Sifarkan kadar GST untuk tangani inflasi

Nurul Izzah Anwar

Datuk Seri Hasan Malek pada 26 March 2015 menyatakan bahawa pengguna tidak akan melihat peningkatan harga yang ketara berikutan penguatkuasaan cukai GST tanggal 1 April 2015.

Menurutnya lagi, pertemuan telah dan bakal diadakan bersama persatuan-persatuan perniagaan serta amaran juga telah diberikan kepada peniaga-peniaga bahawa Akta Kawalan Harga dan Anti-Keuntungan akan digunakan bagi peniaga yang mengaut untung berlebihan melebihi margin yang ditetapkan.

Namun, hampir dua bulan selepas perlaksanaan GST, bancian Malaysiakini pada 22 Mei 2015 mendapati 61% dari mereka yang menjawab bancian mengatakan bahawa kos perbelanjaan rumah telah meningkat. Perinciannya seperti berikut- kos perbelanjaan meningkat setinggi 21% untuk kos pengangkutan, 12% kos makan di luar, 9% untuk kos pendidikan anak-anak, 8% untuk kos pengangkutan anak-anak, 6% untuk kos barangan dapur, 5.3% untuk kos barangan asuhan, 5% untuk kos utiliti dan 4% untuk kos sewa rumah.

Malah, laporan serta maklumbalas di kawasan saya juga menunjukkan keluhan rakyat meningkat mendadak berkaitan peningkatan kos sara hidup.

Oleh itu di Parlimen semalam, saya ajukan persoalan kesan GST kepada Menteri Kewangan iaitu Perdana Menteri Dato' Seri Najib Abdul Razak untuk menyatakan berapakah kadar inflasi berkaitan dengan GST dari 1 April 2015 hingga 30 September 2015 untuk sektor perkhidmatan, kos barangan, pengangkutan dan kos sara hidup.

Namun malangnya, jawapan yang saya terima langsung tidak memberikan perincian yang diminta tetapi hanya menyatakan bahawa "Indeks Harga Pengguna pada Mac 2015 adalah 0.8% manakala bagi bulan April adalah pada 1.8% dengan peningkatan sebanyak 1.0%". Menurutnya lagi, "kenaikan ini adalah konsisten dengan unjuran asal kesan inflasi daripada perlaksanaan GST iaitu sebanyak 1.08%".

Mengapakah perbandingan hanya merujuk bulan April dan Mac? Soalan perincian berkait dengan GST dari April sehingga September langsung tidak dijawab.

Menurut Perdana Menteri lagi, "walaupun begitu kadar inflasi dari tempoh April hingga Ogos 2015 adalah sebanyak 2.5%. Kenaikan ini secara asasnya adalah dipengaruhi faktor lain seperti penurunan nilai matawang ringgit."

Benar, salah satu faktor yang mempengaruhi kadar inflasi adalah penurunan nilai mata wang ringgit, tetapi bukanlah keseluruhannya.

Data rasmi dari Jabatan Statistik menunjukkan Indeks Harga Import meningkat dari 0.6% dalam bulan Jun hingga ke 1.0% pada bulan Julai.

Dalam tempoh yang sama tahun ini kadar inflasi meningkat dari 2.5% ke 3.3%. Ini menunjukkan ada faktor lain yang mempengaruhi kadar inflasi selain daripada nilai matawang yang menurun.

Secara keseluruhannya, kadar inflasi teras menurun sebelum pengenalan GST, tetapi meningkat mendadak selepas pengenalan GST pada April 2015.

Perdana Menteri tidak sewajarnya memberikan jawapan berselindung seperti ini. Mengapakah kadar matawang yang dipersalahkan apabila jelas kesan GST telah meningkatkan kos sara hidup rakyat?

Rakyat berhak untuk mengetahui kesan GST kepada kos sara hidup. Jika jawapan-jawapan seperti inilah yang diguna pakai oleh pihak kerajaan tidak hairanlah kecacatan yang dilihat daripada perlaksanaan polisi-polisi kerajaan yang pastinya meletakkan kepentingan rakyat di tempat paling terakhir.

Kita juga mesti memastikan bahawa peningkatan GST adalah tidak melepasi peningkatan kadar gaji.

Laporan Institut Rakyat menunjukkan bahawa peningkatan kadar inflasi teras telah melebihi atau setanding dengan tahap peningkatan Gaji Purata Sektor Pembuatan tiga kali semenjak GST diperkenalkan (April, May dan Julai). Kadar inflasi teras di Kuala Lumpur meningkat hingga ke kadar 5% pada bulan Julai. Ini menunjukkan para pekerja terpaksa mengikat perut bagi menampung kadar kenaikan harga barang.

Saya ingin menggesa Perdana Menteri, sedang beliau mengumumkan Belanjawan 2016, agar turut mengumumkan bahawa GST telah dikadar sifarkan sepenuhnya untuk mengurangkan beban kehidupan rakyat yang semakin menekan sejajar dengan gesaan belanjawan alternatif Pakatan Harapan.

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: