Tukun jadi acara simbolik jika tiada keazaman politik

Nelayan pantai Terengganu perlukan pembelaan.Nelayan pantai Terengganu perlukan pembelaan.

SAYA membaca tentang upacara pelancaran Tukun Rig to Reef (R2R) oleh Menteri Pertanaian Datuk Ahmad Shabery Cheek yang turut dihadiri Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi dan ingin mengucapkan tahniah atas majlis tersebut.

Saya juga berdoa semoga ini akan menyedarkan pihak berkuasa tentang banyaknya masalah nelayan tempatan dan janganlah menjadikan majlis tersebut semata-mata majlis simbolik yang tidak membantu nelayan dalam erti kata sebenarnya macam yang lepas-lepas.

Saya juga berharap menteri tidak menggunakan kehadiran Presiden Pas untuk mengiyakan kurang perhatian kerajaan sebelum dan selepas ini pada nasib nelayan yang sudah lama diabaikan.     

Saya pernah berbahas dengan Menteri Pertanian Datuk Ahmad Shabery Cheek di Parlimen tentang perlunya tindakan-tindakan tegas lain di ambil selain dari hanya menyediakan tukun kerana ini sahaja tidak akan menyelesaikan masalah sebenarnya. Isu-isu lain yang perlu di beri perhatian adalah:

a) Walaupun tukun akan menambah bilangan ikan di laut, ianya sia-sia sahaja jika aktiviti nelayan Vietnam yang beroperasi secara haram dan mengunakan cara penangkapan ikan yang haram tidak di benteras. Sebenarnya tukun ini hanya membantu mereka mendapat tangkapan ikan yang lebih banyak. Nelayan tempatan terus kerugian melihat hasil ikan terus di kaut orang asing.

b) Peruntukan minyak kapal ronda pihak berkuasa mesti ditambah kerana mereka tidak dapat mengadakan rondaan yang berkesan untuk membenteras aktiviti pencerobohan nelayan asing. Masalah minyak rondaan yang tidak mencukupi telah lama dibangkitkan. 

c) Operasi kapal kargo secara haram memunggah ikan di tengah laut yang melanggar peraturan pihak berkuasa mesti diambil tindakan tegas kerana banyak ikan dibawa lari keluar ke negara jiran.

d) Hukuman penjara yang tegas dan memusnahkan kapal nelayan asing yang menceroboh perairan Malaysia mesti dilakukan seperti dipraktikkan oleh pihak berkuasa Indonesia.  

Hanyalah bersama dengan tindakan-tindakan tersebut di atas, program tukun akan mendatangkan faedah yang menguntungkan nelayan tempatan.  

Seperti saya katakan di perbahasan di parlimen tempoh hari, kalau tiada langkah bersepadu diambil, tukun-tukun ini hanya akan membantu nelayan asing Vietnam dengan kapal yang lebih besar dan pukat tunda haram mereka mengaut keuntungan sementara nelayan kita sendiri terus berputih mata.

Janganlah kerajaan hanya melepaskan batuk di tangga dengan acara-acara simbolik untuk pameran media, akhbar dan TV sahaja.

Nasib nelayan sebenarnya masih tidak akan terbela tanpa "political will" - keazaman politik sebenar. Kerajaan hendaklah membela nasib nelayan yang sudah begitu lama terbiar dan merana di bumi 'Kuwait Malaysia' juga dikenali sebagai Terengganu.

________________
*Raja Bahrin Shah ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: