Gong Xi Fa Chai 2017: Cina Tak Basuh Berak!

 
Semasa saya kecil, saya sering didodoikan dengan satu frasa yang menjengkelkan. "Cina tak basuh berak". Ia agak berlegar di minda dan kepala saya.

Bangsa Cina didendangkan tidak membasuh berak mereka sebagaimana orang Melayu iaitu dengan air sebaliknya mereka hanya membasuh berak mereka dengan tisu. Ia seakan memperlihatkan mereka pengotor dan menjijikkan.

Kalaupun ia tidak memberi kesan yang besar, namun ia agak melekat di kepala saya tentang perkara itu.

Saya seharian di Johor Bharu semalam. Selain menghadiri kenduri kahwin sahabat baik saya Anwar, saya juga mempunyai beberapa pertemuan dengan beberapa sahabat. Dalam perjalanan itu saya sentiasa terpaksa menggunakan tandas awam.

Kebanyakan tandas awam di Malaysia terutamanya di RnR akan ada tisu tandas. Segera terbayang di kepala saya tentang frasa 'Cina tak basuh berak'. Kalaulah saya masih kecil ketika ini frasa itu tentu sangat berpotensi untuk saya mempercayainya.

Beberapa tahun dulu kawan saya, Masyumi Othman yang belajar di United Kingdom menceritakan kepada saya yang tandas awam di sana tidak mempunyai air untuk membasuh berak. Sebaliknya hanya ada tisu. Saya agak terkejut dan menyoalnya tentang kebenaran itu berkali-kali. Bila ditanya kenapa tiada air di tandas 'orang putih' itu, beliau menjawab mereka tidak mahu tandas mereka kotor dan lecah.

Sekali lagi saya saya kebinggunan. Rupanya bukan Cina sahaja tak basuh berak, tapi orang 'putih pun tidak basuh berak' juga. Cuma kali ini dek kerana jawapan tidak mahu kotor dan lecah itu diberikan oleh kawan saya itu timbul persoalan baru kepada saya.

Bila sudah dewasa, saya mula membawa persoalan dan kebingunan itu bersama. Kalaupun ia tidak sangat berat namun sesekali ia hadir mengacau.

Akhirnya saya menyimpulkan perkara ini sebagai percikan api perkauman. Lebih malang lagi terkadang saya merasakan ia adalah ciptaan dan rekaan agar jurang perkauman di Malaysia semakin melebar. Ia seakan mahukan kita menggambarkan yang bangsa Cina ini pengotor.

Untuk anak-anak saya dan generasi baru, seandainya sabda ini di bacakan di depan anda, anda haruslah merenung pembawa sabda ini dengan penuh kebencian dan katakan kepada mereka kamu RACIS!.

Sebenarnya kegunaan tisu yang ada di tandas adalah untuk mengesat mangkuk tandas sebelum kamu duduk di atas mangkuknya. Selain itu tisu itu digunakan untuk mengelap tangan kamu selepas kamu siap basuh berak.

Ternyata ia langsung tiada kaitan dengan 'Cina tidak basuh berak'. Saya yakin Cina juga basuh berak seperti kita. Dengan air dan tangan.

Sempena Tahun Baru Cina tahun ini saya ingin mengucapkan Gong Xi Fa Chai. Walaupun tulisan ini hadir agak lewat kerana kesibukan saya, saya berharap sahabat- sahabat Cina saya dapat menyambutnya dengan gembira.

Saya juga sangat berharap jurang di antara bangsa- bangsa di Malaysia ini akan semakin mengecil atau sebaiknya terus terhapus.

Negara ini negara kita bersama. Negara ini amat memerlukan kesemua kita bersatu membangunkan Malaysia. Semoga tahun ayam tahun ini akan menjadikan Malaysia lebih harmoni dan aman. Dan bukannya CAP AYAM.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: