• Kolumnis AMANAH 1Kolumnis AMANAH 1

Tahun Baru Cina dan formula negara Malaysia Baharu

Chinese New YearChinese New Year

Perayaan Tahun Baru Cina merupakan hari yang bersejarah dan penting bagi masyarakat Tiong Hua di Malaysia.

Ia merupakan sebuah perayaan yang berasaskan kebudayaan dan adat, bukannya asas kepercayaan atau agama. Semoga tahun ayam ini membawa 1001 kebahagiaan, kesihatan yang baik, serta kemakmuran buat semua.

Dalam kemeriahan sambutan ini, dapat kita ambil iktibar dari kepelbagaian kaum yang ada di Malaysia dan mewujudkan suasana yang harmoni dan damai.

Pelbagai mesej dapat kita singkapi melalui perayaan ini bagi membuka mata masyarakat yang lain tentang pentingnya menghargai dan meraikan perbezaan dan sebagainya.

Menghargai dan Meraikan Kepelbagaian

Allah menciptakan perbezaan dan kepelbagian supaya kita dapat saling mengenali antara satu sama lain. Ia selari dengan apa yang diturunkan menerusi kitab panduan orang islam iaitu Al-Quran, yang mana Allah berfirman dalam surah Al-Hujuraat ayat 13 yang bermaksud:

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.

Tidak dapat dinafikan bahawa kita sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam lingkungan masyarakat majmuk, berbilang keturunan, bangsa dan agama seharusnya bersikap tolak ansur dan bertoleransi, memahami antara satu sama lain, saling menghormati dan sentiasa menjalinkan keharmonian dan keamanan bersama.

Saya tertarik dengan pandangan Dr Harlina Halizah Siraj di dalam artikelnya yang bertajuk “Menghargai dan Meraikan Kepelbagaian (Appreciating & Celebrating Diversity)”.

Beliau menyebutkan bahawa manusia dapat menangani kepelbagaian dengan tiga cara utama.

Pertama, bertindak menolak dan membenci apa yang nampak berbeza dengan apa yang ada padanya. Kelompok ini menganggap dirinya jauh lebih mulia dan tinggi dibandingkan dengan kelompok lain yang berbeza dengannya. Tanggapan tersebut berpunca dari perasaan takabbur, bongkak dan sombong yang bersarang di dalam hati.

Kedua, menerima kepelbagaian sebagai satu yang tidak dapat dielakkan, kemudian mengambil sikap bertoleransi dan bertolak ansur terhadap apa yang tidak sama dan berlainan. Suasana harmoni dan aman damai dapat diwujudkan dalam hubungan antara kelompok yang berbeza. Namun masih terdapat batasan dan sempadan halus yang memisahkan.

Ketiga, meraikan serta menghayati kepelbagaian tersebut sebagai satu kekuatan, bukannya satu bebanan dan liabiliti. Dalam suasana yang ideal ini, masyarakat menjadi kuat dan mantap kerana setiap ahlinya yang mempunyai kepelbagaian potensi, bakat dan kreativiti bergabung tenaga memacu kemajuan bersama.

Ini membuktikan bahawa pentingnya nilai menghargai dan meraikan kepelbagaian.

Kepelbagaian Membentuk Kekuatan

Tanggapan “Aku lebih tinggi dan mulia dari kamu “ atau “I am holier-than-thou” haruslah dicantas sejak awal supaya ia tidak menatijahkan sesuatu yang berbaur diskriminasi, prejudis dan bias antara satu sama lain kerana kita tahu impak dari tanggapan itu ialah penindasan, ketidakadilan dan persengketaan. Dan kita tahu bahawa manusia tidak kira bangsa dan keturunan sebenarnya banyak berkongsi persamaan dan perbezaan adalah hanya sedikit.

Oleh itu, kemahiran dalam menangani kepelbagaian ini haruslah dikuasai sepenuhnya oleh semua masyarakat di Malaysia supaya kita dapat pastikan bahawa kepelbagian itu merupakan cabang kekuatan bersama dan bukannya satu bebanan atau liabiliti.

Bertitik tolak dari sini, masyarakat melayu contohnya harus mengambil iktibar dan belajar daripada kelebihan yang ada pada bangsa lain. Kita harus menjauhi prejudis atau prasangka buruk sehingga menyebabkan terhalang daripada menyingkap hikmah dan rahmah yang ada pada bangsa lain.

Mahasiswa Agen Keharmonian Masyarakat Kampus

Mahasiswa di universiti juga seharusnya memanfaatkan sebaiknya rakan mahasiswa yang berlainan bangsa dan etnik, supaya dapat menyemarakkan lagi nilai-nilai murni, dan mempromosikan interaksi harmoni dan damai antara mereka di dalam kampus. Mahasiswa islam seharusnya mengambil peluang ini untuk menyantuni masyarakat yang berbeza agama dan menyebarkan rahmah kepada mereka.

Melalui penganjuran wacana bertajuk “Managing Diversity” atau dialog perbandingan agama yang dianjurkan di universiti melalui Majlis Perwakilan Pelajar atau mana-mana persatuan di universiti akan membuka lebih luas peluang untuk menyebarkan risalah islam yang syumul ini.

Ini tidak bermakna menggunakan ruang ini hanya semata-mata untuk mempromosikan agama masing-masing, tetapi lebih berfokus untuk berkongsi maklumat dan mendidik orang lain yang tidak seagama untuk memahami bagaimana agama yang dianuti itu mencorak seluruh kehidupan sebagai seorang masyarakat di kampus. Dan natijah daripada wacana tersebut akan timbullah satu bibit kemesraan, hormat-menghormati dan akan membuahkan keharmonian yang benar-benar subur.

Gagasan Malaysia Menuju Negara Rahmah, satu formula baru untuk Malaysia

Menyedari kepentingan untuk memupuk semangat toleransi sesama kaum di negara ini, Gagasan Malaysia Menuju Negara Rahmah yang diasaskan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia harus kita dokong bersama dan berganding bahu dalam merealisasikannya.

Terdapat 12 ciri negara yang rahmah yang telah digariskan antaranya:

1- Kepimpinan negara yang kompeten dan berintegriti
2- Sistem pemerintahan yang berasaskan semak dan Imbang yang berkesan
3- Tadbir urus yang baik
4- Undang-undang yang adil
5- Masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang
6- Institusi keluarga yang utuh
7- Hubungan etnik dan penganut agama yang harmoni
8- Ekonomi yang mampan
9- Agihan kekayaan yang saksama
10- Pembangunan yang lestari,
11- Kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat terpelihara dan
12- Menerajui usaha-usaha keamanan dan kesejahteraan sejagat

Dalam ciri yang ke-7 daripada 12 ciri dalam gagasan ini menyebutkan bahawa antara ciri negara yang rahmah adalah negara yang harmoni dan memelihara sebaiknya hubungan antara etnik dan penganut agama yang berbeza.

Keharmonian sesama kaum merentasi latar belakang agama ini harus dipelihara dengan mengekalkan semangat toleransi, saling hormat-menghormati dan menjauhi sikap prejudis dan perkauman yang boleh menghakis nilai keharmonian yang sedang kita nikmati ini.

Ayuh, kita sebagai rakyat Malaysia harus memulakan langkah mempromosikan dan menyuburkan nilai keharmonian dan kedamaian antara kita. Semoga Malaysia menjadi sebuah negara yang rahmah, memelihara prinsip keadilan, tadbir urus yang baik dan memelihara keharmonian etnik yang berbeza.

Selamat Menyambut Tahun Baru Cina. Gong Xi Fa Cai!

Nik Fatma Amirah Nik Muhamad ialah Timbalan Pengerusi Pena Syariah, Asatizah Muda IKRAM

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: