BMF: Generasi hari ini mesti cari kebenaran isu 1MDB, SRC International

Akhir-akhir ini isu Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dan kerugian tukaran asing Bank Negara yang telah ditimbulkan semula selepas puluhan tahun berlalu. Bagi saya mudah, jika benar terdapat unsur penyelewengan, kerajaan boleh menggunakan segala jentera yang ada untuk menyiasat kes tersebut. Jika ada bukti yang kukuh bahawa telah berlaku penyelewengan, siasat dan bawalah mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Pelbagai pihak telah mengulas tentang isu-isu ini. Namun, ulasannya agak terhad kerana tiada maklumat yang mendalam tentangnya.

Ini berbeza dengan isu 1MDB kerana maklumat yang ada amat banyak dari pelbagai sumber dari dalam dan luar negara. Bukan sahaja laporan PAC dan hansard-hansardnya, tetapi juga kenyataan-kenyataan dan tindakan pihak berkuasa di seluruh dunia, termasuklah Singapura, Qatar, Amerika Syarikat, Switzerland, Australia dan New Zealand.

Oleh itu saya tidak bercadang mengulas panjang mengenai isu BMF dan kerugian Bank Negara. Apa yang ingin saya tekankan dalam artikel ini tentang peri pentingnya sesuatu generasi berusaha mencari kebenaran jika melihat kemungkaran berlaku di zaman mereka.

Urusniaga berkaitan BMF bermula dari akhir tahun 1970-an dan menjadi isu hangat pada awal hingga pertengahan 1980-an.

Kerugian Bank Negara dalam urus niaga tukaran asing pula berlaku pada tahun 1990-an.

Ketika isu BMF timbul, saya baru berada di sekolah rendah dan ketika isu kerugian Bank Negara, saya berada di sekolah menengah.

Sebagai budak sekolah di kampung, pengetahuan saya tentang ekonomi, perakaunan, kewangan dan perbankan amat cetek. Bahkan, hampir tiada langsung. Jadi, tiada daya saya untuk menulis atau bercakap tentang isu-isu tersebut ketika itu. Namun, saya tertanya-tanya, apakah mereka yang berilmu dan berpengaruh di zaman itu (kecuali pembangkang) membiarkan sahaja isu tersebut berlalu sekiranya benar ia satu "penyelewengan"?

Semasa isu BMF hangat diperkatakan, Perdana Menteri sekarang, Najib Razak, memegang jawatan penting dalam politik dan kerajaan. Beliau merupakan Ahli Parlimen Pekan (bermula dari tahun 1976). Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Menteri pada tahun 1978, termasuklah Timbalan Menteri Kewangan pada 1981-1982. Kemudian beliau menjadi Menteri Besar Pahang dari 1982-1986.

Di mana suara Najib Razak tentang isu BMF ketika itu?

Sekurang-kurangnya Mukhriz Mahathir berani menggadaikan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dengan bercakap tentang isu 1MDB dan SRC International.

Jika Najib melihat isu BMF sebagai satu penyelewangan melibatkan Dr Mahathir, beliau seharusnya telah memihak kepada Tengku Razaleigh dalam pemilihan Umno pada 1987. Ketika itu beliau adalah Ketua Pemuda Umno dan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan.

Najib Razak bertukar portfolio menjadi Menteri Pertahanan dari tahun 1991 hingga 1995. Sekiranya beliau melihat kerugian urusniaga tukaran asing Bank Negara sebagai satu penyelewengan, beliau seharusnya berani membuka mulut menentang penyelewengan tersebut secara terbuka.

Setidak-tidaknya Muhyiddin Yassin berani menggadaikan kedudukan beliau sebagai Menteri dan Timbalan Perdana Menteri untuk bercakap tentang isu 1MDB dan SRC International. Begitu jugalah Shafie Afdal yang berani menggadaikan kedudukan beliau sebagai Menteri.

Oleh yang demikian, tindakan mereka yang menimbulkan semula isu BMF dan kerugian Bank Negara adalah satu rahmat besar. Ianya membuka mata kita tentang peri pentingnya sesuatu generasi itu berani menyatakan kebenaran tentang apa yang berlaku di zaman mereka walaupun ianya sesuatu yang pahit.

Bukannya ketika kedudukan politik kita sedang tergugat, barulah kita terkial-kial menggali dan mencari apa yang dikatakan “penyelewengan” yang berlaku puluhan tahun yang lalu yang pada ketika itu kita sendiri tidak berbuat apa-apa.

Jadi, apakah kita telah menjalankan tanggungjawab kita di zaman kita sekiranya kita hanya biarkan isu 1MDB dan SRC International berlalu begitu sahaja?

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel