Ziarah kembali ilmuan universiti

Sekitar tahun 60-an membawa kepada 90-an, malah hingga awal tahun 2000 seingat saya, dunia akademik masih bersinar, gemilamg, malah sangat dihormati.

Nama-nama besar di Universiti Malaya seperti Prof. Diraja Ungku Aziz, Prof. Hussein Al-Atttas, Prof. Syed Naguib, Prof. Mohd Taib Othman, Prof. Syed Husein Ali, Prof Ismail Husein, Prof Ainuddin Wahid, Prof. Zainal Abidin Wahid, Prof. Afirin Marzuki (Naib Censelor Universiti Kebangsaan) dan ramai lagi dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan, Universiti Teknologi, Universiti Utara, di samping Kasim Ahmad dan banyak lagi.

Semuanya mekar dalam ingatan kita hingga hari ini. Mereka mengisi ruang ilmu tanah air dengan cemerlangnya. Menyertai wacana ilmu baik di Dewan Tunku Cencelor, Univeriti Malaya, di Dewan Besar Universiti Kebangsaan, UTM, USM dan pelbagai lagi. Sering pula diadakan debat terbuka ekonomi, malah politik.

Dewan tempat mereka berforum itu sentiasa penuh sesak, pelajar dan orang ramai yang hadir sagat menghargai para profesor yang menyampaikan ilmu. Biasanya mereka mengemukakan pemikiran kritis, bukan saja politik, tetapi sosio budaya, pendidikan, kesusasteraan dan pelbagai lagi.

Kadang-kadang juga mereka berwacana di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka di zaman Almarhum Tan Sri Syed Nasir Ismail sebagai ketua pengarahnya. Kerancakan berwacana di zaman itu sangat menyegarkan. Kehidupan ilmuan ini dalam suasana yang sangat dihargai oleh masyarakat, di samping menikmati kebebasan mengeluarkan pendapat.

Pemikiran para profesor ini sangat dihargai, bahkan jadi perbincangan umum, menunjukkan bahawa para ilmuan ini menjadi pemangkin kepada tamadun ilmu negara ini. Itu sekitar tahun 60-an membawa kepada 90-an, malah hingga awal tahun 2000.

Intelektual ternama Melayu ini kini ada yang masih hadir di tengah masyarakat, ada yang sudah meninggal dunia. Tetapi semuanya itu adalah legasi intelektual Melayu yang telah mengukir sejarah gemilang di bidang masing-masing.

Bagaimana agaknya mereka menyaksikan keadaan suasana sekarang, ketika begitu ramai para ilmuan ditamatkan perkhidmatan mereka di pelbagai universiti.

Di tahun-tahun awal dan pertengahan period tersebut – ketika saya menjadi wartawan – sering saja menghadiri wacana ilmu ini, sama ada kerana bertugas untuk melaporkan, mahupun saja datang untuk mendengar wacana ilmu itu.

Memang benar pada zaman itu, masih tidak ramai bergelar profesor atau pensyarah kanan, tetapi jumlah mereka yang kecil itu mampu menyemarakkan kegiatan ilmu, bukan saja di dalam kampus, bahkan di luar kampus dengan cemerlang.

Pandangan Prof Diraja Ungku Aziz mengenai ekonomi, khususnya mengenai kemiskinan orang Melayu menjadi rujukan pelbagai tesis, makalah di akhbar dan majalah mingguan serta pelbagai jurnal serta dibincangkan di mana-mana.

Demikian juga pelbagai pandangan Prof. Syed Naguib, Prof. Syed Husein Ali dan lain-lain sentiasa menjadi rujukan setiap perbincangan ilmu di dalam dan di luar kampus, di samping di dada akhbar.

Kegiatan ilmu benar-benar hidup dan segar di zaman itu, justeru masyarakat sangat menghargai ilmu dan orang yang berilmu. Tidak timbul soal universiti kekurangan peruntukan.

Tetapi kini apa yang telah terjadi kepada orang berilmu yang dilihat terpingir oleh keadaan, terutama himpitan ekonomi. Wacana ilmu beransur sepi, para ilmuan membawa nasib sendiri, dihimpit oleh pemimpin politik dan ahli korporat yang dilihat menguasai segalanya. Akhirnya universiti menjadi korban, sungguh malang.

Untuk sekian lama kita tidak pernah terfikirkan bahawa dengan kegawatan ekonomi yang melanda negara sekarang, memberi kesan di mana universiti awam tempatan diberitakan ditamatkan khidmat kira-kira 2,600 pensyarahnya, termasuk ratusan profesor, diberhentikan, tidak diperbaharui kontrak. Ini dikatakan akibat dari kerajaan memotong peruntukan penting untuk universiti awam.

Hal ini dilaporkan oleh media tempatan di mana sebelum ini kita pernah mendengar bagaimana Universiti Malaya – universiti terkemuka di negara ini - terjejas teruk dilanda masalah kewangan – pemotongan peruntukan - menyebabkan kemudahan institut pengajian tinggi awam itu terabai.

Di sinilah pelbagai pihak, terutama rakyat prihatin, merasa pelik, iaitu semakin banyak cukai GST dikutip dari rakyat, negara kita semakin tiada duit. Apa yang telah terjadi sebenarnya?

Dalam keadaan yang sangat membimbangkan ini, kita berharap universiti awam - walau dalam apa keadaan pun - tidak akan berkompromi dari segi mutu akademiknya. Ini harapan pelbagai pihak dan inilah ujian paling getir para pentadbir universiti.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: