• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Perjuangan 'buta warna' DAP untuk politik masa hadapan

DAP perlu mewujudkan think tank bagi merangka strategi mendekati pengundi Melayu.DAP perlu mewujudkan think tank bagi merangka strategi mendekati pengundi Melayu.

Konvensyen DAP Johor 2016 telah selesai dijalankan pada 23 Oktober 2016 (semalam) dengan jayanya.

Dalam konvensyen tersebut, saya berpeluang memberi respon terhadap ucapan perbahasan delegasi konvensyen.

Antaranya, perbahasan mengenai keperluan mewujudkan think tank bagi merangka strategi mendekati pengundi Melayu.

Sebagai seorang AJK DAP negeri, respon saya seperti berikut:

Melihat DAP sebagai sebuah parti berteraskan kaum Cina adalah terkait dengan persoalan melihat DAP dari lensa UMNO Barisan Nasional.

Hujah saya berbalik kepada garis asas perjuangan DAP yang termaktub dalam perlembagaan parti.

Seawal penubuhan DAP 1966, perlembagaan parti telah meletakkan DAP sebagai sebuah parti yang sifatnya rentas kaum.

DAP bukan milik orang Melayu, China, India atau mana-mana bangsa sekalipun. Sejak awal penubuhan, perjuangan DAP adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai 'rumah' untuk seluruh rakyat Malaysia.

Bahkan atas landasan demokrasi sosial, DAP menjadikan rakyat sebagai pusat bagi setiap tindakan dan polisi yang dirangka oleh parti (people centric).

Ia berlandaskan nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia yang memberikan hak saksama kepada setiap warganya.

Namun, timbul persoalan. Dari mana datangnya 'wajah' DAP sebagai parti Cina?

Saya berpendapat, hal ini berlaku akibat reaksi kepada politik perkauman yang diterajui UMNO BN sejak pasca merdeka.

Dasar pecah perintah telah mengheret politik Malaysia menjurus kearah perkauman. UMNO untuk orang Melayu, MCA Cina dan MIC India.

Sebagai reaksi juga, DAP dalam konteks pilihan raya lazimnya berhadapan MCA; bertanding di kawasan majoriti Cina. Lalu jadilah seolah-olah DAP sebagai opsyen kepada orang-orang Cina yang tidak lagi memilih MCA.

Hal ini semakin subur apabila media arus perdana yang dikuasai UMNO BN memainkan peranan memomokkan DAP sebagai parti cina.

Atas alasan apa sekalipun, saya berpandangan politik atas 'jenama' perkauman ini adalah politik lapuk yang bakal ditelan zaman di mana-mana negara sekalipun pasca abad ke-21 kini.

Pada satu sisi lain, asas perjuangan politik DAP yang sifatnya colour blind ini pula; merupakan politik masa hadapan yang perlu digalas oleh para petugas parti.

Mari kita beralih kepada konteks Johor.

Mutakhir ini, Bangsa Johor merupakan jenama yang kian popular dalam ertikata membina rakyat Johor keseluruhannya tanpa ada sikap membeza-beza.

Bangsa Johor dilihat mampu menjadi penyatu rakyat di negeri ini tanpa mengira apa latar mereka sekalipun.

Rezeki melimpah ruah di negeri ini wajib dinikmati oleh sekalian rakyatnya tanpa sebarang prejudis atau diskriminasi.

Justeru, apa bezanya slogan Malaysia untuk rakyat Malaysia yang menjadi laungan DAP sejak awal penubuhannya dahulu?

Jawapannya ialah; tiada beza!

Oleh itu, saya melihat keperluan untuk menubuhkan think tank untuk menarik sokongan Melayu bagi saya amat relevan dibincangkan dalam wacana strategi parti. Saya ulangi, dalam wacana strategi parti.

Namun secara prinsipnya, latar utama persoalan ini adalah tentang mengukuhkan ruh perjuangan DAP sedia ada yang beriltizam untuk berjuang bagi pihak seluruh rakyat Malaysia.

Dalam hal ini, cabaran besar untuk DAP adalah bagaimana parti rentas kaum ini mampu menepis mentera-mentera jahat Umno- BN dan segala aparatnya yang telah mengheret rakyat sehingga lemas dalam agenda perkauman sempit?

Dengan segala skandal dan salahguna kuasa yang tidak dapat disembunyikan lagi kini, agenda perkauman sempit tajaan Umno- BN semakin jelas digunakan untuk survival mereka semata-mata.

Justeru, berkhidmat dan berjuang untuk rakyat dari segenap lapisan tanpa membeza-bezakan antara satu sama lain adalah tugas hakiki DAP sepertimana yang dituntut oleh perlembagaan parti sejak awal lagi.

Menyantuni setiap rakyat sebagai seorang warganegara Malaysia yang bermaruah dan berhak mengecapi nikmat kemewahan tanah air ini adalah perjuangan yang tidak pernah gugur bagi setiap pendokong DAP.

Akhir sekali, konvensyen DAP Johor semalam yang fokus kearah persiapan terhadap segala kemungkinan termasuklah pilihan raya berasingan antara negeri Johor dan persekutuan telah mengangkat nilai 'Adil, Bersih dan Solidariti' sebagai asas merealisasikan impian Johor.

Impian Johor yang kami maksudkan ialah, kearah menjadikan Johor sebagai sebuah negeri yang adil dengan kerajaannya yang bersih dan solidariti/persaudaraan yang erat sesama rakyat.

Penulis Sheikh Omar Ali adalah Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: