• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Aziz Kaprawi usah jadi batu api

Datuk Abdul Aziz Kaprawi Datuk Abdul Aziz Kaprawi

Pemuda Amanah Johor melihat Ketua Umno Bahagian Seri Gading, Datuk Ab Aziz Kaprawi cuba bermain dengan politik batu api dan membina tembok halangan untuk menyelesaikan pertembungan antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Tuanku Sultan Ibrahim dan Tun Mahathir.

Tidak ada sebab untuk beliau mengeluarkan cabaran kepada Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menyatakan kesetiaan antara salah seorang daripada tokoh negarawan berkenaan.

Oleh sebab masalah ini ada kaitan dengan rakyat Johor, seharusnya beliau membawa budaya politik idea dan fokus untuk meredakan masalah rakyat yang kian meruncing. Bukannya mengambil kesempatan untuk “memerah limau pada luka yang sedia ada”.

Persoalannya adakah budaya dan tindakan yang dibawa oleh beliau membantu untuk menyelesaikan masalah rakyat?

Saya juga memohon kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak perlu melayan politik sampah yang dibawa oleh Datuk Ab Aziz.

Rakyat dahagakan budaya politik yang sentiasa memberi keuntungan kepada mereka. Rakyat cukup menyampah dan meluat  budaya politik batu api, adu domba, perkauman, fitnah memfitnah ini sehinggakan mereka beranggapan semua ahli politik adalah sama yang mana kehadirannya tidak banyak membantu menyelesaikan masalah rakyat malah makin menyusahkan.

Jika dilihat isu, masalah yang diajukan oleh Tun Mahathir berkaitan hak rakyat dan kami juga yakin pada DYMM Tuanku Sultan Ibrahim selaku Sultan Johor atas banyak usaha-usaha murni membela nasib rakyat di Johor khususnya dan sentiasa berjiwa besar menerima pandangan daripada rakyat jelata.

Dakwaan yang dibuat oleh Tun Mahathir dipetik dari laporan Bloomberg yang harus dijawab semula oleh Menteri Besar atau exco berkenaan sekiranya fakta itu salah bukannya bersikap seperti beliau yang mengambil kesempatan untuk menyimbah ‘minyak’.

Saranan Pemuda Amanah Johor kepada Datuk Ab Aziz yang merupakan Ahli Parlimen dan juga ‘orang lama’ dalam politik agar menunjukkan contoh yang baik kepada kami selaku anak muda dan rakyat Johor dan sentiasa berusaha menjadi wakil dan suara rakyat, membawa agenda politik begini tiada nilai di sisi rakyat.

Sebagai anak muda di Johor, kami terlalu bimbang tentang masalah kos sara hidup, pengangguran dan ketidakmampuan anak muda memiliki rumah sendiri. Lihat saja terlalu ramai anak muda yang mencari kerja di Singapura dan isu kos peningkatan harga rumah khususnya di kawasan selatan Johor.

Masalah ini cukup memeritkan kehidupan kami. Siapa lagi yang perlu kami harapkan untuk memperjuangkan isu ini kalau bukan dari kalian selaku pimpinan kerajaan? Kalau tidak mampu dan terus bersikap hanya pentingkan kelangsungan politik sendiri dan parti kamu, maka letak jawatan adalah jalan paling terbaik.

* Penulis merupakan Timbalan Ketua Pemuda Amanah Negeri Johor

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: