Inisiatif Selamatkan Malaysia

 (dari kiri) Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.(dari kiri) Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.


Malaysia kini bermasalah besar. Kita telah menjadi ‘terkenal’ di seluruh dunia. Tahun lalu, sebuah laman web antarabangsa, foreignpolicy.com, telah mengisytiharkan Malaysia sebagai negara yang berada di kedudukan ketiga di peringkat global yang mengalami “skandal korupsi terburuk pada 2015”. Majalah Time pada Mac tahun lalu pula menamakan Malaysia sebagai negara yang kedua terburuk di dunia dalam korupsi global. Pada Mei tahun lalu, Malaysia ‘naik’ ke tangga kedua, di belakang Russia, dalam indeks kapitalisme kroni yang disenaraikan oleh majalah The Economist.

 Malaysia juga dimahkotakan sebagai kleptokrasi global selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) membuat keputusan menyita harta terkait 1MDB berjumlah lebih US$ 1 bilion di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Switzerland akibat konspirasi kleptokrasi yang melibatkan kecurian dan pengubahan wang haram dana 1MDB sebanyak lebih US$ 3.5 bilion.

Individu-individu yang berkaitan dengan pengubahan wang 1MDB telah pun dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman di Singapura. Siasatan berkaitan dengan 1MDB kini sedang dijalankan di sekurang-kurangnya sembilan negara, tidak termasuk Malaysia. Aset-aset yang berkaitan dengan para individu yang telah didedahkan dalam skandal 1MDB sudah pun dibekukan di beberapa negara.

Malaysia kini ‘terkenal’ dengan kleptokrasi global. Yang menyedihkan, di negara kita sendiri, ketua-ketua pegawai kerajaan termasuk Peguam Negara dan Ketua Polis Negara hanya sekadar mencuci tangan daripada skandal ini dengan mengisytiharkan tiada orang yang didapati bersalah walaupun bukti-bukti kukuh telah dikemukakan oleh Ketua Audit Negara.

Kita di Malaysia sedang berada di tahap yang amat membimbangkan. Bagi membuang label kleptokrasi global yang amat memalukan ini, kita rakyat Malaysia – tanpa mengira kaum, agama, bahasa, wilayah, gender, usia atau ideologi – mesti bekerjasama untuk Selamatkan Malaysia.

Kita berkumpul di sini untuk meraikan ulangtahun hari lahir ke-114 esok buat Tunku Abdul Rahman, Bapa Merdeka dan Perdana Menteri kita yang pertama. Sudah pasti Tunku, jika masih bersama kita, akan terkejut besar dengan keadaan di mana Malaysia sudah menjadi kleptokrasi global dan sedang menuju ke arah negara gagal, negara penyangak.

Sudah tentu cara terbaik untuk kita meraikan ulangtahun hari lahir Tunku ini adalah dengan menyatakan pendirian jelas yang disaksikan oleh semua rakyat Malaysia dan warga global, iaitu kita bertekad untuk Selamatkan Malaysia daripada dibelenggu kleptokrasi global serta daripada terjerumus menjadi negara gagal, negara penyangak.

Malaysia perlu menerima hakikat wujudnya skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memastikan ia tidak lagi menghantui negara dan 30 juta rakyat Malaysia. Kerajaan mesti menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk memastikan setiap sen daripada 1MDB ditemui kembali, dan menyelamatkan Malaysia daripada kebobrokan dan malu besar kerana telah menjadi kleptokrasi global.

Malaysia juga telah mengalami kejatuhan kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International 2016. Pada awal alaf baru, kedudukan Malaysia dalam CPI TI adalah di tangga ke-36 daripada 91 negara pada 2001, dan mencatat markah 50 daripada 100. Tetapi bagi CPI TI 2016, kedudukan Malaysia merudum ke tangga 55 daripada 176 negara dengan markah 49 daripada 100. Pada 2015, Malaysia jatuh ke tangga 54 daripada 50 pada tahun sebelumnya.

Matawang Ringgit Malaysia pula memulakan Tahun Baru dengan mencatatkan sejarah terburuk sejak krisis kewangan Asia 1998 apabila nilainya jatuh kepada RM4.5002 berbanding Dollar Amerika. Ini petanda tahun kegawatan ekonomi untuk rakyat Malaysia. Kita perlu menangani nilai Ringgit yang sedang jatuh, kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan seperti makanan dan petrol, dan kesengsaraan hidup akibat Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Kita perlu memastikan adanya pengangkutan awam, perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan perumahan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia dengan mempunyai inisiatif negara kebajikan yang dinamik yang memenuhi keperluan penduduk di kawasan bandar, separa bandar dan luar bandar. Kita perlu jujur mendengar suara golongan terpinggir termasuk Orang Asal Malaysia bagi memenuhi hasrat dan keperluan mereka.

 Kita perlu menyediakan pekerjaan yang lebih baik, kenaikan gaji, pertambahan kemahiran, produktiviti yang lebih tinggi, pertumbuhan, inovasi dan mutu kehidupan yang lebih baik.

Sistem Persekutuan atau Federalisme Malaysia memihak kepada Kerajaan Persekutuan yang menjejaskan hak-hak negeri. Rasa tidak puas hati di peringkat negeri adalah amat serius, dan dengan itu wujud keperluan ke arah satu Tawaran Baru untuk Sabah dan Sarawak, selain satu bentuk federalisme baru untuk negeri-negeri di Semenanjung. Kita mesti memastikan Sabah dan Sarawak mempunyai autonomi yang luas dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, kesihatan, perkhidmatan awam, infrastruktur, pengangkutan. Sabah dan Sarawak juga mesti menerima bahagian kutipan hasil cukai yang adil untuk membiayai bidang-bidang kecekapan yang berautonomi itu.

Malaysia tidak akan berada dalam sengsara krisis keyakinan politik, ekonomi dan pembinaan negara jika kita tidak tersasar daripada prinsip-prinsip Rukunegara; malah tentunya kita tidak akan menjadi kleptokrasi global yang kini menjurus ke arah negara gagal, negara penyangak. Rakyat Malaysia perlu mencari jalan untuk kembali kepada matlamat utama nasional yang dicerminkan oleh Perlembagaan dan Rukunegara.

Kita perlu memulihkan kedaulatan undang-undang, pemisahan kuasa, dan pentadbiran baik untuk membolehkan kita kembali kepada asas prinsip-prinsip Perlembagaan. Kita perlu bekerjasama untuk menghapuskan semua undang-undang zalim dan perjanjian tidak adil yang dipersetujui baru-baru ini yang telah melanggar hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kita perlu memulihkan kewibawaan institusi-institusi yang telah diketepikan integriti mereka seperti Parlimen, Polis, Suruhanjaya Anti-Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), dan banyak lagi.

Maka hari ini kita menegaskan kesungguhan dan ikrar untuk melakukan yang terbaik, bekerjasama sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan penyayang, bagi membina Malaysia yang benar-benar bersatu, aman dan lebih baik. Dengan ini kita mengajak setiap warga Malaysia yang setia dan patriotik – tanpa mengira pegangan politik – untuk bersama kita bagi memastikan esok yang lebih baik untuk Malaysia.

*Kenyataan Bersama Pakatan Harapan dan PPBM pada Persidangan Meja Bulat-Selamatkan Malaysia yang diadakan pada 7 Februari 2017.

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

CetakEmel

Artikel berkaitan: