Wanita perlu lebih serius sertai politik

Normala mahu wanita lebih aktif berpolitikNormala mahu wanita lebih aktif berpolitik

Golongan wanita diseru lebih serius mengambil bahagian dan aktif dalam politik supaya pembuat dasar lebih peka dengan masalah yang dihadapi mereka.

"Dalam dunia hari ini hampir semua yang kita hadapi seharian berkait dengan keputusan kerajaan, oleh itu kita mesti faham bahawa jika kelakuan kerajaan tidak diawasi kita mungkin terpaksa memikul pelbagai beban," kata ketua Awan negeri Kelantan Puan Normala Mohamad Nazar ketika merasmikan mesyuarat agong penubuhan Awan kawasan Machang, Jumaat.

Parti Amanah Negara (Amanah) kata Normala muncul di negara ini kerana mahu membuka ruang lebih luas bagi penyertaan masyarakat Islam dalam politik.

"Kita mahu golongan wanita, orang muda, golongan profesional dan terpelajar dan bukan Islam bersama mencorakkan masa depan negara menurut acuan Islam," katanya.

Pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini katanya, membuktikan Amanah diterima semua pihak sebagai entiti Islam baru dalam politik negara.

"Kita bukan saja mendapat sokongan dari parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) malah pelbagai NGO dan dari dalam Umno juga," katanya.

Beliau juga menekankan kepentingan mendahulukan kebajikan dalam gerak kerja Awan kerana situasi kritikal sekarang menyebabkan begitu banyak keluarga berhadapan kekurangan keperluan asas.

"Walaupun kita merasa susah masih ramai yang lebih susah, jadi kita perlu berusaha keras membantu", katanya.

Beliau mahu motto peduli yang jadi salah satu teras perjuangan Amanah benar-benar membezakan parti dengan parti lain.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel