Apa itu 'pembangunan Islam' wahai Datuk Seri Najib?

Dr Dzulkefly Ahmad

SAYA turut terkejut, apabila membaca berita mengenai Perdana Menteri Najib Razak yang menggesa rakyat untuk tidak mengundi "orang-orang yang tidak mahu membangunkan Islam". Malangnya beliau tidak mengulas lanjut siapa dan bagaimana cara sebenarnya untuk membangunkan Islam.

Namun omongan Najib ternyata berlawanan dengan kerja buat beliau mutakhir ini. Pelbagai kemungkaran ekonomi dan tadbir-urus kewangan kerajaan beliau, bahkan sosok-tubuh beliau itu sendiri, yang sarat dengan dakwaan unsur-unsur rasuah, ketirisan, salah-guna kuasa dan pecah amanah meletakkan beliau calon teratas untuk ditolak dan disingkirkan mengikit nasihatnya sendiri.

Najib juga pura-pura lupa atau sengaja ingin menutup segala dosa mengenai rompakan dan pengsonglapan dana 1MDB,  khasnya. Keputusan 'Timbangtara' atau 'Arbitration' di London beberapa hari lalu amat mengaibkan Najib dan negara seluruhnya!

IPIC atau International Petroleum Investment Company milik kerajaan Adu Dhabi menang. 1MDB kalah. Ternyata segala dakwaan dusta 1MDB tentang bayaran USD3.51 bilion kepada IPIC yang palsu, khasnya oleh Arul Kanda kepada Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara terbukti salah dan gagal dipertahankan.

Sangat mengaibkan. Sekarang 1MDB terbeban dengan bayaran USD1.205 bilion sehingga selewatnya 31 Disember 2017. IMDB akan menanggung semua bayaran faedah dan pinjaman pokok USD3.5 bilion yang dulu dijamin IPIC.

Disamping itu rakyat telah didedahkan pelbagai penyalahgunaan dana dan salah urus oleh beberapa orang kanan beliau di agensi-agensi kerajaan yang tertentu dan GLC seperti FGV, MARA dan tidak ketinggalan Tabung Haji.

Apakah Najib berasa telah 'membangunkan Islam' dengan mengizinkan wakil Pas membentangkan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 di Dewan Rakyat?

Najib sebenarnya telah 'mengumpan' Pas atau Presiden Pas selalu Ahli Parlimen Marang untuk membentang buat kali ketiga, tetapi liciknya kemudian mengarahkan Speaker Dewan Rakyat untuk tidak membenarkan perbahasan, jauh lagi untuk mengundi.

Apakah Najib rasa membenarkan RUU355 dibentangkan tanpa perbahasan itu "membangunkan atau memajukan Islam"?

Najib ternyata dalam alam ilusi dan angan-angan. Rakyat, terutamanya majoriti Islam, tidak lagi  mudah tertipu atau naif seperti dulu. Najib kononnya hendak berdakwah dengan anjuran dan gesaan supaya tolak golongan yang tolak RUU 355 agaknya. Yang menjalankan kemungkaran ekonomi dan fasad kewangan adalah beliau.

Biar saya ingatkan Najib dan kawan barunya Pas  bahawa objektif perlaksanaan syariah di peringkat kerajaan adalah untuk menguruskan seluruh sumber negara secara bertanggungjawab, mampan dan berhemah.

Matlamat kerajaan di sisi ekonomi adalah mencapai "Kemakmuran Negara dan Kesejahteraan Semua Rakyat". Ini dinyatakan secara jelas dalam Surah Hud: 61 dengan istilah "Al-Isti'mar" atau, dalam erti kata pembangunan dan kemakmuran seluruh muka bumi.

Najib wajar tahu, Allah telah mencelakan serta mengecam dan mengutuk orang-orang kaya dan penguasa yang penipu dan tidak adil yang didorong oleh nafsu tamak dan ketidakjujuran. Allah berfirman yang bermaksud; "Celakalah orang-orang yang curang" dalam Surah Al-Mutaffifeen dan mengingatkan mereka akan pembalasan di hari kiamat, ketika semua orang akan diadili di hadapan Tuhan semesta alam.

Masyarakat terutamanya Melayu Islam mesti difahamkan sejelas-jelasnya bahawa usaha "Membangunkan Islam" adalah untuk "Mencapai keadilan dan mencapai kemakmuran untuk semua rakyat"  dan menyingkirkan pemimpin yang korup dan tidak jujur, yang bertanggungjawab terhadap kenaikan kos sara hidup dan penarikan balik subsidi serta mengenakan cukai GST yang membebankan rakyat, khasnya rakyat teramai dan termiskin.

Masyarakat Melayu terutamanya perlu diberitahu bahawa pemimpin-pemimpin beginilah yang sebenarnya yang membolot, rakus dan membazir serta mengekalkan jurang kesenjangan pendapatan dan kekayaan kaya-miskin yang tidak seimbang dalam masyarakat dan merekalah yang sebenarnya membolot  kekayaan  melalui nepotisme dan kronisme kapitalis. Dengan itu ia menafikan hak dan pembangunan sebahagian rakyat yang terus miskin dan terpinggir.

Pembangunan Islam bukan hanya dengan meningkatkan had hukuman, terutamanya jika "pesalah" adalah dari golongan berpendapatan rendah, manakala golongan elit  dan rakan-rakan super-kaya itu terus bebas untuk merompak kekayaan negara - kekayaan untuk membangunkan rakyat, terutamanya golongan miskin.

Natijahnya golongan miskin itu dihimpit lalu merompak atau mencuri untuk terus hidup atau ‘tersesat’ dalam kancah maksiat sosial akibat dari keadaan terdesak dan kemiskinan itu.

Saya mencabar Najib untuk menjadi seorang Islam dan ‘pendakwah’ yang jujur dengan ​​mendedahkan dan menarik keluar dari OSA  laporan Ketua Audit Negara mengenai penyiasatan 1MDB.

Sebenarnya Najib telah melakukan ‘dosa’ dalam Islam dengan mengklasifikasikan laporan 1MDB yang kontroversi dalam OSA – termasuk sejumlah wang bernilai hilang RM14 bilion yang ‘hilang’ dari dana 1MDB. Itu adalah sesungguhnya dosa besar!

Saya mencabar mana-mana mufti  untuk mengutuk saya kalau saya melanggar "maslahah ammah" atau "kepentingan umum" dalam tindakan ini. Ataukah mereka mesti menanggung dosa kerana berdiam kecuali segelintir.

Lawatan Raja Salman Abdulaziz Al Saud dari Arab Saudi ke Malaysia ternyata terbukti bukan untuk melepaskan Najib dari dosa yang amat terkenal iaitu wang RM2.6 bilion yang terdapat dalam akaun  peribadi Najib di AmBank. Juga isu SRC International yang memerlukan perhitungan yang mendesak di mana jumlah wang berjuta ringgit telah dipinjam dari KWAP dana pencen.

Inilah  sebalik jenayah yang dilakukan Najib, ia sebenarnya menjadi satu penghinaan besar untuk memfitnah saingan politiknya sebagai 'tidak Islamik'. Malah sebenarnya saingannya  mempunyai cara yang lebih baik dan lebih substantif  untuk mengukuhkan Mahkamah Syariah, bukan semata-mata menaikkan had hukuman.

Saya belum lagi menyentuh mengenai krisis keharmonian antara kaum dan konflik agama yang semakin mendalam yang mana ia sebenarnya amat bertentangan dengan  "Islam sebagai rahmat kepada semua". Perihal itu memerlukan wacana yang lain.

Oleh itu, apa yang sebenarnya yang kita perlu bicarakan PM Najib apabila benar-benar mahu  'Membangunkan Islam'?

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel