Amanah Parit Buntar santuni 60 penduduk daif

Dr Mujahid bergambar bersama pelajar yang menerima bantuan persekolahan.

Amanah Kawasan Parit Buntar akan terus berikhtiar membantu meringankan beban hidup penduduk akibat kos sara hidup yang meningkat ekoran pengurangan subsidi dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Ketua Komunikasi Amanah Kawasan Parit Buntar, Hamda Fadel Ahmad berkata, menyedari hakikat ini, pihaknya telah menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada 60 penduduk di Jalan Pantai Lama dan Jalan Terusan, baru-baru ini.

"Program bantuan ini adalah aktiviti peduli rakyat Amanah Parit Buntar bagi membantu penduduk kurang berkemampuan bagi meringankan beban hidup mereka," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan di Jalan Terusan, dekat sini.

Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa telah menyampaikan sumbangan kepada penduduk terbabit.

Turut hadir isteri beliau, Zuraida Husin dan ahli jawatankuasa Amanah Kawasan Parit Buntar.

Sementara itu, Dr. Mujahid dalam ucapannya berkata, kerajaan perlu menyedari rakyat kini begitu tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi apatah lagi pendapatan bulanan masih tidak mencukupi.

"Walaupun kerajaan menaikkan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada tahun depan, namun ia hanya bersifat penyelesaian jangka pendek.

"Rakyat semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang meningkat ditambah dengan pelaksanaan GST yang terbukti membebankan rakyat," katanya.

Dr Mujahid turut memuji Amanah Parit Buntar kerana meneruskan aktiviti membantu penduduk yang terbeban dengan peningkatan kos hidup.

"Walaupun baru setahun, program peduli rakyat tetap keutamaan tertinggi Amanah Parit Buntar meskipun berhadapan dengan keupayaan dana yang terhad.

"Saya melihat Amanah Parit Buntar aktif berikhtiar mencari dana dari pelbagai sumber semata-mata untuk membantu penduduk di Parit Buntar yang memerlukan," katanya.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel