Amanah bakal kuasa besar politik di negeri selatan

Sofi Wahab

Keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan pertukaran nama dan penggunaan logo dari Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia kepada Parti Amanah Negara (Amanah) memang ditunggu-tunggu oleh para pemerhati, pengamal politik dan sekelian rakyat Malaysia yang prihatin kepada perkembangan politik tanahair.

Malah keputusan ini disambut dengan rasa syukur dan lega oleh pimpinan, ahli dan penyokong Amanah yang sebelum ini begitu khuatir samada ROS akan meluluskan permohonan itu atau sebaliknya menolaknya sebagaimana penolakan terhadap permohonan penubuhan Parti Progresif Islam sebelum ini.

Kebimbangan terhadap status kelulusan Amanah ini memang berasas kerana sejarah telah membuktikan bukan senang untuk memperolehinya sepertimana apa yang berlaku kepada Pakatan Rakyat yang sehingga gabungan itu berkubur pun kelulusan tetap tidak diperolehi dari ROS.

Kini kita semua sedang menunggu dan melihat perkembangan samada parti baharu ini boleh terus maju ke hadapan atau berkubur tanpa nesan seumpama parti-parti lain seperti AKIM, Berjasa, Hamim, Semangat 46, Nasma, Parti Negara dan lain-lain.

Ramai yang mempertikaikan keupayaan parti baru ini untuk meneruskan kelangsungan perjuangannya di Malaysia. Perkara ini bukan sahaja diutarakan oleh rakyat terbanyak tetapi juga di kalangan ahli akademik dan penganalisis politik.


Namun bagi saya samada Amanah akan terus subur atau layu di persada politik tanahair agak terlalu awal untuk diramalkan. Ini kerana parti ini baru sahaja dilancarkan pada 16 September lalu iaitu baru 2 minggu. Mana mungkin sebuah parti yang baru lahir seperti ini dapat dijangkakan kelangsungan politiknya dalam masa yang singkat.

Ramai yang berhujah bahawa parti-parti serpihan dan nyamuk seperti ini akan berkubur dalam masa kurang setahun disebabkan masalah-masalah dalaman, kewangan, perkaderan dan ketahanan pemimpin dan ahlinya sendiri. Sejarah telah merakamkan bahawa parti-parti baru dan digolongkan sebagai serpihan dari parti-parti utama Umno dan PAS ini akan berkubur tanpa nesan dalam jangkasama yang singkat.

Semangat 46 umpamanya walaupun pada pPelancaran Amanah gilang gemilangeringkat awal kelihatan hebat sehingga berjaya memerintah Kelantan bersama-sama dengan PAS, akhirnya juga mati dan kepimpinannya ramai yang kembali 'melutut' kepada Umno. Begitu juga Berjasa dan Hamim yang pernah menerajui Kelantan dan menyertai BN akhirnya berkubur.

Masalah kepimpinan yang tidak berwibawa dan ketiadaan pelapis juga menjadi antara penyebab utama yang menyebabkan sesebuah parti baru itu mati 'beragan'. Parti-parti itu hanya mempunyai seorang dua sahaja pemimpin yang berkarisma dan selepas mereka bersara atau meninggal dunia tiada pemimpin baru yang mampu meneruskan kesinambungan perjuangan di sebabkan tiada ahli-ahli yang berbakat untuk digilap menggantikan pemimpin sedia ada.

Namun begitu sebenarnya perkara yang paling utama yang menentukan kelangsungan dan kewibawaan sesebuah parti ialah ideologi dan prinsip perjuangannya. Hanya parti yang mempunyai prinsip perjuangan yang jelas sahaja yang mampu mendepani cabaran.

Selain itu masalah kewangan juga sering menghambat sesebuah parti yang baru ditubuhkan. Bukannya mudah untuk menguruskan sebuah parti jika tiada sumber kewangan yang tetap. Bayangkan kos operasi sebuah pejabat, gaji petugas dan aktivis, sumber kewangan untuk menjalankan aktiviti dan program, semua itu memerlukan bukan sedikit wang. Malah ianya mencecah puluhan ribu sebulan untuk ibu pejabat dan ribuan ringgit di peringkat negeri atau kawasan parlimen.

Amanah mampu pergi lebih jauh?

Saya yakin parti yang ditubuhkan oleh otai-otai politikus ini mampu pergi jauh dan berkembang maju. Jawapannya mungkin agak optimistik tetapi keyakinan ini bukannya omongan kosong. Amanah sejak dari ura-ura penubuhannya telah menekankan bahawa prinsip perjuangannya adalah Islam. Ianya dibuktikan apabila parti tersebut telah membuat permohonan untuk mendaftarkan nama partinya sebagai Parti Progresif Islam atau dalam istilah lain Parti 'Harakah' Islam.

Perlembagaan dan prinsip perjuangannya jelas meletakkan Islam sebagai matlamat perjuangan dengan slogan 'Rahmatan Lil A'lamin'. Tetapi sudah menjadi lumrah dalam negara kita penggunaan istilah Islam sentiasa dicemburui. Belum pun sempat 24 jam permohonan dibuat menteri berkenaan telah membuat pengumuman bahawa kerajaan dan ROS tidak akan meluluskan permohonan parti yang ingin menggunakan perkataan Islam pada namanya. Malahnya menteri itu sendiri menyatakan bahawa nama Islam pada PAS juga sepatutnya tidak diluluskan. Kerajaan dan pihak berkuasa terdahulu telah membuat kesilapan membenar dan meluluskan penggunaan Islam pada PAS.

Meletakkan perjuangan Islam sebagai asas parti menjadikan Amanah terus unggul dan mempunyai harapan cerah untuk berkembang. Ini kerana pemimpin dan ahli Amanah sudah tentu meletakkan keredhaan Allah sebagai matlamat terhadap apa juga kerja buat mereka dalam parti. Jadi mereka sudah tentu sanggup berkorban apa sahaja demi kelangsungan perjuangan Islam yang didokong AMANAH.

Perkara ini terbukti apabila pemimpin dan ahli-ahli Amanah bekerja siang malam untuk mendapatkan ahli, menubuhkan jawatankuasa di peringkat negeri dan kawasan malah cawangan-cawangan juga telah ditubuhkan. Lihat sahaja buktinya di mana semua roadshow GHB di setiap negeri sebelum ini dijayakan dengan gilang gemilang dan mendapat sambutan yang cukup hangat di setiap negeri.

Pelancaran Amanah dapat sambutan

Terbaru majlis pelancarannya di Shah Alam pada 16 September dilihat begitu berjaya dan gah. Malah ia membuktikan bahawa parti yang berumur 2 minggu ini mampu pergi lebih jauh dengan saf kepimpinan yang berpengalaman, komited, ikhlas dan sanggup berkorban apa sahaja demi perjuangan Islam yang mereka dokong bersama.

Amanah negeri-negeri Selatan

Sejak awal penubuhan NGO Gerakan Harapan Baru (GHB) negeri-negeri di selatan tanahair iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan telah membuktikan bahawa parti baru yang bakal ditubuhkan mempunyai potensi yang sangat besar. Kalau dahulu PAS diasaskan di utara kini Amanah yang diasaskan dari NGO GHB memilih Kawasan Bakri di Johor sebagai tempat program roadshow mereka yang pertama.

Keyakinan pimpinan Amanah memilih Johor sebagai tuan rumah terbukti tepat di mana semasa Amanah dilancarkan pada 16 September lalu kira-kira 4,000 ahli telah berjaya didaftarkan. Ini menggambarkan bahawa Amanah mendapat sambutan yang luar dugaan. Rakyat jelas menunjukkan keyakinan kepada Amanah oleh kerana Amanah Johor sendiri diterajui oleh ahli-ahli politik yang berpengalaman, tahan uji dan berkarisma. Antara pimpinan Amanah dari Johor ialah Salahuddin Ayub, Mazlan Aliman, Aminolhuda Hassan, Suhaizan Kaiat, Hassanuddin Yunus dan lain-lain. Malah di peringkat kawasan parlimen pun ramai bekas-bekas pimpinan parti-parti politik peringkat negeri dan kawasan yang berpengalaman menyertai Amanah kerana yakin dengan agenda perjuangan parti tersebut.

Malah kita melihat sambutan cukup hebat diterima dari mereka-mereka yang sebelum ini tidak berminat kepada parti politik yang terdiri dari berbagai bangsa dan agama juga hebat. Ahli-ahli dan penyokong NGO seperti Ikaram dan lain-lain berbondong-bondong menyertai Amanah walaupun tiada sebarang jawatan dan ghanimah yang dijanjikan kepada mereka.

Tidak syak lagi kerjasama rakan-rakan dari DAP dan PKR juga cukup hebat di Johor. Mereka tidak segan silu bersama Amanah sejak dari awal penubuhan Dikhabarkan juga rakyat yang bukan Melayu dan bukan Islam turut sama memberikan sokongan padu kepada Amanah di Johor. Malah ramai di antara mereka yang turut sama mengisi borang permohonan menjadi ahli parti yang paling bongsu dalam negara kita ini.

Tidak syak lagi Johor menjadi tapak terbaik bagi Amanah untuk membuat kejutan pada pilihanraya umum ke 14 akan datang. Dari riak dan suasana semasa di Johor dengan pergolakan politik dalaman Umno, sokongan kepada Pakatan Harapan kita yakin Amanah mampu pergi lebih jauh dan menjadi pemain utama dalam politik Johor.

Malah suasana yang sama ditunjukkan oleh rakyat negeri-negeri selatan lain seperti Melaka dan Negeri Sembilan.

Jelas negeri-negeri selatan merupakan pengkalan terbaik untuk Amanah mengorak langkah kanan dalam politik Malaysia.

Syabas Amanah.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel