Amanah Batu Sapi edar bubur lambuk, ziarah warga emas

Hamzah Abdullah (tengah) menziarah salah seorang penghuni di Rumah Warga Sri Harapan.

Parti Amanah Negara(Amanah) Parlimen Batu Sapi telah mengadakan program edaran bubur lambuk bersempena bulan Ramadan.

Edaran bubur lambuk tersebut telah dibuat di dua lokasi iaitu di Rumah Warga Tua Sri Harapan Sandakan dan di Flat Projek Perumahan Rakyat(PPR) Batu Sapi.

Edaran bubur lambuk itu diketuai oleh Hamzah Abdullah, Pengerusi Amanah Batu Sapi, bersama timbalannya, Alias Sani serta rombongan Pemuda Amanah Batu Sapi seramai 10 orang.

Menurut Hamzah yang juga Pengerusi Amanah Sabah, edaran itu dilakukan bagi meraikan kegembiraan Ramadan bersama warga tua serta golongan yang kurang berkemampuan di kawasan Sandakan dan Batu Sapi.

“Edaran bubur lambuk kepada warga tua ini sebagai tanda kebersamaan serta ingin berkongsi kegembiraan kita bersama-sama mereka. Di bulan yang mulia ini, menjadi tanggungjawab kita membantu orang yang memerlukan” katanya.

Ketua Pemuda Amanah Batu Sapi, Yunizam Yusop pula menyatakan program edaran ini akan berlangsung sepanjang bulan Ramadan disamping sumbangan kebajikan kepada golongan asnaf serta gelandangan di sekitar Sandakan dan Batu Sapi.

“Kita tidak akan berhenti setakat hari ini sahaja. Edaran bubur lambuk ini akan kita buat sepanjang bulan Ramadan ini berserta bantuan kebajikan kepada beberapa keluarga yang telah kita kenalpasti di sekitar Sandakan dan Batu Sapi”, ujarnya.

Sebanyak 200 bubur lambuk telah berjaya diedarkan di Rumah Warga Tua Sri Harapan Sandakan dan Flat PPR Batu Sapi.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel