Dr Mujahid gesa kaji semula kadar pemutuan padi

Dr Mujahid (tengah) melawat kawasan sawah mendengar aduan petani.Dr Mujahid (tengah) melawat kawasan sawah mendengar aduan petani.

Sikap menyalahkan pembangkang yang didakwa menghasut petani membuat bantahan terhadap kadar pemutuan padi tidak menyelesaikan masalah petani.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu membuat siasatan terperinci melibatkan semua aspek berkaitan penanaman padi di Kerian dan tidak hanya menuding jari kepada pihak lain.

"Jangan salahkan pembangkang menghasut petani sedangkan bantahan yang petani lakukan atas inisiatif mereka sendiri berikutan kadar pemutuan padi yang melampau.

"Jangan juga menyalahkan petani di Kerian dengan menyatakan padi yang dihasilkan tidak mencapai kualiti yang ditetapkan," katanya semasa membuat lawatan bagi meninjau isu berkenaan bersama beberapa petani di Sungai Labu Atas, dekat sini, baru-baru ini.

Dr Mujahid berkata, kementerian terbabit perlu menyiasat penggunaan alat 'moisture meter' yang mengukur kandungan air dalam sampel padi oleh pihak pengilang.

"Adakah pihak pengilang mempamer sijil kalibrasi alat 'moisture meter' ini?

"Kalibrasi alatan penting bagi menjamin bacaan kadar kandungan lembapan dalam padi adalah tepat," katanya.

Beliau berkata, jika ada ralat atau bacaan kelembapan lebih tinggi dari bacaan sebenar maka petani akan hadapi potongan pemutuan lebih tinggi dari sepatutnya dan merugikan mereka.

Menurut Dr Mujahid, walaupun benar padi yang dihasilkan tidak mencapai kualiti yang ditetapkan, aspek lain perlu diambil kira.

"Mungkin padi tidak mencapai kualiti kerana penggunaan racun dan baja yang tidak sesuai, semua ini kena dilihat.

"Jika petani menerima subsidi baja dan racun, perlu disiasat kenapa baja dan racun subsidi ini gagal meningkatkan kualiti padi yang dihasilkan?" katanya.

Tambah beliau, pihak kementerian juga perlu mengambil kira beban petani yang perlu membayar kos mesin tuai dan kos tanam semula melibatkan kos bajak, semaian, penanaman dan penjagaan.

"Bayangkan betapa pendapatan petani semakin mengecil kerana kadar pemutuan padi yang melampau. Berapa pendapatan petani yang berbaki jika ditolak keseluruhan kos ini?" soal beliau.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel