Bantu artis bukan bebankan cukai melampau

Kerajaan perlu bela artis bukan bebankan dengan cukai tinggi, kata Leman Raja Lawak.Setiap rakyat malaysia semuanya dikenakan cukai pendapatan, barangan, perkhidmatan dan sebagainya. Kerajaan boleh mengenakan cukai tetapi jangan sampai rakyat terbeban dengan pendapatan/ekonomi mereka. Apabila rakyat merasai bebanan cukai yg dikena terlalu banyak, mereka akan bersuara dan menunggu masa untuk menghukum kerajaan BN pada PRU14.

Pihak kerajaan sepatutnya menyelesaikan masalah pendapatan rakyat bukan sahaja kalangan rakyat miskin tetapi juga di kalangan anak seni (artis) dengan memberi peluang pendapatan dalam kerjaya mereka dalam pelbagai bidang, bukannya mengenakan cukai pendapatan yang tinggi sehinggakan menyekat sesetengah artis itu untuk berjaya dalam kehidupan mereka.

Artis malaysia bukan semuanya berpendapatan tinggi. Ada di kalangan mereka terpaksa mengikat perut apabila ketiadaan 'show' atau 'job'. Ada artis yang mengikat kontrak dipotong 30% dari pendapatan mereka. Pendapatan mereka bukanlah selalu dalam sebulan. Adakalanya berbulan-bulan baru dapat tawaran dari pelbagai pihak.

Kerajaan hanya melihat kemewahan artis yang bernama besar dalam kerjaya dan pendapatan mereka, bagaimana pula nasib pendapatan artis artis yang baru mencipta nama dan ingin mencari rezeki demi kehidupan mereka?

Seandainya cukai dipotong dan ditambah pula % yang dikenakan dari syarikat produksi yang ditandatangani, berapa baki yang tinggal untuk artis tempatan untuk berjaya dan membina 'personaliti' mereka?

Banyak kisah artis tempatan mencipta populariti tetapi di akhir hayat dan kehidupan mereka masih dalam keadaan yang sama. Mereka adalah insan seni yang menghidupkan budaya dan kesenian negara.

Sepatutnya kerajaan bertindak sebagai 'pro marketing' sehingga ke luar negara, bukannya hanya tahu mengenakan cukai tanpa memahami kehidupan mereka yang sebenar.

Sebagai contoh negara India yang bangsanya terdiri dari pelbagai bahasa seperti Hindi, Telegu, Punjab, Malayalam dan Tamil. Filem mereka berjaya menembusi pasaran luar negara sehinggakan setaraf filem Hollywood. Bagaimana filem di Malaysia?

Kerajaan harus membuka ruang dalam konsep kepelbagaian termasuk filem berkisarkan permasalahan politik yang berlaku di Malaysia dan mencontohi filem dari luar negara yang memberi impak lebih besar dimata dunia.

Ratusan artis tempatan ini ramai ynag berbakat besar dalam industri kesenian. Seharusnya membawa dan memberi peluang kepada mereka menembusi pasaran luar negara. Alasan yang kerajaan berikan ialah tiada peruntukan dan sebagainya.

Persatuan Seniman pula bukanlah satu badan yang memberikan kerjaya kepada semua golongan artis tetapi hanya bertindak sebagai pembawa suara artis jika ada sesuatu isu yang berlaku.

Artis yang ada di Malaysia kebanyakannya tidak berpolitik tetapi bukanlah bermakna mereka tidak mengetahui isu-isu semasa dengan apa yang berlaku dalam negara. Mereka mendiamkan diri kerana tidak mahu dikaitkan dengan pihak pembangkang atau kerajaan. Meraka hanya mahu mencari rezeki yang halal dan ingin memperbaiki kehidupan mereka.

Kebanyakan artis tempatan bukanlah dari kalangan keluarga yang kaya, rata-ratanya lahir dari industri media dan cuba mengeluarkan diri mereka dari masalah ekonomi dalam kehidupan seharian.

Isu ini akan dibangkitkan dari masa kesemasa supaya rezeki artis tempatan tidak dikenakan cukai sewenang-wenangnya tanpa memahami kehidupan dan perjalanan hidup mereka.

Kerajaan harus menilai dan mengkaji semula sehingga peringkat bawahan.

Beri peluang dan membantu kepada artis tempatan dan syarikat produksi industri perfileman, nyanyian dan sebagainya dalam mengembangkan filem Malaysia dengan cara terbuka tanpa sekatan politik melampau.

Kepada golongan artis tempatan, jangan sesekali takut untuk bersuara dalam mempertahankan hak anda sebagai rakyat, pengundi dan pembayar cukai yang sememangnya telah tersedia dikenakan ke atas kamu.

 

* Tulisan ini mewakili suara artis tempatan dari pihak pembangkang. Penulis juga adalah Ketua Parti Amanah Negara Kawasan Sik.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: