Adakah Umno dan Pas anggap rakyat mudah diperbodohkan

Raja Kamarul Bahrin

Tontonan sidang Parlimen pada 6 April memperlihatkan bagaimana Dewan Parlimen yang Mulia dipergunakan untuk sandiwara kononya Pembentangan, Perbahasan dan Pengundian Rang Undang Undang (RUU) 355 Agama Islam yang Mulia ini akan dilaksanakan.

Apa yang berlaku amat memalukan dan menghinakan Agama Islam yang suci apabila untuk kali ketiga perbahasan dan pengundian RUU 355 ditangguhkan lagi.

Yang paling anehnya apabila untuk kali ketiga ianya ditangguhkan, tiada seorang pun Ahli Parlimen PAS berdiri untuk membantah tetapi ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang membantah. Kenapa membisu di Parlimen tetapi kalau di Masjid serta surau Kampung suara mereka begitu lantang melawan kerajaan kononya.

Apa yang ditonton pada 6 April 2017 adalah larutan sandiwara UMNO bersama PAS seperti tersenarai dibawah.

Dua kali RUU 355 telah dibentang pada hari terakhir sessi Parlimen pada awal dan akhir 2016 tanpa dibahas atau diundi. Selepas sessi sessi tersebut gempak gempita PAS berceramah di kampung serta negeri begaimana berjayanya mereka memujuk UMNO kearah melaksanakan undang undang Syariah walaupun Almarhum Nik Aziz telah berpesan jangan jatuh kedalam lubang yang sama dua kali.

Untuk kali ketiga pada 6 April PAS diperdayakan lagi selepas RUU 355 dibaca oleh Presiden dan disokong dengan ucapan Setiausha Agongnya, dengan tiba-tiba sidang Parlimen ditangguhkan tanpa bahas atau undi. Walau Almarhum Nik Aziz telah berpesan jangan jatuh dalam lubang yang sama dua kali, PAS berjaya dengan cemerlang terjun kedalam lubang yang sama untuk kali ketiga.

Apa yang lebih menghairan dan mengejutkan lagi adalah apabila Speaker menangguh Parlimen pada petang Khamis, tiad Ahli Parlimen Pas tidak pun membantah ! Tugas ini di lakukan oleh Ahli Pakatan Harapan sementara ahli Parlimen Pas nampak telah siap bersedia untuk drama sandiwara untuk kali ketiga kerana sudah maklum skrip wayang yang di tulis oleh UMNO.

Hairannya juga ahli Parlimen Pas yang mengeluarkan air mata semasa Presiden Pas membaca teks RUU 355 tidak pula berilham mencurahkan air mata kesedihan atas penangguhan dan kecurangan kali ketiga UMNO. Kalau PAS bersungguh - sungguh hendak memperkasakan undang undang Syariah kenapa mereka tidak sedih dan marah insiden ini ?

Jawapannya terkandung dalam Usul yang dibawa Ahli Dewan Undangan PAS Terengganu, Dr Syed Azman pada sidang DUN Mac 2017 baru baru ini. Usul beliau meminta "Dewan Undangan Terengganu meneliti serta membahas kembali Enakman Jenayah Syariah ( Hudud dan Qisas) Terengganu yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Terengganu pada 7 Julai 2002" !

Ianya telah diperkenankan oleh Sultan Terengganu pada 2 September 2002 serta diwartakan pada 25 September 2002.

Ringkasnya, kenapa selepas 15 tahun Pas tidak meminta UMNO Terengganu untuk berkerjasama memperkasakan Mahkamah Syariah serta undang undang yang telah diluluskan seperti diperingkat Parlimen ? Bukankah Pas mempunyai 14 Kerusi dan UMNO 17 daripada 32 kerusi DUN Terengganu?

Bukankah "penghalang" utama DAP, AMANAH dan MCA tidak mempunyai apa apa kerusi di Terengganu? Apa masalahnya?

Lagipun ini negeri Presiden Pas sendiri. Tambahan pula, apabila undi tidak percaya oleh orang UMNO sendiri terhadap Menteri Besar Terengganu, Pas berpendirian untuk menyokong MB UMNO tersebut untuk kekal. Hubungan Pas dan UMNO amat baik di negeri Presiden Pas.

Jadi apa masalahnya ? Apabila Usul ditolak Speaker dan UMNO, anehnya lagi ahli ahli DUN Pas tidak menyokong Usul Dr Syed Azman ! Kenapakah tiada usha selama 15 tahun untuk Enakman Jenayah Syariah yg Pas sendiri bawa dan luluskan pada 2002 untuk di perkemas dan diperkasakan ?


Adakah Enakman Syariah Terengganu yang berusia 15 tahun hanya untuk saham politik Pas negeri semata mata ? Kalau tidak kenapa tiada kemajuan dan usaha Usul untuk dihidupkan semula tidak disokong ? Malahan Dr Syed Azman dimarahi oleh Ketua Penerangan Pas Terengganu dan rakan rakannya !

Soalannya sekarang adakah ini cara Pas cuba memperalatkan RUU 355 untuk saham politik Nasional pula ? Adakah tujuan RUU 355 untuk menjadi penyelamat Pas dan penyambung hayat UMNO walaupun Almarhum Nik Aziz menegur usaha menyelamatkan UMNO yang sedang lemas dan juga usha Unity Government (UG)?

Kerana itulah Seminar baru baru ini menyatakan pendekatan Almarhum Harun Din, Mursyidul Am selama 2 tahun, lebih dekat dengan perjuangan Pas sebenar.

Ini dengan sekaligus cuba menidakkan sumbangan serta ketokohan Almarhum Nik Aziz yang menjadi Mursridul Am Pas selama lebih 20 tahun. Kerana itu jugalah Seminar Almarhum Nik Aziz pada 9 April ini cuba dihalang dengan lapuran polis oleh pihak tertentu.
Dengan meminjam sedikit "kata kata berhikmah" Speaker Parlimen Malaysia baru baru ini, UMNO dan Pas cuba membuat penyokong mereka dan rakyat Malaysia "BLOODY FOOL" *"rakyat yang mereka anggap mudah diperbodohkan"*. Ini adalah satu penghinaan yang amat dahshat terhadap rakyat Malaysia.


* Penulis adalah ahli parlimen Kuala Terengganu.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: