Majlis Perbandaran Sandakan diminta tunai janji peniaga sebelum roboh tapak pasar

 

Hamzah (dua dari kiri)  bersama peniaga-peniaga  warga tempatan yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya dari Majlis Perbandaran Sandakan.Hamzah (dua dari kiri) bersama peniaga-peniaga warga tempatan yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya dari Majlis Perbandaran Sandakan.

Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) didakwa gagal menunaikan janji untuk menyediakan tapak pasar baru bagi peniaga-peniaga kecil di Pasar Kampung Batu 2 1/2, Batu Sapi, Sandakan.

Pengerusi Amanah Sabah Hamzah Abdullah yang komited memantau permasalahan rakyat di Batu Sapi dan sekitar Sandakan, mengambil langkah pantas sejurus mendapat maklum tentang notis perobohan pasar tersebut.

"Pihak kami sudah pun menghantar surat kepada MPS. Kami mahu mereka ingat dengan janji-janji mereka pada peniaga-peniaga kecil di sini dan laksanakannya. Jangan sekadar menanam tebu di tepi bibir sahaja.

"Ini kerana notis perobohan yang dijadualkan berakhir pada semalam, diminta tangguh. Sewajarnya selesaikan situasi ini dengan baik dan berunding terlebih dahulu dengan peniaga-peniaga terlibat", ujar Hamzah dengan tegas.

Berdasar maklumat yang diperoleh, peniaga-peniaga terbabit pernah menjalankan perniagaan mereka di Pasar Kampung BDC sejak beberapa tahun yang lepas. Sehingga tiga tahun sebelum ini, mereka diarah berpindah ke tapak pasar yang sekarang (Batu 2 1/2).

MPS memberi notis bahawa tapak di BDC itu kotor dan perlu dibersihkan. Selepas selesai kerja-kerja pembersihan, mereka berjanji akan membuka semula tapak tersebut untuk penduduk berniaga semula di situ.

Hamzah yang juga merupakan Pengerusi Amanah Kawasan Batu Sapi berkata, daerah Sandakan yang dikitiraf sebagai Bandaraya Alam Semula Jadi, sewajarnya dipulihara kebersihannya.

Beliau bersetuju dengan tindakan pihak MPS membersihkan tapak-tapak pasar yang ada.

"Akan tetapi, jangan pula ia dijadikan alasan untuk menipu peniaga. Pihak MPS telah terbukti menipu mereka secara terang-terangan apabila Pasar Kampung BDC itu tidak dibuka semula selepas dibersihkan.

"Nasib peniaga ini sudah jatuh ditimpa tangga. Ditipu berkali-kali, sumber pendapatan hidup pula disempitkan apabila tempat berniaga mereka dirobohkan lagi", jelasnya.

Dalam pada itu juga, Hamzah mempersoal kredibiliti pihak MPS berhubung kegiatan perniagaan oleh premis-premis haram yang tidak pula diambil tindakan.

"Saya tidak teragak-agak untuk mendedahkan berpuluh-puluh lagi premis haram yang beroperasi tanpa lesen secara bebas,termasuklah rumah kediaman yang dijadikan sebagai restoran di kampung yang tertentu. Kenapa premis-premis ini dibiarkan sahaja, ada rasuahkah?", ujarnya.

Tambahnya lagi, Amanah Sabah menasihatkan pihak MPS agar tidak menghalau atau merobohkan gerai para peniaga terlebih dahulu.
Sebaliknya, pihak MPS hendaklah berunding dengan mereka untuk mencari jalan penyelesaian 'menang-menang'.

"Saya yakin para peniaga bersedia dipindahkan ke tempat lain yang lebih teratur dan berbayar apabila disediakan oleh MPS. Berhati perutlah sikit dengan rakyat sendiri.

"Mereka ini peniaga yang mencari makan untuk bayar sewa bulanan rumah PPRT yang mereka duduki. Jika tempat mereka berniaga kamu ganggu, dimana lagi tempat untuk mereka mencari rezeki bagi anak dan bini," ujarnya.

Hamzah turut mengingatkan kepada para peniaga di sana akan apa yang kerajaan BN lakukan kepada mereka.

"Rumah telah diroboh, tempat berniaga juga ingin diroboh. PRU14 nanti kita tukar kerajaan yang sedia ada dan ajar mereka melalui peti undi,"katanya.

Amanah berharap  Majlis Perbandaran Sandakan tidak menghalau peniaga sebaliknya berunding dengan peniaga terbabit .Amanah berharap Majlis Perbandaran Sandakan tidak menghalau peniaga sebaliknya berunding dengan peniaga terbabit .

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel