Henti ambil tanah kami dan beri kepada Pemaju

 Pihak pemerintah perlu memberi keutamaan kepada rakyat dulu sebelum memberi kemudahan kepada pihak pemaju yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Semenjak pemerintahan Rajah pada 1841, Rajah telah menyedari tentang sensitifnya undang-undang adat berhubung dengan hak adat Bumiputera. Maka, tanah hak adat Bumiputera menurut adat resam sesuatu kaum telah mula diiktiraf oleh pemerintahan Rajah Brooke sejak tahun 1841 lagi. Ini terbukti apabila Rajah James Brooke menulis dalam Jurnal Bil. Salah satunya yang menyatakan: Pokok-pokok buah-buahan mengenai kampung, dan sejauh mana hutan diterokai, adalah harta persendirian. "

Masalah tanah masih lagi menjadi isu utama rakyat Sarawak dan perlu diberi perhatian oleh kerajaan Sarawak dibawah pimpinan Ketua Menteri Baru Datuk Amar Datuk Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg. Banyak masalah tanah adat dan tanah Temuda penduduk asal Sarawak masih lagi belum diberi hak milik oleh kerajaan dan akhirnya jadi milik pihak swasta dan pemaju.

Persoalannya mengapa perkara ini boleh terjadi sedangkan mereka sudah banyak kali memohon untuk mendapat hak milik dari pihak kerajaan dan menunggu terlalu lama pemohonan mereka untuk diproseskan tiba-tiba mendapat tahu tanah mereka sudah dimiliki oleh pihak pemaju dan pihak swasta.

Sudah tentu mereka kecewa dan marah dan cuba menghalang pemaju dari memasuki dan menceroboh tanah warisan datuk nenek moyang mereka. Jabatan Tanah dan Survei Sarawak perlu memberi alasan kukuh mengapa mereka dengan mudah melepaskan tanah milik orang tempatan kepada pemaju dengan alasan untuk pembangunan. Rata-rata harga rumah yang dibangunkan oleh pemaju hanya mampu dimiliki oleh mereka yang berpendapatan tinggi bukan golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah. Orang kampung hanya mampu lihat saja kerana tidak mampu untuk memiliki rumah yang mewah.

Kebanyakan penduduk asal yang memiliki tanah tersebut tidak memiliki tempat lain untuk menyara kehidupan harian mereka selain menjadi petani dan juga tempat mereka mendirikan rumah. Mengapa susah sangat pihak berkenaan memberi hak milik kepada mereka seolah-olah mereka dianaktirikan dan masalah mereka langsung tidak diberi perhatian oleh pihak pemerintah dengan alasan tanah yang mereka duduki itu tanah kerajaan untuk dimajukan.

Ada penduduk kampung mengadu rumah mereka yang didirikan dalam tanah yang diiktiraf sebagai zon kampung dirobohkan oleh pihak penguatkuasa Jabatan Tanah dan Survei. Ada pegawai penguatkuasa Jabatan Tanah dan Survei yang bertindak merobohkan dan melarang penduduk tempatan yang mendiri pondok di tanah kebun mereka dan mereka juga dilarang untuk bercucuk tanam dengan alasan tanah itu tanah kerajaan.

Penduduk yang kebanyakan tinggal di luar bandar dan pinggir bandar menjadi mangsa arus pembangunan disebabkan banyak tanah mereka yang diwarisi turun-temurun telah diberi kepada pemaju untuk dibangunkan disebabkan mereka tidak memiliki hak milik tanah. Akhirnya mereka menjadi setinggan di negara sendiri setelah tanah warisan mereka diberi kepada pemaju sedangkan pemaju dari luar diberi keistimewaan untuk menguasai dan mengambil keuntungan dari tanah mereka.

Ketua Menteri baru Sarawak perlu mendengar rintihan serta mengambil tindakan sewajarnya kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat terutama peribumi dan juga masalah pengambilan tanah adat orang Melayu Bumiputera di pinggir bandar untuk tujuan pembangunan. Mereka ini bergantung hidup dengan sumber pendapatan dari hasil pertanian sekiranya tanah mereka diambil oleh pemaju bagaimana mereka hendak bercucuk tanam dan menyara kehidupan harian mereka. Banyak kes ini berlaku di kawasan Lusut, Tukau Jaya, Pujut Padang Kerbau dan kawasan Kuala Baram Land District. Kawasan ini adalah kawasan yang pernah diduduki dan diterokai oleh peribumi Sarawak semasa pemerintahan Rajah Brooke dulu lagi.

Mereka merayu kepada pihak kerajaan agar jangan ambil tanah mereka dan beri kepada pemaju untuk tujuan pembangunan sebab mereka juga memerlukan tanah untuk tempat tinggal dan tempat menyara kehidupan harian dengan cara pertanian. Dalam keadaan ekonomi yang semakin gawat mereka perlu menyara kehidupan harian dengan menjual hasil tani. Kalau punca pendapatan mereka disekat apa yang dapat mereka lakukan untuk menyara kehidupan harian? Adakah kerajaan suka melihat mereka ini hidup merempat dan meminta sedekah kerana punca pendapatan mereka sudah hilang?

Kami mengesa pihak berkuasa yang berkaitan menyiasat apakah punca sebenar yang menyebabkan tanah pribumi (Tanah NCR dan Tanah Temuda) banyak jatuh ke tangan pihak pemaju dan pihak swasta.
Bagaimana pula dengan proses pemohonan mereka yang sudah lama memohon sehingga kini masih belum ada jawaban. Ada pemohon yang sudah meninggal dunia dan diwarisi oleh anak-anak mereka pun masih belum diberi hak milik. Mengapa hak mereka disekat oleh pihak pemerintah semata-mata hanya melayan kehendak pemaju?

Pihak kerajaan sepatutnya menggalakkan pemilik tanah ini menjalankan kegiatan-kegiatan menambah pendapatan dengan melaksanakan kegiatan-kegiatan pengeluaran bahan makanan seperti penanaman sayur-sayuran, buah-buahan, tanaman kontan, ternakan dan akuakultur. Sekurang-kurangnya mereka dapat berdikari dan meringankan bebanan mereka dari terus mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata.

Pihak berwajib perlu memikir akan nasib rakyat yang kehilangan tempat tinggal dan tempat mereka menyara kehidupan. Pihak pemerintah perlu memberi keutamaan kepada rakyat dulu sebelum memberi kemudahan kepada pihak pemaju yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikir akan nasib yang menimpa rakyat yang memerlukan keperluan asas.

Jangan hanya memberi hakmilik tanah kepada pemaju semata-mata untuk mendapat keuntungan sedangkan nasib penduduk tempatan terus terpinggir dari arus pembangunan yang tidak seimbang. Kerjasama dengan pihak yang berwajib untuk menyelesaikan masalah tanah ini dengan telus dan adil sangat dihargai.

“Sesiapa yang memakmurkan (mengusahakan) tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa maka dia lebih berhak terhadapnya”. (Hadis riwayat Al-Bukhari).

*Penulis  Jofri Jaraiee adalah Pesuruhjaya Pas Sarawak

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel

Artikel berkaitan: