Lutfi yang saya kenal

Dr Janet mengagumi Lutfi sebagai seorang penulis yang banyak membuat kejutan.

Ahmad Lutfi Othman tidak pernah berhenti membuatkan saya terkejut.

Sewaktu saya menemui bual beliau buat pertama kali dalam 2013, saya begitu terkejut dengan apa yang dikatakannya apabila saya bertanya bolehkah saya menemu bual beliau lagi untuk mendapatkan kefahaman yang lebih sempurna.

Kerja saya ialah membuat kajian mengenai kewartawanan dan Islam di Indonesia dan Malaysia. Saya tertarik kepada Harakah kerana ia adalah akhbar milik PAS, sebuah parti Islam di Malaysia.

Pertama kali saya bertemu Ahmad Lutfi Othman ialah sewaktu bengkel latihan yang saya kendalikan di Harakah Daily, iaitu media atas talian PAS. Sebelum itu saya pernah bertemu rakan sekerjanya, Zulkifli Sulong dalam satu satu persidangan di Universiti Malaya. Saya mengajar penulisan naratif dalam bengkel berkenaan di portal akhbar itu. Selepas hari pertama latihan, beberapa orang wartawan yang berada di situ berkata bahawa saya perlu berjumpa "Cik Lutfi".

Sebelum saya bertemu Lutfi, saya bertanyakan perihal diri beliau di Malaysiakini, sewaktu saya membuat penyelidikan di sana. Walaupun saya tidak ingat dengan tepat kata-katanya, ketua pengarang Malaysiakini, Steven Gan sehingga pada satu tahap berkata, Lutfi ini cukup hebat orangnya dan awak perlu bertemu beliau.

"Dia seorang pejuang kebebasan akhbar yang sangat berani," kata Steven. "Tanya dia mengenai akhbar yang dia terbitkan setiap bulan dengan nama yang berlainan, untuk berada selangkah lebih hadapan daripada Kementerian Dalam Negeri."

Saya benar-benar tertarik. Tiada orang terfikir bahawa pengarang akhbar milik PAS itu seorang pejuang kebebasan akhbar yang cukup berani.

Kawan-kawan saya kemudian mengatur pertemuan.

Saya masih ingat bahawa saya agak gementar sebelum bertemunya. Saya sudah kenal Zul, pengarang berkaca mata akhbar atas talian itu adalah kawan saya. Kami pernah bertemu dan bercakap tentang pandangannya mengenai kewartawanan dan Islam, dan apa yang beliau ingin lakukan dengan edisi atas taliannya itu.

Saya sampai di pejabat agak awal, dan bertemu sahabat saya Arif Atan yang kemudiannya membawa saya ke tingkat tiga. Sebagaimana di pejabat Harakah Daily, kami meninggalkan kasut di luar. Arif Atan memasang alat pendingin udara di dalam bilik mesyuarat dan kami menunggu Lutfi tiba. Beberapa orang wartawan lain kemudian masuk ke bilik yang sama.

Bilik mesyuarat editorial Harakah.Bangunan Harakah ini merupakan bangunan agak lama di Pusat Perniagaan Jalan Pahang Barat, tidak jauh dari hentian LRT Titiwangsa. Bilik mesyuarat berkenaan berdinding kaca, mempunyai sebuah meja besar dan kira-kira 10 buah kerusi berwarna merah. Persekitarannya berbau lembut datang daripada penyegar udara. Pada satu dinding tergantung isu sisipan terbitan Harakah - Fikrah - yang dibingkaikan, dengan gambar Nik Aziz Nik Mat dan Hadi Awang serta tajuk bertulis "Islam Asas Kekuatan PAS" dan "Kezaliman Belum Berakhir". Keadaan bilik mesyuarat ini agak berserabut dengan permaidaninya yang telah lusuh dan surat khabar berlonggok di tengah-tengah meja. Di bahagian hadapan bilik terdapat papan putih yang tertulis Harakah berwarna merah di atasnya. Pada hari Selasa, pada sebelah paginya selepas malam deadline, keadaan pejabat sunyi.

Lutifi tiba pada pukul 11.00 pagi. Beliau memakai baju warna ungu dan cermin matanya berbingkai warna perak, berjalan menggunakan tongkat. Rambutnya beruban dan berjanggut pendek. Wartawan yang ada kelihatan risau melihat keadaannya. Salah seorang memberitahu bahawa beliau bekerja lewat malam pada hari sebelumnya, dan beliau tidak beberapa sihat. Masalah jantung, kencing manis, masalah buah pinggang - kata mereka, beliau baru-baru ini duduk lama di hospital. Mengetahui keadaanya yang begitu, saya terkejut dengan tenaga yang masih dimilikinya. Dalam usia lebih kurang 50 tahun, beliau mudah ketawa, dan matanya masih bercahaya di sebalik cermin yang dipakainya.

Dalam perbualan pertama yang berlangsung beberapa jam itu, beliau memberitahu saya mengenai sejarah dirinya di Harakah, impiannya terhadap kebebasan media di Malaysia dan pandangannya mengenai hubungan kewartawanan dan Islam. Saya kagum dengan buah fikiran, kepintaran dan kebaikannya. Penguasaan bahasa Malaysia saya tidak sebaik bahasa Indonesia, dan selepas beberapa ayat, saya perasan bahawa beliau mula menggunakan bahasa Indonesia, menggunakan perkataan-perkataan yang boleh saya fahami.

Lutfi memberitahu saya bahawa beliau dilahirkan dalam keluarga yang "semua PAS", dan semua orang di kampungnya adalah penyokong parti Islam itu. "Jika ada yang menjadi ahli Umno, mereka tidak akan mengaku," katanya sambil ketawa.

"Sejak kecil, keluarga saya, bapa saya, sentiasa menekankan bahawa sebagai seorang Islam, untuk keseluruhan hidup ini, ia mestilah mengikuti kehendak Islam. Sama ada dalam penyembahan, ritual, sembahyang, puasa - malah dalam isu-isu politik."

Di Malaysia, terdapat hanya satu parti Islam, jadi walaupun pemimpinya "tidak sempurna" Lutfi percaya bahawa ia mesti diikuti kerana tiada pilihan.

"Jika terdapat hanya satu parti Islam, dan jika terdapat masalah dalam parti, maka menjadi kewajipan atau jihad bagi dirinya untuk memperbetulkannya dari dalam," katanya. "Kebebasan media adalah sebahagian daripada perjuangan besar Islam."

"Saya tidak melihat Islam menentang kebebasan media," tambahnya. "Sebab bagi saya, isu tanggungjawab, isu penekanan keadilan itu - semua itu merupakan asas-asas Islam yang diperturunkan sehingga kini. Menentang kezaliman, membela orang yang ditindas, inilah misi sebenar kebebasan Islam."

Kami bercakap mengenai sejarah Harakah, tentang bagaimana beliau menyertainya sebaik sahaja ia ditubuhkan dalam 1987.

"Dalam tempoh 26 tahun Harakah," katanya, "saya masuk dan keluar Harakah barangkali empat kali. Saya pergi dan kemudian datang balik. Pergi dan datang balik."

Tetapi mengapakah Lutfi meninggalkan Harakah banyak kali? Kerana beliau ingin mempunyai syarikat penerbitan sendiri.

"Saya berdarah muda waktu itu dan terjurus kepada politik sebenar," katanya, "dan pada waktu itu saya ingin mengendalikan media, bebas mengikut cara saya."

"Harakah sebagai organ parti, mempunyai banyak peraturan, garis panduan, dan saya sebagai wartawan dan juga penerbit, saya ingin mempunyai syarikat sendiri dan boleh bergerak bebas."

Dr Janet berjumpa dengan Lutfi di rumahnya."Inilah yang menyebabkan saya pergi dan datang balik," tambahnya. "Dalam tempoh empat kali pergi dan datang balik itu, hubungan saya dengan Harakah masih cukup rapat."

Dalam 1998, salah satu daripada waktu beliau meninggalkan Harakah, Lutfi menubuhkan majalah beliau sendiri, Detik, yang diusahakan awalnya bersama Fathi Aris Omar, yang kini berada di Malaysiakini. Majalah dua kali sebulan itu diberi nama Detik sempena majalah Detik di Indonesia yang diharamkan penerbitannya oleh Soeharto bersama majalah Tempo dan Editor dalam 1994.

Sepanjang 17 tahun saya membuat penyelidikan mengenai kewartawanan di Indonesia dan Malaysia, saya telah bertemu ramai pengarang yang bercakap mengenai kebebasan media, tetapi saya tidak pernah berjumpa dengan seorang yang benar-benar komited terhadapnya seperti Ahmad Lutfi Othman. Pertempuran beliau dengan Kementerian Dalam Negeri untuk mendapatkan permit penerbitan telah menjadi lagenda. Beliau menjelaskan.

"Sebagai seorang wartawan, dari awal lagi, sejak keluar universiti, saya telah memohon permit daripada Kementerian Dalam Negeri. Saya rasa, saya telah membuat lebih kurang 100 permohonan. Bukan sahaja permit tidak diberi, tetapi saya juga tidak pernah dipanggil untuk ditemu bual, atau ditanya mengenai isu-isu berkaitan dengannya. Permohonan ditolak begitu sahaja."

Detik bukanlah milik Lutfi, beliau hanya menerbitkankanya menerusi permit pinjam. Dan permit itu perlu diperbaharui setiap tiga bulan sekali. Jika permit tidak diperbaharui, penerbitan akan diharamkan.

Selepas keputusan Pilihan Raya Umum 1999 diumumkan dan kabinet baru dilantik, permit Detik ditarik balik bersama beberapa penerbitan berbahasa Melayu yang lain yang didakwa membantu Barisan Alternatif. Beginilah Detik diharamkan.

Walaupun Harakah tidak hilang permitnya, tetapi pengarang-pengarangnya dimaklumkan bahawa organ parti itu tidak lagi boleh terbit dua kali seminggu, tetapi dua kali sebulan.

Lutfi kemudian menjelaskan apa yang berlaku berikutnya. "Walaupun Detik diharamkan, saya masih mempunyai lebih kurang 15 orang kakitangan dan sebuah pejabat di bawah tanggungjawab saya. Jadi saya buat surat khabar. Ia berbentuk tabloid - sama seperti Harakah - tetapi setiap kali terbit namanya berlainan. Ia diterbitkan dua kali sebulan."

Lutfi bercakap sepatah dua dengan setiausahanya dan beberapa minit kemudian, setiausahanya itu datang semula dengan setimbun akhbar lama: Warta, Kritis, Protes, Alternatif, Gerak, Memo, Bebaskan, Oposisi, Amanat, Memo22, Memo2, Memo3 - berdozen-dozen semuanya. Saya ketawa apabila Lutfi melonggokkan semua akhbar itu ke atas meja dan saya pula membaca nama-namanya. Kemudian saya dapati terdapat kira-kira 50 penerbitan seperti itu.

Jelas di sini bahawa Lutfi tidak mudah mengalah.

Beliau menjelaskan bahawa kebimbangannya yang paling besar ialah mengenai pengedar-pengedar, yang boleh disaman sehingga RM10,000 bagi jualan RM2 dengan komisyen sebanyak 20 sen bagi setiap naskah yang dijual. "Pengedar-pengedar saya," kata beliau, "Mereka inilah yang menjadi sangat takut."

Bagi Lutfi, beliau berasa sangat sedih kerana aktivisme media terlalu kecil di Malaysia.

"Mengapa begitu?" saya bertanya. Jawapannya, beliau merujuk kepada kurangnya media bebas, dan mengenai masalah pemilikan.

"Disebabkan Detik diharamkan, apa yang saya ada adalah akhbar tabloid saya yang diterbitkan tanpa permit, dan Wasilah - majalah untuk remaja perempuan. Jadi, apabila semakin kurang orang bekerja dengan saya, maka semakin kurang pula orang yang bekerja untuk media bebas, dan kurang pula yang mahu menjadi aktivis."

"Dalam tempoh ini, saya cuba berjumpa dengan rakan-rakan daripada media arus perdana: Utusan, Berita Harian, dan media yang dimiliki Bernama. Tetapi mereka tidak ada semangat dan keinginan untuk berjuang. Bagi mereka, perkara tersebut tidak relevan. Pertamanya, mereka tidak merasai kebimbangan mengenainya secara langsung, dan kedua, kalau mereka bimbang mengenainya sekalipun, mereka terikat dengan syarikat atau majlis yang tidak akan meluluskan aktiviti seperti ini."

Selepas Detik diharamkan dalam 1999, Lutfi dan Fathi menubuhkan KAMI, Kumpulan Aktivis Media Independen. Mereka pergi berjumpa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan menyerahkan memorandum mengenai tuntutan mereka.

Malah ini juga sukar. Sambil ketawa kesal, Lutfi menceritakan bagaimana selepas beliau dan kawan-kawannya membuat sebuah keranda untuk 'meraikan' secara simbolik kematian media bebas, mereka gagal mendapatkan empat orang untuk memikulnya.

Dalam keadaan serius semula Lutfi menjelaskan, "Saya rasa, orang politik, secara umumnya, tidak kira darpada parti atau latar belakang mana sekalipun, mereka tidak suka kepada media bebas. Tidak kira parti mana, sebelum mereka menjadi kerajaan, kebebasan media adalah salah satu isu yang mereka perjuangkan. Tetapi sebenarnya, ia agak sulit bagi mereka untuk dilaksanakan, jika mereka tidak berfikiran benar-benarterbuka, jika mereka tidak memiliki kefahaman yang tulin mengenai demokrasi, dan bila mereka melihat kuasa mereka boleh dicederakan, bila kuasa mereka diancam."

Menurut Lutfi, sekiranya rakyat tidak bekerjasama mendesak ke arah perubahan, kebebasan media tidak akan wujud, tidak kira ketua parti mana, atau gabungan parti mana yang memerintah.

"Satu ketika, sewaktu program pelancaran buku saya, " kata beliau, "ada seorang kawan bertanya, apa yang awak harapkan jika PKR menjadi kerajaan? Secara terbuka saya kata, bagi saya, walaupun saya seorang yang telah lama bekerja dengan organ parti PAS, jangan tanya saya mengenai harapan saya berhubung kebebasan media. Bagi saya, jika kerajaan baru sekalipun, setiap rakyat mesti terus menuntut supaya apa yang kita impikan selama ini dilaksanakan."

Bila saya mencadangkan barangkali sebahagian daripada peranan yang boleh dimainkan Lutifi di Harakah adalah untuk mengajar pimpinan PAS mengenai kepentingan kebebasan media, beliau ketawa. "Sebagai orang biasa, ahli politik biasa, sukar bagi mereka untuk mendengar kritikan," katanya.

Namun Lutfi cepat menjelaskan mengapa sesetengah ahli politik PAS kecewa dengan Harakah, dan mahu supaya Harakah melebihkan fokus kepada parti dan kurangkan fokus kepada Pakatan Rakyat.

Di Malaysia, kata beliau, apabila tiadanya kebebasan media, dan kerajaan pula mempunyai banyak saluran tetapi PAS hanya ada satu, terdapat tanggapan bahawa "mengapa kita mesti beri ruang kepada bahan yang boleh mencederakan kita? Saya faham semua itu. Saya cuba memahaminya, dan saya rasa, mereka juga perlu faham apa yang saya perjuangkan."

Kami bercakap sedikit mengenai Malaysiakini, dan beliau juga mengikutinya. Kami bersetuju bahawa Steven Gan hanya perlu berfikir mengenai kewartawanan, tetapi Lutfi, selain perlu berfikir mengenai keperluan parti, beliau juga perlu berfikir mengenai ajaran Islam.

Buku Lorong Sunyi Media Bebas"Saya dalam Harakah perlu juga bertanggungjawab pada agama," katanya. Untuk agama, wartawan Harakah bersedia menerima gaji dan elaun yang rendah, dan meletakkan harapan yang tinggi. "Saya melihat ajaran Islam dan konsep kebebasan media tidak jauh berbeza dengan prinsip kewartawanan," kata Lutfi.

"Kita dipandu oleh kebenaran - ini sentiasa menjadi matlamat kami. Kewartawanan kami berasaskan kepada hadis Nabi Muhammad. Pertama, jika terdapat sebarang keraguan terhadap kebenaran berita itu, walaupun kecil, berita itu mesti ditolak. Dan kedua, jika orang yang menyampaikan berita itu, didapati mempunyai masalah peribadi, terutama jika dia seorang penipu atau pembohong, maka dia mesti ditolak. Kedua-dua ini adalah ajaran Nabi."

Bagi Lutfi, "hak untuk menjawab" sangat penting dalam konteks keadilan, terutama buat pemimpin pembangkang yang dinafikan sebarang ruang dalam media arus perdana, yang dikritik dan tidak diberikan ruang untuk memberikan jawapan. Dari perspektif ini, kata beliau, Harakah perlu memberikan mereka ruang.

Dan akhirnya mengenai isu moral. "Kami tidak akan terbitkan apa yang kami tidak percaya. Sebagai contoh dalam dunia hiburan, jika ada seorang penyanyi perempuan berada dalam kelompok Muslim dan dia tidak memakai tudung, "Harakah tidak akan siarkan".

Dari sudut yang lain, terdapat pula isu keterbukaan, malah semacam pluralisme. "PAS dari dahulu lagi perlu membuka pintunya kepada orang bukan Islam, dan saya percaya perubahan ini akan berlaku," katanya. "Ia bukan perubahan dalam agama, agama kekal sama, tidak berubah. Tetapi tafsiran tentang bagaimana kita melihat "politik sebenar". Bagaiman kita melihat persekitaran yang mungkin berbeza. Dan bagi saya, perkembangan seperti ini sangat positif."

Lutfi terganggu dengan kenyataan bahawa negara-negara Barat sentiasa berada di atas dalam senarai negara-negara yang demokratik, telus dan mempuyai kebebasan media. Mengapa, soal beliau, negara-negara yang tidak "tidak Islam" ini lebih tinggi kedudukannya dalam senarai daripada negara-negara "Islam"?

"Kita perlu mempunyai sasaran seperti ini. Ia tidak bermakna kita perlu meninggalkan perkara-perkara seperti hudud, berpakaian menutup aurat dan sebagainya, tetapi dalam isu kemisikinan, mengapa negara-negara Islam berada di bawah? Dari segi prinsip Islam, ia sesuatu yang perlu diberi penekanan, dan saya sentiasa rasa ia menjadi tanggungjawab saya untuk mengajar. Dan saya rasa, kebebasan media adalah kunci kepada segalanya, kunci kepada demokrasi, kunci untuk membasmi kemiskinan, kunci untuk merapatkan jurang antara miskin dan kaya."

Profesionalisme dalam media ADALAH Islamik, menurut Lutfi.

"Saya lihat kewartawanan atau pengurusan media yang profesional adalah Islamik," kata beliau. "Nama kolum saya, saya ambil daripada Catatan Pinggir, daripada Pak Goenawan Mohamad (pengasas majalah Tempo). Jadi walaupun Tempo boleh dilihat sebagai satu kumpulan yang agak liberal, saya fikir ada beberapa perkara penting yang tidak ada perbezaan."

"Mengenai Islam liberal, kita boleh bekerjasama. Kita tidak bersetuju dengan semua perkara, dan kita tidak perlu bersetuju dengan semua perkara untuk bekerjasam," tambah beliau.

Lutfi mengimpikan apabila Pakatan Rakyat menang, tidak ada lagi permit. "Penerbitan yang tidak bersetuju dengan kita dibenarkan untuk terbit," kata beliau. "Utusan boleh terbit, The Star boleh terbit."

Apabila majalah mingguan The Heat digantung oleh Kementerian Dalam Negeri pada penghujung 2013, atas dakwaan mencabuli syarat-syarat dalam permit penerbitan, terdapat harapan bahawa ia boleh menjadi titik kesedaran, yang barangkali boleh membuatkan wartawan Malaysia akhirnya membuat pendirian, cukup-cukuplah. Satu lagi pergerakan disusun, dan mesyuarat diadakan di Dewan Perhimpunan Cina. Lutfi ada di situ.

"Kita perlu berjuang, kita perlu serius untuk membangunkan sistem media yang bebas," katanya. "Tetapi sehingga kini, kita masih memerlukan ruang ini (Harakah).

Ahmad Lutfi Othman tidak pernah berhenti membuatkan saya terkejut. -- 10 Jun 2015

----
Tulisan Dr Janet Steele, Sekolah Media dan Hal Ehwal Awam, Universiti George Washington ini terangkum dalam buku Lorong Sunyi Media Bebas (832 halaman, RM45). Hubungi Ahmad Luqman Hakim, 019 2903291 jika berminat.

 

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel