Kehidupan di bawah lembayung Ilahi

 Kehidupan dilihat seperti sebuah misteri dan tanpa petunjuk Ilahi melalui Rasul dan NabiNya kita pasti hidup dalam keraguan. Kehidupan dilihat seperti sebuah misteri dan tanpa petunjuk Ilahi melalui Rasul dan NabiNya kita pasti hidup dalam keraguan.

Kehidupan manusia di alam ini adalah satu kehidupan yang telah ditentukan oleh Pemilik Alam ini. Ada banyak perkara yang tidak diketahui oleh manusia mahupun dapat ditangkap oleh akal.

Jika kita melihat ke langit di waktu malam yang cerah kita akan terpandang dan terpesona kerlipan jutaan bintang-bintang di langit. Kekadang kita bertanya di dalam hati adakah makhluk yang lain di bintang yang berkerlipan itu.

Lantaran itu kehidupan dilihat seperti sebuah misteri dan tanpa petunjuk Ilahi melalui Rasul dan NabiNya kita pasti hidup dalam keraguan dan keserabutan akal dan jiwa.

Lihat sahaja cuaca di tempat kita yang sentiasa berubah, sekejap hujan dan sekejap panas. Ada yang menyangka cuaca panas hingga ke petang namun ribut melanda di tengah hari.

Ada manusia menyumpah-nyumpah di dalam hatinya apabila cuaca panas bertukar hujan lebat hingga segala yang dirancang jadi gagal. Sedangkan Allah lah Pencipta dan Pengurus alam maya ini yang menentukan bila awan akan menurunkan hujan dan bila pula matahari terik memanaskan suhu bumi.

Namun bila cuaca panas memanjang sehingga berbulan-bulan tanpa hujan walau setitik dan tanaman mula kering dan rosak maka hatinya pula menyumpah-nyumpah kenapalah hujan tidak turun. Alangkah sedikitnya akal manusia itu!

Firman Allah SWT dalam Surah Lukman:

“Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dia-lah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya besok. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (S Lukman: 34)

Jika kita menetap di luar negara seperti UK atau jiran terdekat di negara kita seperti di Jepun cuaca berubah ikut musim. Pada musim sejuk cuacanya memberi impak kepada perasaan dan emosi masyarakat khasnya orang-orang tua.

Pada musim sejuk biasanya adalah musim persekolahan. Bila musim panas tiba waktu itulah musim cuti persekolahan dan semua mula keluar dari rumah melancong dan membawa keluarga berkelah menikmati suhu yang panas untuk bermain dan berhibur bersama keluarga.

Begitu juga para pencinta Umrah akan menuju Baitullah memilih musim yang dingin di Mekkah dan Madinah. Tidak kiralah samada umrah sunat atau wajib. Kebiasaannya musim sejuk sekitar bulan Disember hingga Februari. Bagi saya yang pernah umrah pada musim dingin sangat-sangat bersyukur kerana nikmatnya limpahan rahmat Allah SWT.

Apabila musim spring atau musim bunga menjelma tiba ianya seperti harapan baru kepada emosi dan jiwa. Apabila dapat melihat pucuk-pucuk di dahan-dahan pokok mula berbunga dengan suhu yang sederhana nyamannya. Kelihatan burung-burung terbang riang dan hinggap di dahan pokok berkicau-kicauan seperti zikir kepada Allah SWT. Jiwa-jiwa yang biasa dilanda kesedihan di musim sejuk atau dingin mula berubah kepada ceria dan gembira.

Dalam tragedi alam yang maha dahsyat di Aceh pada tahun 2004 jika tidak salah yang mengorbankan hampir 200,000 nyawa tiada siapa menyangka. Sebelumnya Aceh perang saudara hampir berbelas tahun dan mengalirkan darah hampir 17,000 nyawa. Namun Thunami yang maha ganas itu telah meranapkan kekerasan hati kedua belah pihak dan tamatnya perang saudara. Dari Daerah Operasi Militer (DOM) kini Aceh sudah aman. Segala hasil mahsul dan pentadbiran negeri diselesaikan di meja rundingan. Kota Aceh yang tertutup dari luar sejak sekian lama sudah terbuka dan ekonominya kini semakin makmur.

Bosnia juga tidak terkecuali. Kota Muslim itu sudah hilang ruh keimanannya. Namun perang saudara antara agama yang sangat dahsyat dan kejam itu sekitar 1995 itu telah menyedarkan umat Islam bahawa mereka perlu kembali kepada jati diri mereka. Ianya dipanggil huwiyyah (identiti) atau jati diri. Akhirnya kini Islam semakin makmur dan umat kembali bertauhid. Masjid dan makmumnya semakin ramai dan penuh. Orang-orang muda kembali menghayati Islam sebagai ikutan dari keturunan mereka di bumi Balkan itu.

Sememangnya kita sebagai insan diberikan kudrat dan akal untuk merancang dan melakukan pelbagai projek dan amalan dalam pelbagai hal. Namun selepas kita berusaha kita disuruh bertawakkal kepada Pencipta. Jadi dalam hal tawakkal ianya adalah di luar kawalan kita sebagai insan yang lemah. Kita bersandar kepada Tuhan Yang Maha Esa. Apa yang ditentukan olehNya itulah yang akan terjadi di atas ilmu Allah Yang Maha Mengetahui.

Dari kejadian alam dan cuaca yang bertukar ganti mahupun kejadian dan malapetaka yang dihadapi manusia semuanya ada tersembunyi beribu hikmah.

Semuanya ini tanda-tanda kebesaran Ilahi. Ianya dipanggil ayatul manzhurah. Iaitu ayat-ayat Allah yang dapat dilihat. Di sana ada ayatul maqru'ah iaitu Kitab Suci Al-Quran iaitu ayat yang dibaca. Ketika kita membaca Al-Quran, rasakanlah Allah SWT sedang berbicara kepada kamu.

Dari pembacaan kita terhadap ayat Allah yang dibaca dan ayat Allah yang kita lihat, semuanya tidak lain ialah Allah menyuruh kita melihat dan mengkaji tanda-tanda kebesaranNya pada ufuk alam dari bumi hingga ke langit dan pada kejadian manusia yang penuh hebat tidak mampu difikir manusia.

Ianya juga menunjukkan bahawa manusia terlalu kerdil untuk mengetahui semua perkara dan kejadian.

Tidak semua mampu difikir apatah lagi sebab dan akibat ciptaan Allah kepada semua makhluknya.

Manusia selalu berfikir jika berlaku sesuatu musibah maka dia merasa Allah tidak adil kepadanya dan apabila mendapat nikmat dia merasa Allah telah mengasihinya.

Semua yang Allah takdirkan adalah semua baik. Jika diuji kita harus sabar dan bila dilimpahi nikmat kita harus bersyukur. Namun di dalam Al-Quran Allah menyuruh kita bersabar dan kuatkanlah kesabaran.

Menunjukkan bahawa sabar yang hakiki itu sukar. Bercakap tentang sabar itu mudah. Al-Quran juga mengatakan dalam banyak ayat bahawa orang yang bersyukur itu sedikit. Bercakap tentang syukur mudah namun benar-benar bersyukur dengan melakukan taat kepada Allah itu sukar walaupun rezeki yang diterima itu amat sedikit.

Ramai yang merasa apabila ditimpa nikmat dia mengatakan itu usaha sendiri. Sedangkan Allah SWT lah Pemberi Nikmat itu kepadanya. Bayangkan seorang ilmuan yang hebat di menara gading merasa bangga dengan ilmunya namun apabila dia ditimpa sakit tua atau pelbagai penyakit lain, segala kehebatan ilmunya sudah hilang.

Kesimpulan dari tulisan saya yang pendek ini ialah bahawa manusia sangat-sangat terhad ilmunya untuk memahami semua perkara. Baca dan kajilah bicara Allah SWT dalam kitabNya dan kaji dan bacalah ayat-ayat Allah SWT dalam segala ciptaanNya meliputi langit dan bumi. Berdoalah agar dikurniakan rezeki ilmu dan kefahaman. Semuanya dari Allah SWT. Maka marilah kita menjadi hambaNya yang yang abid dan tunduk kepadaNya.

Amalan para sahabah apabila ditanya jika tidak mengetahui mereka akan menjawab "Allah wa rasuluhua'lam. Allah dan RasulNya lebih Mengetahui."

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel