Empat teras kekuatan berdepan PRU14

shamsul maarif ismail

Shamsul Ma'arif IsmailSaya amat tertarik dengan beberapa kajan ulasan dari seorang pengkaji geo-politik global di Eropah. Walaupun saya seringkali mengkaji dan membaca pelbagai analisa strategik kemenangan sebuah parti di dalam pilihanraya.

Pada dasarnya memang banyak faktor-faktor yang boleh dijadikan teras kepada kemenangan sesebuah parti politik mahupun gabungan atau pakatan pelbagai parti. Sistem politik Negara kita sudah tentu tidak sama dengan Negara-negara lain dan sangat unik. Kita merupakan sebuah Negara demokrasi berparlimen di bawah Raja Berpelembagaan yang mengamalkan sistem dwi-
parti ala British.

Menelusuri sejarah Negara tercinta lebih 60 tahun yang lalu Kerajaan Perikatan kemudian (UMNO) BN telah berjaya mengekalkan pemerintahannya. Ianya merupakan satu tempoh yang sangat lama berbanding mana-mana parti di seluruh dunia. Ada yang menyebut bahawa kekuatan utamanya BN itu merupakan parti tunjang kepada BN. Benarkah komen seperti ini?

Sudah tentu kekuatannya harus dipelajari dan segala kelemahannya dikaji. Jika Pakatan Harapan (PH) termasuk Parti Peribumi Bersatu Malaysia serta rakan-rakan lain seperti Parti Warisan dan parti pembangkang yang lain mahu menggantikan Kerajaan BN dan UMNO sudah tentu ianya harus mempunyai satu formula ajaib yang bukan hanya mujarab bahkan mampu bertahan untuk puluhan tahun akan datang.

Kejayaan Parti Freedom and Justice party (FJP) pimpinan Dr Mohamed Morsi berlatarbelakangkan gerakan Islam Ikhwanul Muslimun di Mesir telah memberikan harapan baru bagi bangsa Mesir moden serta demokrasi di seluruh dunia.

Malang sekali kemenangan mereka tidak lama. Takdir Allah mengatasi segala kehendak manusia dan kecundang hanya dalam tempoh setahun sahaja. Ia boleh memberi pelbagai iktibar serta pengajaran bahawa kekuatan satu parti sahaja dengan jumlah sokongan undi popular 51 peratus belum mampu mempunyai daya tahan (resistance) untuk mengekalkan kuasa serta bertembung dengan gagasan parti lama yang sudah bertapak sekian lama dengan segala kekuatannya luar dan dalam. Meskipun Hosni Mubarak sudah dipenjarakan dan kini dibebaskan, seluruh kekuatan tentera masih merupakan proksi Hosni Mubarak dan Jeneral Al-Sisi adalah jeneral termuda yang masih mempunyai DNA Mubarak.

Ada pelbagai pihak memberi komentar sebab-sebab kelemahan FJP. Bermula dari gaya kepimpinan Morsi mahupun kemampuannya menyelesaikan masalah asas rakyat yang masih tinggi buta huruf, ketiadaan pekerjaan dan perumahan. Ianya juga disebabkan tekanan Mahkamah Perlembagaan yang sengaja memecahkan keabsahan Morsi. Morsi juga berdepan dengan kumpulan Mafia Mesir yang menguasai Kota Cairo dan rasuah yang berleluasa di kalangan penjawat awam, polis dan kehakiman.

Memang sedih sekali Morsi harus menerima begitu banyak sekali tekanan. Dalam masa yang sama ketegasan dan keprihatinan penuh Morsi terhadap isu Palestine dan Gaza menjemput penentangan keras dari Regim Israel. Negara haram Israel lantaran itu beranggapan Mesir sebagai musuh utamanya dan memberikan tekanan sempadan Rafah-Mesir.

Sudah tentu pengorbanan pimpinan parti FJP serta ramai lagi penyokong pro-demokrasi yang dipaksa masuk penjara dan penyiksaan yang terpaksa dilalui akan menjadi baja-baja perjuangan.

Ianya juga akan menjadi bekalan kesabaran bagi kemenangan di masa yang akan datang dengan izin Allah SWT dan pengorbanan mereka sesungguhnya tidak akan sia-sia. Yakinlah bahawa selepas penderitaan akan ada kemenangan.

Parti FJP bukan hanya mempunyai musuh dari kerajaan parti lama bahkan bertembung dengan Parti berasas agama yang baru seperti Nur Party dan parti lain yang bermunculan dan dijauhi pula oleh kumpulan, Parti dan NGO sekular liberal.

Oleh yang demikian sesebuah gagasan baru menentang gagasan lama perlu mempunyai beberapa teras yang kuat dan utuh. Keutuhan itu sehingga rakyat yang menjadi pengundi tegar mahupun pengundi atas pagar mempunyai kepercayaan intelektual mahupun emosi untuk memberikan mandat kepada satu gagasan yang baru yang diharapkan boleh mengubah nasib dan masa depan Negara.

Sebuah parti Islam yang membawa imej sederhana di Maghribi atau Morocco telah memenangi buat kali kedua dalam Pilihanraya terbuka melalui system Raja Berpelembagaan pada 2016 yang lalu. Parti Adalah wa altanmiah atau Parti Keadilan dan Pembangunan berjaya mendapat kerusi majoriti dari semua parti yang bertanding. Kejayaan ini menjadi bukti bahawa masyarakat di Morocco boleh menerima sebuah parti sederhana Islam jika mereka memang terbukti mampu memberi khidmat cemerlang kepada rakyat dan Negara.

Apa yang harus difahami bahawa memimpin sebuah parti tidak sama dengan memimpin sebuah Negara. Oleh itu kebijaksanaan pemimpin parti yang baru memang untuk membentuk kerajaan campuran dan sokongan parti lain amatlah penting agar seluruh idea dan gagasan untuk membina Negara akan terus dijayakan sehingga rakyat merasai nikmat pembangunan dan perubahan kearah yang lebih dinamik.

Dalam konteks Negara kita jika dicongak swing beberapa peratus pengundi tegar dari Parti Kerajaan sekarang boleh sahaja membuahkan kemenangan walaupun tiga penjuru. Sudah tentu impian untuk mendapatkan kemenangan ikut survey seperti sangat menggembirakan namun pilihanraya boleh berubah sekelip mata mungin disebabkan isu pensempadan semula mahupun emosi rakyat yang dimainkan oleh media kerajaan.

Kembali semula kepada pandangan tokoh ilmuan yang telahpun terlibat dalam “real politics” beliau mengungkapkan empat perkara yang harus diperkirakan.

Pertama adalah kadar kekuatan organisasi parti. Hal ini termasuk seluruh kekuatannya dalam media dan lain-lain. Seluruh jentera parti-parti sedia ada harus terus diperkasakan. Kekuatan dana, kekuatan semua jenis media, kekuatan organisasi dan jentera pilihanraya, kekuatan pengaruh di kampung dan bandar harus terus dibajai hingga benar-benar bersistematik dan mampu melakukan taktikal yang tepat.

Kata-kata Sahabat Nabi s.a.w Saidina Ali r.a bahawa 'kebatilan yang tersusun akan mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun'.

Sesungguhnya kita yang berada dalam gagasan agenda kebenaran dan keadilan belum tentu boleh menukar dan melawan kuasa politik sedia ada tanpa kita menguasai syarat-syarat kemenangan yang yang wajar disediakan satu gagasan road map yang kemas dan mantap.

Kedua kadar kekuatan Kepimpinan parti sedia ada. Tokoh-tokoh Negara dari Pakatan Pembangkang harus dilihat berwibawa oleh umum bagi membawa agenda perubahan. Jika ini sudah dilihat setara atau lebih hebat lagi oleh pengundi , maka kita boleh ucapkan alhamdulillah.

Pemimpin parti-parti utama harus selalu melakukan penyelarasan kerja dan minda. Idea mesti sepakat dan kerja harus muafakat baru kerja menjadi berkat dan tepat.

Jika kita menelusuri Seerah semua sahabat-sahabat Utama Nabi terdiri dari ketua dari pelbagai Kabilah. Mereka bukan sahaja hebat bahkan sangat-sangat dihormati oleh kaum mereka.

Nabi disokong dari awal oleh seorang Pemimpin besar dan kaya Saidina Abu Bakr dari Bani Tamim yang telah menyelamatkan Saidina Bilal dari siksaan. Nabi s.a.w juga pernah berdoa “Ya Allah, muliakanlah Islam dengan salah seorang dari dua orang yang lebih Engkau cintai; Umar
bin al-Khattab atau Abu Jahal Bin Hisham.”

Alhamdulillah Saidina Umar Al-Khattab seorang pemimpin kaum Bani Adi keturunan Quraisy dipilih Allah memeluk Islam dan berjuang mewakili kabilahnya mendokong dan menyokong Baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w juga disokong oleh seorang lagi Tokoh iaitu Saidina Usman dari Kabilah Umayyah dan juga Khalid al-Walid dari Bani Makhzumi Quraisy Ketiga dan menurut beliau satu perkara yang sangat penting ialah kekuatan Pakatan atau “coalition” sesama parti dalam pakatan Harapan.

Kadar kekuatan pakatan atau gabungan ini harus seampuh yang mungkin dari peringkat nasional, negeri dan kawasan. Ianya harus diterjemahkan dari persefahaman pembahagian kerusi yang strategik dan adil, penyelarasan gerak kerja antara parti serta memobilisasikan seluruh anggota semua ke arah menjayakan agenda kemenangan.

Dalam hal ini pasukan PH harus membina seramai mungkin dokongan tidak kira NGO Islam dan bukan Islam, NGO Madani mahupun NGI yang boleh membentuk satu persepakatan dan persefahaman walaupun tidak diikat oleh perjanjian. Namun jika PH bijaksana ianya harus membina dan melobi serta mendekati parti-parti lawan yang mungkin boleh dijadikan kawan baru dan perpindahan sokongan. Dalam kata lain harus memecahkan kesepaduan parti lawan agar berpindah sokongan kepada PH.

Dalam hal ini kemenangan Nabi Muhammad dalam peristiwa Hijrah ialah kemampuan Nabi mempersaudarakan kumpulan dan kabilah yang saling berbunuhan dan bermusuhan kepada persefahaman. Nabi juga berupaya mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar serta membina pakatan baru dengan kabilah Yahudi yang lebih dahulu menduduki Yastrib. Sehingga proses yang sedang berlaku untuk melantik Raja Yastrib tertunda dari pemilihan Raja berbangsa Yahudi kepada penerimaan masyarakat Yastrib kemudiannya Madinah kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Faktor terakhir yang dikemukakan oleh beliau ialah kekuatan untuk memobilisasikan massa atau mempengaruhi seluruh warga masyarakat khasnya para pengundi lama dan baru. Masyarakat harus mendapat pemahaman yang baru dan yakin dengan seluruh agenda perubahan.

Jika PH gagal mengemukakan satu gambaran dan imej yang meyakinkan peratus kebarangkalian kemenangan dan swing pengundi belum tentu membuahkan kejayaan. Untuk ini penerangan yang berterusan dengan segala cara dan media massa mahupun media sosial demi mematahkan
hujjah lawan dengan fakta dan bukti harus dilakukan saban masa dan waktu.

Apa yang penting bukan menyampai maklumat palsu atau dusta, mengaibkan peribadi dan sebaran fitnah yang bukan sahaja memberi imej buruk kepada parti. Kadamgkala pula ianya boleh pula menjadi musibah pula kepada imej parti.

PH harus membawa politik nilai dan politik sihat. Biarlah kita berlawan hujjah dengan hujjah. Fakta dengan fakta. Baru buku bertemu ruas, baru rakyat sendiri puas dan yakinlah akan ada perubahan dan gerakan perubahan terjadi dengan izinNya. Matlamat untuk melakukan reformasi politik dan ekonomi Negara harus terus dijulang dan dipertahankan.

27 Mac 2017.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel