot. - gambar hiasan.Dua Wakil Kampung yang dulu menyokongnya sudah berpaling tadah. Dia pun tahu sebab apa. Cedet dan Idin marah dengan Wan Emdibi. Mereka tahu Pok Jib bagi duit curi pada Wan Emdibi. Pok Jib tahu dia sudah hilang dua undi dari Wakil Kampung. Cedet dan Idin tidak akan menyokongnya lagi.

Pok Jib tak berani nak cakap apa-apa dengan Cedet. Dia otai kampung. Dia pernah jadi Ketua Kampung. Masa Cedet jadi Ketua Kampung dulu, Pok Jib cuma pandai susun fail saja. Kalau dia jumpa Cedet, teruk dia kena leter. Idin pun dulu sama-sama dengan Pok Jib pusing keliling kampung. Naik kereta sama-sama. Kalau tak kerana angkara Wan Emdibi, tentu Idin masih menyokongnya, fikir Pok Jib.

Dulu dia dapat enam undi menyokong, empat undi menentang. Sekarang bila dua Wakil sudah tidak lagi menyokongnya, Pok Jib bimbang dia mungkin cuma akan dapat empat undi. Enam lagi tidak akan menyokongnya. Ini bahaya bagi Pok Jib. Dia mula mencongak dan mengira.

Dia masih ingat lagi muka empat orang Wakil Kampung yang tidak menyokongnya dulu. Tok Imam, Mama Ijah, Makal, dan Uncle Lim.

“Aku mesti buat sesuatu untuk dapatkan sokongan mereka. Kalau tidak kalah aku nanti,” bisik hati kecil Pok Jib.

Dulu masa Tok Velu masih hidup dan jadi Wakil Kampung, dia sentiasa sokong Pok Jib. Tapi bila anaknya Makal ganti jadi Wakil, hubungan Pok Jib dengan Makal tidak sama. Tidak seakrab macam Pok Jib dengan Tok Velu. Dulu boleh makan setalam, tidur sebantal dengan Tok Velu. Sekarang tidak lagi. Pok Jib berkira-kira nak beri duit yang banyak pada Makal supaya menyokongnya dalam pemilihan nanti. Tapi, Wan Emdibi sudah habiskan duit Pok Jib. Itulah yang merisaukan Pok Jib.

Pok Jib pernah cuba tawar duit pada Uncle Lim untuk menyokongnya. Tapi Uncle Lim tak heran pun dengan duit tu. Dia pun memang ada banyak duit. Dia ada bengkel basikal, bengkel motorsikal dan bengkel kereta. Semua orang kampung hantar kenderaan mereka ke bengkel Uncle Lim. Pernah sekali Pok Jib cuba nak halau Uncle Lim keluar kampung, tapi bila dia fikir balik takut orang kampung marah. Sapa pulak nak repair motorsikal dan kereta orang kampung. Pok Jib pun tak jadi nak halau Uncle Lim keluar kampung. Pok Jib tahu, Uncle Lim tak akan menyokongnya.

Mama Ijah pula selalu dengar nasihat anak-anaknya. Kebetulan anak-anak Mama Ijah pandai-pandai belaka. Ada yang masuk universiti. Ada yang buka perniagaan. Ada yang jadi pegawai besar. Semua anak-anak Mama Ijah tahu perangai buruk Pok Jib. Susah Pok Jib nak dapat sokongan Mama Ijah. Mama Ijah pasti akan ikut nasihat anak-anaknya, fikir Pok Jib.

Pok Jib teringat pada Tok Imam. Dulu Tok Imam memang akrab dengan Tok Guru. Tok Imam akan ikut sahaja nasihat Tok Guru yang selalu mengajar di Masjid kampung itu. Lebai-lebai pun semua akan ikut nasihat Tok Guru. Putih kata Tok Guru, putihlah kata mereka. Hitam kata Tok Guru, hitamlah kata mereka. Tok Guru pula jenis manusia cerdik. Macam-macam Pok Jib cuba tipu dia, tapi Tok Guru dapat cium tipu muslihat Pok Jib. Dalam pemilihan lepas, Tok Guru masih hidup. Dia pesan jangan sekali-kali percaya Pok Jib. Tok Guru kata, lebih baik percaya kat Uncle Lim daripada percaya pada Pok Jib. Tok Imam pun ikut pesan Tok Guru supaya tak sokong Pok Jib.

Tapi sekarang Tok Guru sudah tiada. Lebai-lebai ikut sahaja kata Tok Imam pula. Putih kata Tok Imam, putihlah kata mereka. Hitam kata Tok Imam, hitamlah kata mereka.

Pok Jib ada idea macam mana nak dapatkan sokongan Tok Imam. Sejak ketiadaan Tok Guru, kerja Pok Jib makin senang untuk pengaruhi Tok Imam. Pok Jib selalu buat kenduri tahlil dan doa selamat. Pok Jib jemput Tok Imam baca doa. Pok Jib jemput lebai-lebai makan kenduri sama. Pok Jib akan pastikan Mak Mah masak sedap-sedap. Pernah Pok Jib jamu makan ayam kampung sampai sembilan ekor. Pernah juga Pok Jib bagi mereka makan burung goreng berempah. Katanya burung Merbok, tapi Tok Imam dan lebai-lebai tak tahu sangat pasal burung. Senyum lebar Mak Mah tengok berselera sungguh Tok Imam dan lebai-lebai makan di rumah Pok Jib. Habis hidangan dimakan sampai tulang-tulangnya sekali. Setakat bagi makan lebai-lebai ni banyak mana sangat. Tak luak pun duit yang Pok Jib curi dari Tabung Khairat haritu.

Hubungan Pok Jib dengan Tok Imam makin akrab dan mesra. Bila ada lebai tanya Tok Imam kenapa dia begitu mesra dengan Pok Jib tak macam dulu, Tok Imam kata itu tandanya dia telah matang. Tak macam masa dia muda-muda dulu. Lebai-lebai pun mengangguk sahaja.

Pok Jib yakin, Tok Imam pasti akan menyokongnya dalam pemilihan ini. Tapi Pok Jib tetap risau. Tok Imam sebenarnya tak berapa sihat. Selalu sakit-sakit dan masuk hospital. Kalau Tok Imam jatuh sakit masa Mesyuarat Pemilihan nanti, Pok Jib bimbang Imam Muda akan menggantikan tempat Tok Imam. Sekarang pun dengarnya Tok Imam selalu tak datang masjid. Kalau ada jemputan kenduri saja dia tak pernah ponteng. Selalu Imam Muda yang ganti tempat dia di masjid bila Tok Imam tak datang.

Pok Jib tahu Imam Muda tak akan sokong dia. Imam Muda masih ingat pesan Tok Guru. Jangan sekali-kali percaya dengan Pok Jib. Imam Muda pegang kuat pesan Tok Guru. Dia tidak akan sokong Pok Jib. Imam Muda tak pernah datang pun makan kenduri di rumah Pok Jib. Imam Muda takut subahat makan hasil duit curi.

Kalau Tok Imam sakit habislah peluang Pok Jib. Pok Jib kena pastikan Tok Imam sihat dan tidak sakit. Sekurang-kurangnya sampai lepas pemilihan. Lepas tu apa nak jadi pada Tok Imam jadilah, dia dah tak kisah.

Pok Jib suruh Mak Mah masak akar-akar kayu dicampur daun-daun herba buat ubat untuk Tok Imam. Biar Tok Imam sihat dan kuat. Jangan biarkan Tok Imam sakit. Ternyata ramuan Mak Mah memang hebat dan berkesan. Tok Imam nampaknya makin sihat. Kalau Tok Imam sihat, Pok Jib yakin Tok Imam akan sokong dia. Dia akan dapat 5 undi menyokong. Selebihnya, tahulah dia macam mana nak berpakat dengan Pengerusi Mesyuarat nanti untuk memastikan kemenangan. Dia ada banyak perancangan. Dia boleh upah budak-budak jahat colek Mama Ijah. Dia boleh upah budak-budak jahat bakar bengkel Uncle Lim. Dia boleh upah budak-budak jahat belasah Cedet dan Idin sampai mereka semua tak dapat datang mesyuarat pemilihan nanti. Dia boleh buat macam-macam.

Yang penting Tok Imam mesti sokong dia. Kalau Tok Imam sokong dia, dia yakin dia akan terus jadi Ketua kampung. Dia boleh terus curi duit Tabung Masjid, Tabung Khairat, dan Tabung Koperasi kampung lagi. Dia boleh terus minta Geng Suka Tipu kutip yuran dari orang kampung. Dia akan jadi bertambah kaya.

Pok Jib menuju ke katil. Dengkuran Mak Mah tidak lagi dihiraukannya. Dia pun terus lelap mata.

Malam itu Pok Jib mimpi mancing ikan atas bot dengan Tok Imam.

Alkisahnyer …

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: