Apa tujuan siasah dalam Islam

 

Politik atau siasah mempunyai kata asas yang mungkin serupa pada kebanyakan masyarakat. Namun siasah lebih luas konsep dan penggunaanya. Kerapkali bila bicara soal politik apa yang difikir oleh minda ialah pilihanraya dan soal siapa akan jadi Exco atau Menteri Besar dan jawatan Perdana Menteri (PM). Jadi sibuklah semua pihak berkempen di sana sini memberikan pelbagai idea dan lontaran pemikiran menyokong sesuatu dasar parti mahupun menyerang pihak lawan serta mempertahankan pendirian parti masing-masing.

Politik berasal dari perkataan Greek iaitu “politika” atau affairs of the cities. Dari situ muncul lah orang politik yang membuat polisi untuk perbandaran mahupun negeri dan Negara.
Siasah pula asal kata dari maksud menguruskan sesuatu atau menguruskan satu urusan yang berkenaan manusia. Urusan memilih pemimpin bagi menguruskan sebuah Negara adalah salah satu perkara besar dalam Islam dan mempunyai impak kepada kestabilan dan keamanan sesebuah Negara.

Manakala bila disebut politik Islam sudah tentu pendekatan yang diambil mestilah berteraskan agama Islam dan bukan politik menghalalkan cara.

Apabila disebut siasah syariah ianya bermaksud menguruskan urusan manusia terutama berkenaan urusan kenegaraan berteraskan hukum syarak berasaskan sumber Al-Quran, Hadith, ijmak dan qiyas.
Walaupun demikian cakupan siasah syariah sangatlah luas dan amat dalam selagi mana terangkum batasan harus dalam kerangka mencapai matlamat-matlamat syarak atau maqasid syariah.

Prinsip Maqasid itu sudah pasti adalah bagi mencapai maslahah atau kebaikan bagi manusia, menolak sebarang bentuk keburukan (mafsadah) serta meninggalkan sebarang bentuk kemudaratan selagi itulah siasah syariah berfungsi dan beroperasi.
Ini semua membolehkan sebarang isu baru mahupun tindakan dan langkah siasah dapat diselesaikan berteraskan keadaan semasa (waqi’), masa dan zaman.

Siasah syariah juga mengambil kira keadaan sesebuah Negara yang sedang berada dalam kancah darurat mahupun sesuatu perkara yang menyebabkan mereka terpaksa melakukan sesuatu tindakan yang dilarang oleh sebab darurat itu sendiri. Kaedah Feqah Al-Darurah tubihul mahzhurat iaitu darurat mengharuskan yang dilarang akan diguna pakai.

Apabila situasi darurat sudah hilang maka tidak boleh lagi melakukannya berpandukan kaedah Fiqah iaitu “wa al-daruratul tuqaddaru biqadariha” iaitu darurat itu diukur dengan kadarnya.
Pihak berkuasa juga harus membuat penilaian memilih antara dua kemudaratan mana yang lebih ringan (akhaf al-darurarain), mahupun menolak kemudaratan sebelum untuk mencapai sesuatu maslahah “dar’ul mafasid muqaddam ala jalbil masolih”.

Ia juga menuntut kepada pertimbangan antara dua kebaikan mana yang lebih aula dalam menentukan sikap dan pendirian.
Ia juga mengambil kira keutamaan yang paling utama (ahammu ala al-muhim) sebelum mahu meneruskan sesuatu pendirian dan keputusan.

Mana yang lebih utama diusahakan terlebih dahulu dan bergerak selangkah demi selangkah demi mengambil kira kemampuan masyarakat memahami seseuatu isu dan melaksanakannya secara berhikmah dan bijaksana.

Dalam peristiwa pembukaan Kota Mekkah, Baginda Al-Rasul ingin meruntuhkan Kaabah yang sedia ada dan membina semula, namun demi mengambil kira pandangan dan sensitiviti masyarakat Arab Mekkah yang baru memeluk Islam khuatir menuduh Nabi sebagai peruntuh Kaabah menangguhkannya demi menolak kemudaratan walaupun adanya kebaikan.

Dalam kehidupan beragama memang Allah telah menurunkan wahyu dan hadith Nabi yang menjadi teras kepada syariah. Namun untuk melaksanakan hukum syariah itu memerlukan kebijaksanaan kerana ianya akan dilaksanakan kepada manusia yang pelbagai ragam dan cara fikir sesuai dengan semua tempat dan zaman. Syariah pula mempunyai sifat anjalnya atau murunah selagi mana menurut batas-batas syarak dan dalam ruang lingkup ijtihad para ulamak.

Syariah Islam pula bukanlah sahaja hal-hal berkaitan jenayah seperti hukum hudud dan qisas bahkan merangkumi seluruh bidang keperluan insan untuk hidup samada dalam urusan peribadi, kekeluargaan, pendidikan, bermuamalah dan urusan pemerintahan seperti bernegara.

Ia juga melibatkan urusan pertahanan Negara yang merangkumi soal diplomatik dan memutuskan perhubungan antara dua Negara mahupun berperang demi mempertahankan tanah air dari sebarang pencerobohan.

Untuk menguruskan sebuah bandaraya, negeri dan negara ianya bukan mudah. Ianya menuntut “sultoh” atau kuasa. Sesetengah Negara kuasa diperolehi secara mutlak oleh sebuah Kerajaan Beraja atau melalui sistem republik seperti Negara jiran Republik Rakyat Indonesia.

Sesetengah Negara Islam pula ada yang membentuk sistem Raja Berpelembagaan dimana rakyat diberi pilihan untuk memilih parti pemerintah. Parti yang menang majoriti akan melantik Perdana Menteri dan membentuk sebuah kerajaan dengan restu Raja di negara tersebut.

Dalam konteks negara kita urusan agama dalam Jadual 9 adalah diletakkan di bawah bidangkuasa oleh Yang Dipertuan Agung bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Sultan. Manakala negeri yang mempunyai Sultan diberi kuasa menguruskan urusan agama Islam dan adat istiadat Melayu mengikut kuasa masing-masing. Hal ini perlu dihormati dan difahami oleh semua pihak.

Jadi tanggungjawab pemerintah bukanlah mudah. Al Mawardi dalam Kitabnya Al-Muqaddimah menyimpulkan peranan Pemimpin Kerajaan ialah “ Iqamatu al-din wa hirasatu al-dunya bihi” iaitu menegakkan Agama dan menguruskan dunia dengan dasar-dasar agama.

Khalid al-Anbary dalam bukunya Fiqh Al-Siasah al-syar’iyyah ala dhau al-Quran wa sunnah wa kalam solafu al-soleh menulis bahawa objektif siasah Islam terbahagi kepada tiga iaitu pertamanya menegakkan ubudiyyah kepada Allah SWT, keduanya menegakkan keadilan dan ketiganya melakukan Islah atau perbaikan.

Ada pendapat Ilmuan Islam bahawa perkataan Islah yang diguna di dalam Al-Quran bukan sekadar perbaikan akan tetapi Islah yang dimaksudkan adalah usaha mendamaikan. Mendamaikan segala konflik samada di peringkat antara individu, keluarga, masyarakat, kelompok, puak mahupun Negara.

Kemudian persoalan keadilan adalah satu perkara yang sangat suci atau “sacred” yang dituntut oleh seluruh manusia agar sistem politik bernegara itu memberikan sebuah keadilan yang tidak mengenal pangkat dan status. Keadilan mesti dilihat adil dan benar-benar boleh ditegakkan tanpa mengira siapa dan latar belakangnya.
Lihat sahaja hari ini di seluruh dunia dan negara berdepan dengan pelbagai cabaran dan permusuhan dalam negeri mahupun antara negara. Campur tangan asing, cubaan merampas kuasa (kudeta) dan pertelagahan antara agama dan kaum sangat tragis dan menyedihkan dunia.

Kita melihat pertelingkahan ini sampai ke tahap saling berbunuhan dan mengalirkan darah ratusan ribu nyawa tidak berdosa kerana ketamakan kuasa dan gila kuasa. Kadangkala isunya bukanlah perseteruan antara kaum tetapi niat sebenar di sebalik perseteruan itu ialah untuk merampas tanah yang mempunyai nilai minyak mentah di perut bumi.

Kadangkala juga pemimpin parti yang kalah dalam pilihanhanraya tidak mahu mengaku kalah dan menjalinkan sokongan dengan kumpulan kecil pembangkang demi melawan sebuah kerajaan yang sah. Hal ini berlaku di Yemen apabila pemberontak kabilah Houti melakukan pemberontakan bersenjata dan melawan kerajaan yang sah yang dipilih rakyat melalui sistem demokrasi hingga rakyat yang tidak menyokong mana-mana pihak menerima akibat yang parah.

Selain tiga objektif besar tersebut ada pemikir gerakan Islam melihat objektif ini perlu ditambah untuk yang keempat iaitu memakmurkan alam. Hari ini kita melihat betapa dunia mengalami kerosakan yang sangat teruk dan dahsyat.

Pemanasan global, penebangan pokok tanpa kawalan, pembakaran bebas serta asap kilang dan kenderaan yang melampau telah menyumbang kepada keadaan bio-diversiti alam yang tempang menyumbang kepada pemanasan global yang memberi impak kehilangan kawasan ais di Kutub Utara dan Selatan menyebabkan paras air laut yang semakin meningkat.

Oleh itu penglibatan siasah dan politik haruslah jelas dalam sudut pandang para aktivis. Ianya bukan sekadar kempen pilihanraya dan mendapatkan kuasa namun tujuan sebuah kuasa itu akhirnya adalah mengajak manusia kepada peribadatan dan ubudiyyah yang sebenar kepada Allah SWT.

Namun dalam konteks Negara tidak semua rakyat di dalam sebuah Negara itu beragama Islam. Bagi Malaysia sebagai sebuah negara yang berteraskan Rukun Negara. Peruntukan Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan menyebutkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan.

Namun setiap agama selain Islam dan penganutnya dihormati dan bebas mengamalkan agama masing-masing dengan aman dan harmoni di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan Tanah Melayu. Kehidupan beragama seperti ini menuntut saling hormat menghormati pegangan masing-masing dan meraikan perbezaan.

Akhirnya walaupun siasah begitu penting namun ianya bukanlah matlamat. Siasah adalah alat atau wasilah bagi mencapai matlamat utama sebagaimana yang dibincangkan di atas. Agama yang suci tidak boleh menjadi alat mana-mana pihak bagi mencapai tujuan politik. Politik adalah alat bagi menegakkan kehidupan beragama agar masyarakat dan Negara dapat dibimbing ke arah cara hidup yang diredhai Allah SWT.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: