Pilihanraya Umum (PRU) Ke-14: SPR lebih utamakan persempadanan berbanding pendaftaran pengundi baru

Kempen daftar pengundi baru dilihat hambarKempen daftar pengundi baru dilihat hambarPeguam-peguam KANUN telah selesai mengadakan sesi taklimat dan perbincangan berkenaan isu ulangkajian persempadanan bahagian pilihanraya oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Proses tersebut dijalankan selaras dengan peruntukan Perkara 113, 116 dan 117 Perlembagaan Persekutuan.

Selain daripada meneliti aspek-aspek bantahan selaras dengan prinsip-prinsip yang telah digariskan oleh item 2 Bahagian 1 Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, saya secara peribadi turut melahirkan kebimbangan terhadap keutamaan yang diambil oleh SPR ketika ini menjelang Pilihanraya Umum yang Ke- 14.

Saya tidak melihat SPR meletakkan keutamaan dalam melipatgandakan usaha mendaftarkan pemilih-pemilih baru termasuk menyediakan fasiliti pendaftaran yang lebih berkesan dan mencukupi bagi tujuan tersebut.

Sebagai contoh di negeri Selangor sahaja, terdapat lebih kurang 400 ribu ke 700 ribu orang warganegara Malaysia yang telah pun layak didaftarkan sebagai pengundi baru tetapi hanya terdapat lebih kurang 100 ribu sahaja yang telah didaftarkan. Pendaftaran yang hanya di bawah paras 15 peratus ini sudah tentu satu angka yang agak merisaukan. Bagaimana pula dengan negeri-negeri lain di seluruh Malaysia? Adakah SPR peka dan sensitif terhadap gejala tidak sihat ini dan mengambil apa-apa tindakan yang wajar?

Jika kerajaan mampu untuk menggerakkan kempen secara agresif ketika memperkenalkan cukai perkhidmatan barangan (‘GST’) setahun yang lepas, saya tidak nampak perkara yang sama dilakukan oleh SPR bagi mempromosikan kempen daftar pemilih di kalangan pengundi baru. Risalah-risalah, iklan-iklan di radio dan televisyen serta billboard di jalanraya terus membisu tentang kepentingan mendaftarkan diri sebagai pengundi.

Saya ingin menegaskan bahawa selain daripada sibuk menumpukan perhatian kepada proses ulangkaji tersebut, saya turut menggesa SPR supaya lebih agresif dalam mendaftarkan pengundi-pengundi baru di Malaysia selaras dengan peruntukan seksyen 15 Akta Pilihanraya 1958 ('Akta 19') kerana ianya lebih mendesak dalam menghadapi PRU ke-14 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Di samping itu, saya menyeru kepada mereka yang telah mencapai umur 21 tahun untuk segera mendaftarkan diri sebagai pengundi selaras dengan hak yang diperuntukkan oleh Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan dan mengundi untuk memilih gabungan politik yang lebih baik dan bersih untuk mewakili kepentingan mereka dalam PRU akan datang. Ingat, hak anda untuk mengundi adalah hak yang tidak boleh di cabar oleh mana-mana mahkamah undang-undang!

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel