Pengorbanan besar Pas-Umno demi presiden parti

Pilihan raya umum ke-14 bakal berlangsung selewatnya pada tahun 2018.

Namun ramai meramalkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak akan percepatkan tarikh pilihan raya sebagai jalan untuk mengelakkan Barisan Nasional (BN) tewas pada pilihan raya kali ini.

Sepanjang tempoh 3 tahun setelah BN berjaya mengekalkan kuasa pemerintahannya pada PRU13 yang lalu, tidak sedikit peristiwa besar yang berlaku, menimpa setiap parti dalam negara.

Daripada kematian tokoh tokoh utama parti seperti Karpal Singh, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim , serta perpecahan dalaman parti, tentunya sedikit sebanyak memberi impak kepada perjalanan parti bagi menempuh pilihan raya yang akan datang.

Mengulas soal perpecahan dalaman parti, perkara seumpama ini tidaklah hanya menimpa parti Pas, sebaliknya turut berlaku dalam parti parti besar yang lain, DAP umpamanya berlaku sedikit perselisihan apabila ada pimpinan yang tidak bersetuju Tun Mahathir dijulang oleh partinya, begitu juga PKR turut mengalami sedikit krisis dalaman pra Langkah Kajang.

Namun yang cukup besar perselisihannya sehingga kesannya mampu dilihat dengan jelas adalah perpecahan dalaman parti Pas dan Umno yang keduanya melahirkan dua parti baru dalam arena politik negara iaitu perpecahan dalaman Pas yang melahirkan Parti Amanah Negara (Amanah) dan Umno yang melahirnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Pas,Umno berpecah kerana presiden masing masing?

Apa yang menarik tentang kedua perpecahan dalaman dan penubuhan parti baharu ini adalah dilihat pada punca umum keduanya, iaitu keduanya berpunca dari presiden parti masing masing.

Umno berpecah kerana mahu menyelamatkan Najib manakala Pas berpecah kerana hendak menyelamatkan Hadi Awang.

Kelompok kelompok dalam Umno enggan menurunkan Najib walaupun beliau sendiri merupakan liabiliti besar kepada Umno bermula dari dalam rumahnya,sehinggalah skandal skandal besar yang melibatkan Najib, 1MDB misalnya, isu ini mendorong tokoh-tokoh yang merasakan ia adalah perkara yang salah, bahkan berbahaya kepada kestabilan negara, lalu bertindak mengkritik dan mengesa Najib untuk berundur maka wujudlah dua kumpulan di dalam Umno, iaitu satu kumpulan diketuai oleh Najib selaku presiden Umno, dan satu kumpulan lagi diketuai oleh Muhyidin Yasin namun didorong dan disokong kuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad , Tan Sri Muhyidin kemudiannya dipecat dari parti, dan beliau kemudiannya menubuhkan PPBM dan melalui pengaruh besar Tun Mahathir, ramai ahli ahli UmnO menyeberang dari parti lama mereka kepada serpihan baru Umno, PPBM.

Manakala di dalam Pas, demi mengekalkan kepimpinan dan kekuasaan Datuk Seri Abdul Hadi, perbagai kaedah dan cara jahat digunakan kelompok penyokong presiden dan seolah direstui tindakannya oleh pimpinan apabila tidak ada teguran keras terhadap usaha usaha tersebut demi menyingkirkan setiap yang tidak sealiran dengan pemikiran presiden, pimpinan pimpinan profesional difitnah dan dihina dengan segala macam penghinaan sehinggalah menyebabkan mereka tersingkir secara total dalam pemilihan parti tahun 2015 dan akhirnya mendorong mereka untuk menubuhkan sebuah parti baru yang membawa aspirasi dan cita cita rakyat, Amanah.

Kelahiran Amanah sekaligus bermakna Pas sekali lagi berpecah dengan sebahagian ahlinya keluar parti dan menyertai Amanah yang dilihat mempunyai wawasan dan visi yang lebih jelas untuk kembali menyelamatkan negara dari pemimpin dan pentadbiran yang korup dan bermasalah.

Kerjasama Pas-Umno demi kelangsungan politik Hadi dan Najib?

Perubahan besar politik Malaysia pasca PRU13 adalah kerana dua sosok ini, Umno pecah kerana Najib dan Pas pecah kerana Abdul Hadi. Apa yang terang, tiada perpecahan akan menguatkan parti, kewujudan dua serpihan baru sememangnya telah melemahkan kedua Pas dan Umno .

Dari sinilah timbul hubungan "samar samar" Pas dan Umno yang dakwa mereka demi Melayu dan Islam.

Namun kenyataannya, kebersamaan kedua pemimpin besar kedua pemimpin besar Pas dan Umno itu bukanlah demi Melayu dan Islam, kerana jika benar itu sebabnya, sejak PRU tahun 2004 lagi mereka bersama, hakikatnya kebersamaan mereka adalah demi menyelamatkan kedudukan masing masing dalam arena politik negara, mereka mungkin terselamat dan masih dilihat gah di takhta parti masing masing namun perpecahan yang berlaku telah menyebabkan kuasa bersaing mereka dengan parti parti besar lain telah menjunam jatuh.

Satu satunya kaedah untuk kembali menguatkan kedudukan parti masing masing adalah dengan kerjasama politik Pas dan Umno ataupun sekurangnya mereka dilihat bersatu dalam menentang musuh yang sama agar mereka mampu melemahkan musuh sebelum berdepan pilihan raya yang seterusnya, dan itulah yang mereka lakukan.

Dipihak Umno, tidaklah wujud kehairanan apabila mereka sudi bekerjasama kembali dengan parti yang mereka musuhi sejak awal tertubuhnya Pas lagi, kerana ia melibatkan nyawa dan survival parti mereka tanpa perlu memikirkan kesejahteraan rakyat mahupun negara, dengan Pas bersama mereka menentang Pakatan Harapan, sekurangnya ada sedikit kelebihan untuk Umno mengurangkan undi kepada Pakatan Harapan terutamanya undi melayu di kampung kampung dan pekan kecil.

Namun di pihak Pas, kita dukacita kerana demi kelangsungan parti Pas, mereka tergamak menjadi sekutu Umno-BN dalam menentang Pakatan Harapan walaupun mereka tahu, kekalahan Pakatan Harapan bermakna Umno-BN akan berterusan mentadbir negara dan terus menerus menyeleweng dan merompak harta kekayaan negara demi kepentingan individu dan kroni.

 

* Rencana ini  oleh penulis Muamar Qaddafi tidak mewakili pendirian Malaysia Dateline.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel