Wanita sebagai teras negara bangsa

Wanita Islam berperanan besar sempena Hari Wanita Sedunia.Wanita Islam berperanan besar sempena Hari Wanita Sedunia.

Tahun ini negara kita menyambut Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac dengan Tema #BeBoldForChange? Atau #BeraniBerubah yang dipilih di peringkat dunia.

Sudah tentu sambutan oleh pelbagai pihak ini melambangkan betapa seriusnya dunia ingin memperingati dan menyambut tarikh ini sebagai satu penghargaan besar sumbangan serta perjuangan kaum wanita di seluruh dunia.

Sejarah menyaksikan betapa sebelum ini kaum wanita sering ditindas, dianak tirikan, tidak diberi nilaian yang wajar serta tidak diberikan kepercayaan oleh masyarakat. Maruah mereka dan nasib serta hak asasi sebagai insan terus menjadi mangsa keganasan kaum lelaki.

Di zaman Arab sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Rasul, status wanita adalah rendah, wanita sering dihina dan diaibkan. Kaum lelaki menjadikan kaum wanita dan gadis sebagai penghibur murahan sehingga ada ayah yang terpaksa menanam anak kecil perempuan kerana tidak sanggup melihat anaknya apabila besar nanti dihina oleh masyarakat.

Apabila kedatangan Islam hak wanita telah dibela dan diangkat oleh Nabi Muhammad s.a.w ke satu kedudukan yang amat tinggi. Islam memberikan hak lelaki dan wanita di sisi Allah adalah sama kecuali taqwa.

Lelaki dan wanita wajib menuntut ilmu dan ibu bapa yang mempunyai seorang anak perempuan dan mendidiknya sehingga menjadi seorang wanita solehah akan masuk syurga. Islam juga menjadikan kaum wanita sebagai rakan atau “partner” sama-sama memperjuangkan Risalah Islam dan saling bantu membantu melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Hal ini dapat dilihat pada diri isteri nabi yang mulia iaitu Sayyidatina Khadijah Binti Khuwailid. Meskipun beliau merupakan seorang Pedagang Besar dan mempunyai perniagaan antarabangsa namun beliau tetap bersama dengan nabi membesarkan anak-anaknya dan dalam masa yang sama berkorban seluruh daya tenaganya dan hartanya ke jalan Allah SWT sehinggalah kewafatannya.

Di zaman Nabi Sulaiman, Allah SWT menonjolkan pemimpin utama kerajaan Saba iaitu Ratu Balqis adalah kaum wanita dan menceritakan bagaimana kebijaksanaannya memerintah negeri tersebut. Sebaliknya di dalam Al-Quran Allah turut menceritakan kewujudan Raja-Raja yang zalim seperti Firaun, Menteri Kewangannya Qarun dan lain-lain mereka semua terdiri dari kaum lelaki sebagai orang yang zalim.

Ini menunjukkan bagaimana isu wanita tidak mampu mentadbir sebagai tidak tepat bahkan terdapat perbahasan hingga kini oleh para ulamak berhubung tafsiran hadith kepimpinan kaum wanita tersebut dari segi keumumannya atau kekhususannya.

Aurat wanita selalu menjadi isu di kalangan wanita Islam.Aurat wanita selalu menjadi isu di kalangan wanita Islam.Sangat menarik melihat Surah An-Naml menghuraikan dengan terperinci kisah Ratu Balqis ini. Di dalam Surah An-Naml: Ayat 23 seekor burung Hud-Hud menjumpai sebuah kerajaan besar dan memaklumkannya kepada Raja Sulaiman. “Sesungguhnya aku menjumpai seorang wanita yang memerintah mereka, dan dia dianugerahi segala sesuatu serta mempunyai singgahsana yang besar”.

Kemudian Balqis dengan penuh bijaksana bermesyuarat dengan pemimpin mereka: Ayat 29. Berkata ia (Balqis): “Hai pembesar-pembesar, sesungguhnya telah dijatuhkan kepadaku sebuah surat yang mulia. 30. Sesungguhnya surat itu, dari Sulaiman dan sesungguhnya (isi)nya: “Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Kemudian dalam Ayat 32: Berkata dia (Balqis): “Hai para pembesar berilah aku pertimbangan dalam urusanku (ini) aku tidak pernah memutuskan sesuatu persoalan sebelum kamu berada dalam majlis(ku)”.

Seorang tokoh ilmuan dalam syarahannya menyatakan bahawa dalam Surah An-Naml ini sebenarnya Allah SWT memberikan pengiktirafan terhadap kebijaksanaan seorang Raja dari kaum wanita dalam bidang kepimpinan. Ajaib kan!

Hadith yang mengungkap bahawa tidak berjaya kaum wanita memimpin itu dinyatakan oleh hadith riwayat Abi Bakrah dalam Sahih Bukhari tetapi ada para ulamak yang mengatakan bahawa jawapan nabi ini adalah dalam satu isu yang khusus merujuk kepada satu peristiwa di Kisra Parsi menjadi Maharani. Lantaran itu isu wanita boleh atau tidak boleh menjadi pemimpin terus diperbahaskan oleh para ulamak berdasarkan literal teks dan konteks hadith tersebut.

Di UK data terkini menyatakan bahawa hampir 50% pekerja profesional adalah terdiri dari kaum wanita dan data tersebut mempunyai trend yang sama dengan di Amerika Syarikat. Mengikut info dari akhbar utama di Malaysia di sektor awam, pencapaian wanita terkini ialah 57.2 peratus dan bilangan penjawat awam wanita dalam pengurusan tertinggi mencapai 34 peratus. Bagaimanapun, pencapaian dalam sektor korporat pada 2015 agak ketinggalan dengan hanya 26 peratus wanita berada dalam pengurusan tertinggi.

Di Malaysia wanita telah diberi pengiktirafan yang sangat tinggi hingga Mahkamah Syariah telah pun melantik kaum wanita sebagai Hakim. Pihak kerajaan mahupun swasta kini ada yang melantik mereka sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan hal ini tidak ada yang menafikan kemampuan dan bakat kemampuan mereka.

Namun begitu sesibuk mana pun seorang wanita atau perempuan itu, Allah SWT telah menjadikan peranan kaum wanita secara sebagai khusus iaitu sebagai isteri dan ibu dalam membangunkan sebuah keluarga yang bahagia. Sudah tentu fungsi biologi tubuh serta emosi seorang wanita dicipta untuk menanggung peranan khusus ini.

Wanita diberikan kemampuan mengandung, menyusukan dan membesarkan anak-anak. Mereka juga mampu memberikan kasih sayang kepada anak-anaknya, diberikan hak hadanah serta mampu menjadi teman setia kepada suami dalam suka dan duka.

Walaupun tugas memasak bukan disyariatkan secara khusus namun para isteri sentiasa siap sedia menyediakan makanan yang sentiasa sedap dan lazat demi kasih sayang kepada suami dan anak-anak. Sesungguhnya air tangan ibu atau isteri dalam menyediakan makanan yang berkhasiat dan lazat memberikan perasaan gembira dan bahagia kepada keluarga dan keberkatan.

Ketika mana Sayyidatina Fatimah puteri Rasulullah s.a.w keletihan dan mengadu kepada Nabi tentang kerja-kerja rumah yang ditanggungnya kerana ketiadaan pembantu, Nabi meminta beliau bersabar dan mengajarkan doa kepadanya.

Peranan kaum wanita sudah tentu amat besar dalam membangunkan negara bangsa. Mereka bukan sahaja sebagai individu yang punya hak yang perlu dihormati, bahkan mereka juga adalah seorang isteri dan ibu.

Di tempat kerja kadangkala mereka juga sebagai guru, kakitangan biasa, pegawai, pengurus, pengetua, hakim, saintis, ketua eksekutif serta menteri. Akan tetapi sebaik sahaja mereka melangkah ke rumah peranan mereka secara asasi adalah seorang suri rumah berfungsi sebagai pengurus rumahtangga atau di dalam bahasa Arab disebut Rabbatul Bait yang setia menjaga keluarga dengan penuh teliti demi kebahagian anak-anak dan suami.

Sudah tentu tugas dan peranan mereka sangatlah berat dan wajar diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh kaum Adam. Langkah Maybank Berhad memberikan cuti bersalin yang lebih panjang dengan terma tertentu yang mereka tetapkan sangatlah membanggakan sejak dipimpin oleh kepimpinan syarikat yang baru.

Kini peranan wanita dalam pendidik di rumah dibantu oleh pembantu rumah. Namun sejauh manakah peranan ibu dan bapa dapat dimainkan sementara ketiadaan mereka di rumah. Adakah anak-anak mendapat kasih sayang yang sempurna mahupun tarbiah yang cukup. Apa yang kita khuatir peranan ini gagal dimainkan dengan baik dan hal ini perlu difikirkan oleh ibu bapa di zaman moden ini.

Oleh itu marilah kita terus memberi penghargaan kepada semua kaum wanita dan sentiasa menjaga maruah dan hak mereka dengan baik. Kerana dengan kewujudan merekalah hidup kaum lelaki menjadi indah dan bahagia. Dengan sebab mereka kita semua mendapat keturunan dan anak-anak yang comel, bijak serta sihat.

Kaum wanita jugalah yang merupakan teman dan rakan bersama dalam membangun Negara dalam segala bidang termasuk di dalam perjuangan politik merubah landskap negara ke arah Negara Rahmah.

Pada pandangan saya isu kesaksamaan dan kesamarataan itu tidaklah berlaku sangat di negara ini. Sudah banyak kemajuannya. Namun apa yang lebih perlu ialah memberikan sokongan yang padu serta pengiktirafan tertinggi terhadap peranan mereka dalam membangunkan Negara ini.

Apa yang saya lebih khuatir ialah kemampuan dan daya saing anak-anak lelaki di dalam pendidikan dan pekerjaan sudah diatasi oleh kaum perempuan. Ketidakseimbangan ini jika terus dibiarkan berterusan boleh menjejaskan kekuatan kepimpinan masa depan sebuah Negara bangsa.

Ia akan turut menjejaskan keharmonian di dalam sebuah keluarga di mana kemampuan lelaki dalam memimpin keluarga boleh kecundang. Oleh itu isu ini perlu diberikan fokus utama oleh masyarakat iaitu memperkasa remaja dan anak lelaki untuk memikul beban memimpin diri, keluarga, masyarakat dan negara.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel