Bahaya pemikiran ekstremisme atau melampau

shamsul maarif ismail

Sejak akhir-akhir ini dunia global mengalami pelbagai cabaran besar dengan wujudnya pelbagai kumpulan puak atau agama yang mengambil pendekatan keras dan ekstrem.

Sihabuddin Afroni (2016) menulis dalam Wawasan: Jurnal Ilmiah Agama dan Sosial Budaya 1, 84 1 (Januari 2016): 70-85 menerangkan takrifan ghuluw atau melampau.

Ekstrem menurut bahasa sebagai berarti; Paling hujung, paling tinggi, paling keras, sangat keras, sangat teguh, fanatik atau hal (tindakan, perbuatan) yang melewati batas.

Menurut beliau lagi bahawa dalam terminologi syariah, sikap ekstrem sering juga disebut ghuluw yang bermakna berlebih-lebihan dalam suatu perkara. Atau bersikap ekstrem pada satu masalah dengan melampaui batas yang telah disyariatkan. Beberapa istilah lain yang mempunyai makna serupa dengan ghuluw antara lain adalah tanattu’(sikap yang keras), ifrat(mempersempit), tashaddud (menyusah sesuatu) atau takalluf (memaksakan diri).

Sheikh Yusof Al-Qaradhawi pula menghuraikan bahawa sikap melampau ini mempunyai beberapa ciri antaranya fanatik kepada sesuatu pandangan, berperasangka buruk terhadap orang lain, terlalu mempersusah sesuatu urusan yang mudah hinggalah mudah mengkafirkan orang lain yang berbeza dengan pandangan mereka.

Jika kita mengkaji keadaan dan nasib yang dialami oleh gerakan dakwah dan politik Islam di Timur Tengah sejak puluhan tahun dahulu ianya amat ketara sekali. Mereka sentiasa disekat dari beraktiviti, dihalang untuk bersuara dan menyampaikan pandangan berbeza, sebaliknya mereka ini akan ditangkap dan disiksa di dalam penjara.

Di Libya di waktu Muammar Ghadafi menjadi pemerintah secara kudeta beliau menggunakan pendekatan keras dan brutal. Beliau turut menangkap dan menyiksa para penentang nya termasuk para ulamak ke dalam penjara mahupun dibunuh secara wewenang. Walaupun umum mengetahui bahawa pemimpin Arab ini amat keras menentang hagemoni Barat dan Pan-Arab.

Begitu juga berlaku di Mesir. Regim tentera yang memerintah secara Autokratik juga menggunakan tekanan kepada musuh-musuh politiknya dengan cara keras dan zalim.

Tekanan dan penindasan yang mereka alami seperti pemenjaraan dan siksaan mental serta hukuman bunuh secara wewenang oleh pemerintah menyebabkan tumbuhnya sikap berdendam hingga mereka tidak silu untuk mengkafirkan para penyiksa mahupun pemerintah yang memasukkan mereka ke dalam penjara besi yang kotor dan zalim itu.

Manakan tidak kekadang musuh politik dibenam di dalam penjara kecil yang tiada bertingkap, tanpa lubang udara dan pintunya besi bersaiz tebal. Mendengar pintu besi kebal penjara itu sahaja sudah sangat mengerikan. Ada pusat tahanan di sana dimasukkan ke dalam penjara di bawah tanah. Di atasnya taman yang indah (hadiqah) namun di bawah tanah itu adalah penjara zalim yang amat mengerikan.

Siksaan yang sezalim ke atas mereka seperti ini telah menghasilkan dua kemungkinan. Kemungkinan pertama ialah mangsa tuduhan merasakan keinsafan atau sebaliknya ianya akan melahirkan sikap penentangan, perlawanan dan kebencian yang meluap-luap oleh para tahanan mahupun anak dan keluarga mangsa.

Fatwa-fatwa keras bermunculan di dalam penjara. Para ulamak yang tersiksa mula mengeluarkan pandangan yang keras sekeras kekejaman penjara itu. Penjara melahirkan murid-murid yang terlalu amarah. Sikap ini berlanjutan apabila mereka dibebaskan atau fatwa-fatwa ini terkeluar dari penjara besi ke atas anak-anak muda yang mahu menuntut pembelaan.

Salah satu kumpulan yang keras di Mesir sewaktu penindasan Regim di Mesir pada awal akhir 70 an ialah Kumpulan Al-Takfir wal Hijrah. Anak-anak muda dipenjara dan disiksa secara zalim termasuk para anggota tentera yang simpati kepada perjuangan Islam. Mereka ini yang prihatin terhadap ummah ditanam dengan sikap penentangan secara ideologi keras. Garis besar serta batasnya menjadi mudah samada anda kafir atau muslim!

Akibatnya sesiapa yang menentang kumpulan mereka dianggap menyetujui kezaliman dan kekafiran. Sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah sebagaimana mereka memahaminya adalah kafir yang nyata. Dan hukuman kepada penyokong kekafiran adalah mati.

Darah sesama muslim kini menjadi halal hanya pertembungan semudah itu. Jika kamu bersama kami , kamu adalah seorang Muslim dan jika kamu menyokong Regim maka kamu adalah kafir dan halal darah mu.

Lihat sahaja dua nas Al-Quran di bawah sahaja diguna pakai secara tekstual tanpa mengikut kontekstual telah menyebabkan permusuhan sesama Muslim dan perseteruan yang keras dan mengakibatkan perpecahan yang merugikan.

Dalam Surah Al-Nisa’: 60. “Tidakkah engkau (Muhammad) memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelummu? Tetapi mereka hendak berhakim kepada thaghut, padahal mereka telah diperintah mengingkari thaghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya.” (S. Al-Nisa: 60)

“Dan barang siapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.” (QS. Al Maidah :44)

Ayat ini digunakan oleh Kaum Khawarij bagi mengkafirkan Khalifah pada masa itu. Ini telah menjadi satu peristiwa hitam dalam sejarah Islam yang melahirkan kafir mengkafir akibat salah faham terhadap dalil-dalil dari Al-Quran.

Jika di Indonesia mereka memanggil kelompok ini sebagai “Islam garis keras”. Mereka juga amat keras dan mudah menghukum mana-mana pihak yang berbeza pandangan Islamnya terhadap sebarang isu dalam pemerintahan.

Lawan kepada kumpulan garis keras ini pula ini adalah kumpulan Islam bermudah-mudah atau cenderung kepada kelompok Islam liberal pula. Ada juga kumpulan sesat yang mengaku Nabi mahupun mewakili Kerajaan langit.

Kumpulan berasaskan liberal pula beranggapan hukuman syar’i seperti hudud dianggap sudah tidak relevan, tidak boleh dilaksanakan mahupun sesuai lagi di zaman moden walaupun mereka tidak menolak Al-Quran. Mereka memperjuangkan kesamaan hak sama rata hingga wanita boleh menjadi Imam Solat Berjemaah di Masjid dan wanita juga boleh menjadi Muazzin. Idea ini dipelopori oleh seorang Ilmuan Islam rakyat Amerika di US mantan seorang pensyarah yang berkhidmat beberapa tahun di sebuah universiti terkemuka di Malaysia.

Wanita seperti kumpulan ini juga menolak kewajaran poligami sebagai sesuatu yang tidak sesuai lagi pada zaman ini kerana kegagalan lelaki yang sering mengabaikan tanggungjawan mereka. Mereka sanggup tidak berkahwin lantaran merasa kecewa dengan sistem perkahwinan di dalam Islam. Bahkan yang lebih ngeri lagi ada antara mereka mengatakan bahawa perhubungan individu gay dan lesbian itu diperbolehkan dan tidak ada nas al-Quran yang mengharamkannya. Hujjah ini bukan diberikan oleh orang awam biasa bahkan oleh seorang Professor sebuah Universiti terkenal di Jakarta. Lantaran keberaniannya mengemukakan pandangan yang pelik ini beliau dianugerahi oleh US Womens Bravery Awards.

Pada hal Agama Islam itu adalah satu sahaja tiada yang dianggap keras atau liberal. Islam tulin yang di bawa Nabi Muhamad s.a.w berdasarkan Al-Quran dan al-hadith (sunnah). Dua sumber teras kepada agama ini kekal hingga hari kiamat dan mengemukakan jalan wasatiyah atau pertengahan.

Para Imam Mujtahid dan para Ulamak berbeza dalam memahami nas terutama bahasa arab yang mempunyai banyak pengertian lalu mereka mengeluarkan pandangan dan ijtihad mereka dalam Fiqh hingga munculnya perbezaan dalam Mazhab.

Namun khilaf itu bukanlah pada urusan Usul atau dasar agama. Ianya berbeza sedikit dalam hal-hal furuk atau cabang.

Islam itu sebenarnya mudah namun tidak boleh dipermudah-mudahkan hingga semua orang boleh mengeluarkan fatwa mahupun berhujjah hanya dengan aqal tanpa wahyu. Di negeri kita adanya Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis fatwa di negeri-negeri harus dihormati. Di situ kita sebagai rakyat awam merujuk kepada institusi agama ini.

Ada juga kelompok yang menafsirkan Islam hanya berteraskan Al-Quran dan menolak sumber kedua utama iaitu Hadith dengan anggapan sumber ini telah rosak, tidak sah atau merupakan hafalan yang dusta atas nama Nabi. Mereka mencari titik kelemahan dalam hadith dan menghina Nabi s.a.w. Mereka menuduh Nabi Muhammad s.a.w sebagai lelaki yang berkahwin dengan remaja perempuan bawah umur sedangkan maklumat yang benar Nabi mengahwini Saiyidatina A’isyah ketika beliau berumur 19 tahun.

Golongan di atas ini juga beribadah hanya dengan dalil nas Al-Quran walaupun ada ayat-ayat Al-Quran itu ada yang mutasyabihat atau bersifat umum yang hanya dapat difahami pelaksanaannya dari nabi melalui perkataan, perbuatan mahupun diamnya Nabi Muhammad s.a.w seperti ibadah solat dimana Nabi berkata solatlah sebagaimana aku solat. Contohnya “Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) subuh. Sesungguhnya solat subuh itu disaksikan (oleh malaikat).” (S. al Isra’: 17). Kaedah solat itu hanya dihuraikan secara terperinci oleh Nabi s.a.w.

Ada juga masyarakat umum yang tidak berilmu mahu mentafsirkan ayat-ayat Al-Quran secara literal dari teksnya. Mereka memahami dengan cara yang sangat keras hingga dengan sebab kefahaman mereka itu seseorang dengan mudahnya dihukum kafir, munafik mahupun fasik.

Mereka tidak memahami asbab nuzul ayat mahupun memahami tafsirannya dari Ulamak Tafsir yang muktabar. Mereka juga mengambil nas tersebut secara literal dan tidak dari konteks ayat tersebut diturunkan.

Sebaliknya ada juga di antara mereka memang alim dalam agama akan tetapi menisbahkan ayat tersebut kepada orang tertentu di zaman ini dan menyamakan mereka sebagai Thagut dan munafik di dalam khutbah-khutbah mereka. Ini mengakibatkan masyarakat mendapat mesej bahawa orang yang dinisbahkan oleh guru mereka sebagai musuh yang harus diperangi.

Perbezaan parti politik juga menjadi punca permusuhan atas nama agama. Barangsiapa keluar dari parti tersebut boleh dianggap telah keluar dari jamaah Islam. Dan barangsiapa telah keluar maka dianggap pengkhianat dimana darah mereka menjadi halal. Mereka meyakini pengertian hadith tersebut bahawa perkataan “al-jamaah” dalam hadith tersebut merujuk kepada mereka dan mereka sahajalah jamaah Islam itu. Sedangkan konsep jamaah adalah seluruh umat Islam yang bertauhid.

Dari Abu Hurairah dia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa keluar dari keta'atan dan memisahkan diri dari Jama'ah kemudian dia mati, maka matinya seperti mati jahiliyah.  (HR Muslim No.3437)

“Dari Abu Dzar radliyallahu 'anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa memisahkan diri dari Al-Jama'ah walaupun sejengkal, maka berarti dia telah melepaskan ikatan Islam dari tengkuknya." (HR Abu Daud, Ahmad dan Hakim)

Ada juga di kalangan mereka berpandangan bahawa menubuhkan banyak lagi Parti atas dasar agama adalah satu larangan. Wal hal di Negara Muslim lain di Timur mahupun di Barat penubuhan pelbagai parti dan latar belakang mahu pun NGO Massa Islam bermunculan dengan bebas terikat dengan undang-undang Negara tersebut. Tidaklah pula para ulamak di sana beranggapan hanya satu parti Islam sahaja yang boleh ditubuhkan.

Penubuhan pelbagai parti ini bukanlah bermaksud mereka berbeza akidah atau ibadah. Parti adalah satu wasilah yang dibenarkan oleh undang-undang Negara untuk memperjuangkan satu idea yang mulia. Urusan siasah adalah urusan muamalat dan bukannya berbeza akidah atau ibadah mahupun berbeza agama yang melarang untuk berkasih sayang dan berukhuwwah.

Jika mereka mengatakan parti mereka lebih Islamik maka itu terpulang pada pandangan peribadi mereka namun menolak kewujudan sebuah parti baru berasaskan Agama Islam misalannya adalah sesuatu yang diharuskan mengikut undang-undang negara tersebut.

Peristiwa solat berjamaah dua imam dan kafir mengkafir di sebuah negeri di pantai Timur satu ketika pada 80’ an telah menyebabkan berlakunya perceraian disebabkan perbezaan parti. Ada juga yang tidak mahu makan sembelihan saudara muslimnya dengan alasan telah rosak akidahnya. Ada juga yang memulau majlis perkahwinan mahupun melarang anak perempuannya berkahwin atas alasan mereka adalah penentang agama dan menyokong Thagut.

Satu lagi yang menimbulkan kekeliruan dalam badan tubuh umat Islam ialah salah faham terhadap jihad. Akibat pemahaman terhadap nas dan mudahnya menghukum seseorang sebagai kafir samada terhadap pemerintah mahupun individu mereka bermudah-mudah dengan hukuman bunuh terhadap pihak tersebut. Ada juga guru yang mengeluarkan fatwa bahawa mengambil barang-barang dari kedai bukan Islam adalah halal. Akibat fatwa ini seorang pelajar sebuah sekolah agama ditangkap kerana mencuri di sebuah pasar raya.

Jihad satu perkataan suci dari Allah SWT bagi memperjuangkan agama ini kini menjadi sangat hina dan kotor. Kalimah jihad boleh sahaja dianggap sebagai perkataan teroris dan akibatnya sangat lah merbahaya kepada sebuah Negara. Ini adalah kerana jihad yang suci mempertahankan agama ini disalah fahami hingga memudahkan individu mahupun kelompok untuk melakukan pemberontakan terhadap pemerintah. Mereka juga menggunakan ayat berikut untuk menghalalkan perlawanan.

Al-Anfal : 39 Dan perangilah mereka, supaya jangan ada fitnah dan supaya agama itu semata-mata untuk Allah . Jika mereka berhenti (dari kekafiran), maka sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan.

Ayat ini digunakan secara semberono untuk menghalalkan satu peperangan. Sedangkan peperangan itu kuasanya terletak kepada sebuah Negara yang sah dan berdaulat dan haruslah mendapat persetujuan jumhur ulamak yang berwibawa tentang keharusan perlawanan tersebut dari segi syarak.

Peperangan itu pula berlaku kerana wujudnya fitnah terhadap agama Islam dan menghalang umat Islam dari beribadah dengan bebas dan melaksanakan perintahnya. Boleh jadi juga sesebuah negeri musuh itu, membunuh wanita, kanak-kanak dan lelaki dengan cara yang zalim lalu sebuah kerajaan Islam itu harus membela nasib mereka dan menegakkan kembali keadilan dan menghukum mereka yang melakukan hirobah dan keganasan atas umat manusia.

“Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, karena sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu, (yaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali karena mereka berkata: “Tuhan kami hanyalah Allah…” (S:Al-Hajj : Ayat: 39-40)

Pengertian “fitnah” dalam ayat ini ialah serangan ke atas kaum muslimin hingga kaum muslimin diusir dari tempat halaman mereka tanpa hak dan mengikut undang-undang, semata-mata mereka mengucapkan kalimah tauhid. Atas hujjah itu peperangan diizinkan sehinggalah hak dan kebebasan mereka diperolehi semula.

Selain ayat Al-Quran yang mulia para golongan pelampau mengambil ayat Al-Quran dengan secara tekstual dan literal bagi penghalalan mereka untuk membunuh orang yang dianggap kafir atau non-muslim.

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah :191 “Dan bunuhlah mereka di mana saja kamu jumpai mereka, dan usirlah mereka dari tempat mereka telah mengusir kamu (Mekah); dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan, dan janganlah kamu memerangi mereka di Masjidil Haram, kecuali jika mereka memerangi kamu di tempat itu. Jika mereka memerangi kamu (di tempat itu), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang kafir”.

Ayat ini merujuk kepada peristiwa Kafir Musyrikin Makkah yang menghalang-halang Nabi dan orang yang beriman untuk memasuki Makkah bagi tujuan ibadah Umrah sedangkan pada waktu tersebut adalah bulan-bulan haram. Musyrikin Makkah membuat fitnah kepada umum bahawa Nabi dan Muslimin ingin melakukan peperangan dalam bulan haram. Sedangkan hakikatnya mereka ingin memasuki Makkah untuk beribadah dengan cara aman. Ayat ini adalah kebenaran untuk berperang walaupun dalam bulan haram jika mereka diperangi oleh Musyrikin Makkah ketika itu dengan syarat-syarat dijelaskan oleh Allah SWT.

Peperangan juga mempunyai adab-adab dan hukum yang perlu dipatuhi dan bukan dengan cara yang zalim dan membunuh wanita dan kanak-kanak mahupun orang tua. Dilarang juga merosakkan tanaman dan juga rumah-rumah ibadat bukan Islam mahupun para pendita agama lain.

Hari ini selepas kejatuhan Sistem Khalifah, negeri-negeri Muslim bertukar menjadi sebuah negara bangsa atau dinisbahkan kepada negara berasaskan bangsa mereka selepas negeri mereka bebas dari penjajahan Barat. Ikatan antara Negara muslimin ini dibina berasaskan ikatan iman dan persaudaraan. Mereka tubuhkan badan OIC dan melakukan kerjasama dalam hal kebaikan. Walaupun dalam banyak hal kejayaan OIC masih boleh dipersoalkan keberkesanannya.

Dunia juga kini terikat dengan perjanjian bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) dan sebarang konflik antara negara perlulah dirujuk kepada badan antarabangsa ini dan terikat juga dengan undang-undang antarabangsa, (International law) yang mengikat dan mengawal soal perdamaian atau perang serta kawalan ke atas kedaulatan kawasan masing-masing.

Sikap melampau dan salah faham terhadap islam ini kini merebak ke Eropah. Pemikiran ekstrem terhadap agama tersebar kepada mereka yang jahil terhadap Islam. Anak-anak muda yang belum memahami Islam dengan tepat mula terpengaruh dengan sikap melampau. Mereka terlibat dalam agenda memerangi kerajaan di Barat dengan alasan mereka adalah kafir yang boleh diperangi.

Di sesetengah Negara mereka berani melakukan keganasan hatta merosakkan rumah ibadah bukan Islam seperti gereja dan membunuh pengikut agama lain. Sikap seperti ini telah menjejaskan nama baik agama Islam yang suci serta meningkatkan lagi islamiphobia atau kebencian bukan Islam terhadap Islam dan penganutnya hatta mereka mahu membakar Kitab Al-Quran yang mulia.

Kesimpulannya pemahaman agama Islam adalah kunci kepada penyelesaian salah faham terhadap ghuluw (melampau) mahupun sikap keras dalam agama. Ianya juga kunci kepada pemahaman yang menimbulkan kasih sayang sesama muslim.

Sikap melampau dalam sesuatu urusan juga bukan hanya berlaku di kalangan Muslim. Ianya juga berlaku kepada semua kaum, kelompok mahupun ideologi. Untuk membuat tuduhan bahawa segala aktiviti keganasan dikaitkan dengan agama Islam adalah tidak benar sama sekali.

Islam menganjurkan kedamaian, menuntut keamanan dan kebebasan beragama. Islam tidak memaksa mana-mana rakyatnya untuk memeluk agama Islam. Bahkan Islam menentang sebarang paksaan dan sikap keras terhadap semua insan hatta kepada binatang sekalipun. Islam bermakna salam atau sejahtera. Islam berkembang dengan ilmu, contoh peradaban yang tinggi dan dakwah yang sihat sesuai dengan fitrah kemanusiaan.

Dalam masa yang sama Umat Islam mestilah kembali kepada pemahaman yang benar dan dibimbing oleh para ulama yang muktabar. Sikap keras dan kasar bukanlah dari ajaran Islam yang sebenar. Perbezaan politik bukanlah syarat mudah untuk berbeza dalam urusan agama.

Politik hanyalah satu wadah untuk menyampaikan satu dasar perjuangan dan dalam banyak hal urusan politik menimbulkan pelbagai konflik biasa dalam menyimpulkan satu penyelesaian. Samada untuk memilih antara dua kebaikan atau menolak mana yang lebih mudarat. Politik juga adalah alat untuk semak dan imbang dan mengawal Negara dari salah guna kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat bagi kemaslahatan umat dan negara.

Sikap melampau yang ditunjukkan oleh sebahagian kaum Muslimin akan menimbulkan sikap melampau atau keras pula oleh sebahagian kecil mereka yang bukan beragama Islam terhadap agama Islam. Lantaran itu adalah perlu umat Islam menolak sebarang bentuk keganasan mahupun sikap melampau dalam semua perkara.

Marilah kita semua kembali kepada pemahaman Islam yang sebenar yang membawa cahaya kepada seluruh umat manusia, menyebarkan kebaikan dan rahmahnya ke seluruh alam.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel