Cerita anak muda

Suatu ketika dulu pada tahun-tahun 60-an dan 70-an, negara kita ini dipimpin oleh golongan muda, sama ada dari segi politik, ekonomi, sosial atau pendidikan.

Tun Razak misalnya jadi Timbalan Perdana Menteri sewaktu berumur 35 tahun (1957), Tun Hanif jadi Ketua Polis Negara ketika usianya 35 tahun (1974), Tan Sri Rashdan Baba pula jadi Naib Canselor UKM pertama (1969) ketika berumur 33 tahun.

Datuk Aminuddin Baki menjadi Ketua Pengarah Pendidikan sewaktu umurnya 36 (1962). Tan Sri Rafidah Aziz sewaktu menjadi pensyarah ekonomi di Universiti Malaya, dilantik menjadi Senator Dewan Negara ketika berusia 29 tahun! (1974). Ya,kalau nak sebut juga Najib Razak menjadi Menteri Besar Pahang ketika berusia 28 tahun, walau dengan syafaat nostalgia ayahnya aku kira.

Negara kita berjaya membangun dengan pesat, antaranya kerana eupheria orang muda.

Tapi masa berlalu menyaksikan orang-orang muda tadi menerajui satu-satu posisi dalam tempoh yang lama dan 'junior-junior' terpaksa menunggu lama di bawah. Pada masa tu pencen wajib kerajaan ialah umur 55, maka peneraju yang pencen ini boleh menyumbang ke institusi lain juga untuk tempoh masa yang agak lama selepas pencen.

Misalnya ramai yang pencen umur 55 waktu tu dapat ghanimah sebagai duta, ahli lembaga pengarah GLC dan sebagainya. Tun Ahmad Sarji 20 tahun jadi Pengerusi PNB selepas pencen Ketua Setiausaha Negara (KSN). Tun Hanif Omar contohnya, banyak tahun menghabiskan masa sebagai Timbalan Pengerusi Genting sesudah pencen.

Malangnya apabila umur pencen dilanjutkan ke 56 kemudian 58 dan seterusnya 60, lagi ramai orang berlonggok di bawah sebab yang atas tak pencen-pencen lagi.

Kalau dulu orang boleh jadi IGP umur 35, tapi Tan Sri Ismail Omar hanya jadi IGP di usia 56 dan Khalid Abu Bakar Ketua Polis Negara sekarang naik ketika usia 57.

Ini bermakna kalau Ismail atau Khalid berada di tahun 90-an, mereka sudah pencen dulu sebelum merasa dapat jadi IGP.

Sama juga seperti Naib Canselor kalau dulu Tan Sri Hamzah Sendut jadi Naib Canselor pertama USM ketika usianya 42 dan Tan Sri Musa Mohamad naik sebagai Naib Canselor ketiga USM ketika berusia 36 tahun, tapi sekarang ada ahli akademik yang umur 55 (dan lebih) baru naik jadi Timbalan NC. Rata-rata NC universiti awam sekarang jadi NC setelah usia mencecah usia 50-an.

Jawatan Ketua Setiausaha Negara pun sama juga. Tan Sri Sidek Hassan jadi KSN di usia 55, sepatutnya pencen umur 58 kemudian kontrak dilanjutkan sehingga pencen di usia 61 manakala Tan Sri Dr Ali Hamsa hanya dilantik sebagai KSN setelah berusia 57 tahun.

Dalam politik kepartian juga kita mempunyai ramai dinosaur. Tapi untuk beberapa tahun kebelakangan ini kita melihat orang-orang muda diberi peranan, misalnya Exco negeri Selangor hampir separuh ahlinya berumur 30-an.

Jawatan-jawatan politik juga begitu, ada sejumlah orang-orang muda bawah 40-an pegang jawatan, tapi secara umumnya majoriti masih lagi dinosaur pegang, parti mana-mana pun lebih kurang saja.

Sektor swasta tidaklah seteruk itu. Bakat dankebolehan masih boleh mengatasi senioriti, kalau bernasib baiklah. Dulu lagi Tan Sri Azman Hashim sudah jadi ahli lembaga pengarah Maybank di usia 32 tahun.

Terkemudian Tan Sri Khalid Ibrahim juga jadi CEO PNB di usia 33 tahun. Di era milenium, anak-anak didik Tan Sri Nor Mohamed Yakcop misalnya, adalah antara yang mendaki tangga korporat dengan laju.

Tan Sri Wahid Omar misalnya jadi CEO UEM ketika usia 37, Shahril Ridza Ridzuan jadi Pengarah Urusan MRCB ketika usia 31, Abdul Rahman Ahmad jadi CEO Media Prima Berhad ketika usia 33.

Kalau yang bukan kroni Tan Sri Nor pun, kita ada Dato' Badlisyah Abdul Ghani yang jadi CEO CIMB Islamic ketika berusia 32 tahun. Dan mereka 'berpindah-randah' sektor, bukanlah sampai berbelas atau berpuluh tahun masih pegang jawatan yang sama.

Bagaimana mereka boleh naik di usia muda kalau tidak kerana kepercayaan yang diberikan oleh orang tua?

Kenapa aku melabun sepanjang ini?

Kerana aku yakin anak muda sebenarnya sangat banyak potensi, idea & tenaga tetapi kerana aturan senioriti dalam masyarakat kita, akhirnya senioriti tetap menjadi perkiraan dalam banyak situasi. Disebabkan kekangan ini juga, anak muda rasa inferior bila saja orang tua menukas "Kau umur pun belum 30 lagi"dan lain-lain ungkapan memperlekeh. Masa aku dalam kerajaan dulu, acap kali dialognya "Kau baru (gred) 41, ikut je tak payah cakap banyak".

Akhirnya potensi anak muda mati begitu saja dan by the time dia memegang tampuk kekuasaan (mungkin jadi Jusa masa umur 40 lebih nant), agaknya dia pun dah jadi kangkung.

Kemudian berulang semulalah dialog yang memboringkan ala-ala berleter (anda mesti biasa dengar kan), "Kamu ni muda-muda semangat nak ubah dunia konon, I've been there, tak payahlah nak lebih-lebih". Hanya kerana dia dah jadi kangkung maka dia expect yang muda-muda ni pun akan jadi kangkung macam dia.

Aku petik kenangan Tun Musa Hitam dalam buku memoir beliau mengenai perihal Tun Razak memilih pemimpin pelapis. Kalau perasan, semua tokoh-tokoh muda yang naik pada tahun 60-an dan 70-an yang aku sebut kat atas tu, semua ada kaitan dengan Tun Razak. Tun Razak percaya akan kuasa orang muda. Apabila ada sesiapa rekomen Tun Razak akan si polan si polan yang berkebolehan, soalan pertama Tun Razak tanya ialah "Dia BOLEH buat kerja tak?"

Walaupun Tun Razak bukan ulama tapi dia teramat tahu akan nilai "Al-Qawiy al-Amin". Tun Razak takde nak rasa tergugat (mungkin sebab dia pun tau hidup dia tak lama), berbeza dengan pemimpin sekarang yang "Kalau budak cerdik ni naik esok lusa dia lawan aku".

Anak muda, percayalah dengan kebolehan anda.
Orang tua, bukalah jalan kepada anak-anak muda.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel