Konvensyen pertegas landasan Amanah, Islam serasi dalam kepelbagaian

Konvensyen Amanah Nasional kali pertama Konvensyen Amanah Nasional kali pertama

Konvensyen bersejarah Parti Amanah Negara (Amanah) kali pertama di Pusat Kovensyen Shah Alam melabuhkan tirainya jam 6.15 petang Ahad, 11 Disember.

Sebaik doa penutup oleh Timbalan Penasihat Umum Amanah, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin selesai, Speaker, Onn Ismail mengumumkan konvensyen berakhir dan lagu rasmi Amanah dimainkan.

Semua yang memenuhi dewan bangun.

Bersalaman, berpelukan dan ada yang kelihatan menitiskan air mata.

Konvensyen yang bermula dengan pidato presiden yang disampaikan oleh Mohamad Sabu, ternyata menarik minat bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Ucapan yang berani," komen Tun Mahathir sebaik ucapan selesai.

Beliau merujuk ulasan Mohamad terhadap amalan-amalan buruk yang wujud dalam masyarakat Islam.

Islam sebuah agama yang cukup garang terhadap rasuah, malangnya dalam negara yang ditadbir orang Islam rasuah berlaku hampir segenap peringkat.

Lebih memalukan diperlihatakan secara terbuka, malah ada yang dikatakan rasmi.

Lebih dahsyat golongan yang bergelar agamawan dan ulama hanya berdiam diri seperti redha gelaja ini berleluasa.

Bertolak dari situasi seperti inilah Amanah, kata Mohamad muncul di persada politik negara menyahut seruan "fastabiqul khairat" (berlumba-lumba membuat kebaikan) dengan mengurus kemajmukan rakyat negara ini.

Islam yang dibawa Amanah akan mencapai hasrat sebagai rahmat untuk semua.

Islam yang mengiktiraf kejadian manusia dijadikan dengan sifat kepelbagaian kaum, bangsa, budaya dan anutan agama.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang turut mengulas pidato presiden memberi keyakinan penuh bahawa parti Islam baru ini mampu bergerak jauh dengan landasan yang dipakainya.

"Ketika Umno dan sekutunya menggunakan taktik kebencian berasaskan perkauman dan menggunakan proganda fitnah ala Nazi, Amanah dengan berani menunjukkan sikap toleran dan matang dalam berpolitik," kata Lim sambil menunjukkan lukisan kartun yang menggambarkan beliau begitu berkuasa dalam kalangan parti-parti pembangkang.

Pada sesi perbahasan pidato presiden, ucapan yang disampaikan para perwakilan dari negeri-negeri dan sayap-sayap parti begitu memukau khalayak.

Wakil dari Kedah, Aris Awang memberi amaran keras kepada pemimpin-pemimpin Amanah supaya tidak mengulangi apa yang telah terjadi semasa parti lama dulu diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah.

"Amanah mesti ada mekanisma yang jelas supaya para pemimpin tidak bertukar menjadi diktator, menjadi musuh rakyat dan gilakan harta benda apabila berada di puncak kuasa," katanya.

Perwakilan Selangor, Jamzuri Ardani pula memuji langkah pimpinan menjadikan Amanah parti yang serasi untuk didekati pelbagai pihak.

"Kita bersyukur, walaupun baru di persada politik, semua parti-parti pembangkang yang mewakili pelbagai latar belakang menerima Amanah sebagai sekutu dalam Pakatan Harapan (PH).

"Bagaimanapun, kita mahu rakan-rakan politik kita ikhlas dalam bekerjasama," katanya.

Beliau menegur beberapa situasi di Selangor yang menjadikan Amanah seperti dianaktirikan.

Beliau mengharapkan keadaan ini diperbetulkan melalui perundingan berterusan.

Wakil-wakil sayap wanita, pemuda dan wanita muda turut memberikan hujah bernas mereka untuk dihayati oleh para perwakilan.

Masing-masing bersemangat mencadangkan aktiviti-aktiviti dalaman parti tanpa lupa menyentuh hal ehwal politik nasional.

Perwakilan pemuda Sani Hamzan mahu Amanah segera menetapkan gabungan pakatan pembangkang dan melupakan parti yang was-was untuk menyatakan pendirian.

"Pembangkan perlu segera bersatu untuk menjadi gabungan kuat dalam menghadapi Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum akan
datang," katanya.

Hari kedua konvensyen menyaksikan agenda khas pindaan perlembagaan yang melibatkan pindaan-pindaan yang disesuaikan dari parti asal iaitu Parti Pekerja Malaysia.

Setiausaha Agong Amanah Anuar Tahir berkata usaha membuat pindaan-pindaan supaya parti Amanah benar-benar bergerak menurut landasan Islam dan serasi dengan perlembagaan negara melalui satu perbincangan yang panjang dengan merujuk kepada beberapa tokoh undang-undang ternama.

"Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat kerana begitu ramai yang ternanti-nanti untuk

melihat sebuah parti Islam yang benar-benar membawa aspirasi baru rakyat Malaysia masa depan," katanya.

Menurutnya ciri terpenting perlembagaan Amanah ialah ia bersesuaian untuk beroperasi dalam kerangka perlembagaan Malaysia.

"Setiap negara mempunyai perlembagaan yang mesti menjadi panduan kepada semua pergerakan rakyat, jadi mengapa kita harus mengambil

jalan lain?" katanya.

Walaupun pindaan-pindaan itu diterima oleh para perwakilan, beberapa teguran dibuat terutama berkaitan perlantikan anggota ke majlis penasihat pakar.

Beberapa perwakilan mahu majlis itu dianggotai oleh ahli-ahli yang mewakili bukan sahaja bidang-bidang kepakaran tetapi juga dari latar belakang institusi dan negeri yang pelbagai.

Keseluruhannya semua pihak dari kalangan pimpinan, perwakilan dan pemerhati kelihatan begitu berpuas hati dengan perjalanan konvensyen selama dua hari itu.

Suasana dewan yang sentiasa kelihatan penuh (full house) menunjukkan peserta konvensyen amat serius terhadap segala perbincangan dan keputusan-keputusan yang diambil.

Kepuasan inilah yang digambarkan oleh ucapan terakhir presiden yang begitu yakin Amanah mampu bergerak dengan lebih teguh khususnya dalam menghadapi pilihanraya ke 14.

"Kita yakin akan mengatasi parti lama dalam menghadapi BN di Kelantan dan Kedah, akan semakin diterima di Terengganu dan akan memberi saingan sengit kepada Barisan Nasional di seluruh negara, " katanya disambut tepukan gemuruh dan laungan takbir yang menggamatkan dewan konvensyen.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel