Apakah perlu kerjasama Amanah dan Pas di Kelantan?

 Selepas hampir setahun kewujudan Amanah, mereka membuat "pusingan U" yang memeningkan ahli mereka sendiri dengan menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan Pas pula.Pemuda Pas Kelantan merasa hairan dan pelik dengan kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berhubung cadangan mereka untuk berunding dan bekerjasama dengan Pas kerana "Rela Pas Kekal" di Kelantan termasuklah juga mencadangkan Nik Omar Nik Aziz sebagai MB Negeri Kelantan yang akan datang.

Jika pada awal dahulu mereka pernah menyebut bahawa Kelantan tidak akan "diusik" dan diganggu oleh Amanah ketika Amanah dilancarkan di negeri ini.

Selang beberapa ketika Amanah mengumumkan pula bahawa mereka bersedia menggantikan Pas di Kelantan sebagai kerajaan. Selepas hampir setahun kewujudan parti serpihan ini, mereka membuat "pusingan U" yang memeningkan ahli mereka sendiri dengan menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan Pas.

Apalah untungnya bekerjasama dengan parti yang disebut oleh Pengerusi Amanah Kelantan ini sebagai sebuah parti yang cukup rosak hingga sudah tidak boleh dibaiki lagi ( beyond repair).

Dan apa perlunya parti tuan yang mulus itu mahu berbincang dengan parti kami yang tuan tuduh sudah bekerjasama dengan Umno, menjadi penasihat kepada Umno dan parti yang tidak "mahu sumbat gol".

Kenyataan yang menyebut bahawa ahli ahli bawahan pening dengan setiap tindakan dan perkataan serta perbuatan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga amat tidak tepat.

Para ahli yang istiqamah dan jelas dengan hala tuju perjuangan sudah pasti akan memahami dengan setiap strategi yang dimainkan oleh kepimpinan tertinggi parti.

Hanya golongan yang sengaja tidak mahu faham dan bertindak mengikut emosi sahaja yang menimbulkan keraguan dan perasaan was was kepada pimpinan utama parti. Itupun mereka telah keluar dan menubuhkan parti baru yang diyakini mereka mampu membawa aspirasi kumpulan mereka.

Sekiranya benar tuan masih menghormati Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar, kami cadangkan agar tuan memperkuatkan kerajaan sedia ada ini dengan tidak meletakkan apa apa calon di mana mana kerusi pun di negeri Kelantan yang kita kasihi ini.

Namun jika apa yang berada di bibir tuan semata mata untuk memaniskan bicara sahaja, maka kami nasihatkan, berhentilah. Usah dikusutkan lagi fikiran rakyat negeri ini dengan perkara yang pelik dan ajaib.

Cukuplah hanya Umno untuk mengkritik dan menerjah setiap kerja buat kerajaan negeri. Biarlah tugas untuk semak dan seimbang dimainkan oleh mereka. Janganlah pula ada parti lain yang lebih Umno daripada Umno.

Budi dan jasa tuan tinggi melangit di mata rakyat Kelantan. Pernah dahulu tuan menjadi antara arkitek terkenal dalam membina negeri Serambi Mekah ini.
Jadi besarlah harapan kami agar parti tuan boleh menjadi penguat kepada penerusan kerajaan Islam ini. Elakkan daripada parti tuan dikenang sebagai peruntuh kepada sebuah legasi kecemerlangan yang dibina sejak sekian lama.

Namun jika parti tuan terus berkeras untuk bertanding di Kelantan dan mahu menamakan mana mana individu sebagai bakal calon Menteri Besar, maka kami cadangkan kerusi Salor untuk ditandingi oleh parti tuan, dengan calon yang dimahukan, dalam usaha berdepan dengan Pas. Insyaallah kami sedia pertahankan setiap inci tanah bertuah ini.

Namun jika menamakan Ustaz Nik Omar sebagai calon pilihan raya, maka eloklah tuan bertanya tuan empunya diri dahulu.

Air muka dan maruah mereka harus dijaga. Jangan terlalu cepat dan mudah mencadang seperti setiap orang akan mengikuti telahan dan kemahuan kita.
Cukup cukuplah menggunakan nama Ustaz Nik Omar. Dahulu tuan isytiharkan beliau menyertai Amanah, tetapi ia tidak benar pun. Hentikanlah.


* Penulis Nazman Che Iberahim adalah Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel